Titah Nasihat
TITAH Kebawah DYMM sempena Hari Keputeraan Baginda ke 62 tahun, 15 Julai 2008 lalu antara lain telah menyentuh mengenai keselamatan sosial, khasnya yang membabitkan penyaraan diri dan keluarga sesudah berakhirnya tempoh perkhidmatan, sama ada dalam perkhidmatan awam, sektor swasta atau pekerjaan sendiri.
Baginda menyedari akan wujudnya kebimbangan sebahagian besar rakyat Baginda khususnya kumpulan pesara yang tidak termasuk dalam skima berpencen terhadap masa depan kehidupan mereka dan keluarga.
Kearah itu Kerajaan Baginda sedang “meneliti mekanisme yang lebih menjamin bagi kehidupan dihari tua rakyat dan penduduk, dan memandu perlaksanaan serta penambahbaikan dasar atau sistem persaraan dinegara ini.” Demikian titah Baginda.
Sehubungan denga itu, Baginda mengingatkan seluruh rakyat dan penduduk negara ini agar melakukan satu anjakan paradigma, dari sekadar menjadi masyarakat pengguna kepada masyarakat penabung.
Titah Baginda “perancangan bagi mengubah cara hidup daripada masyarakat pengguna(consumer society) kepada masyarakat penabung (saving society) juga haruslah dijana lebih awal”.
Pada Hemat NDP
Wacana ini amat tersentuh dengan peringatan ikhlas Baginda ini dan ingin mengongsikan pandangan dengan ahli-ahli NDP.
Pada tanggapan kita, Titah Baginda ini adalah nasihat awal kepada pesara dan bakal pesara khususnya dan kepada seluruh rakyat dan penduduk negara ini amnya supaya lebih bijak merancang pendapatan atau pendapatan tambahan kelak sebaik Baginda memperkenani mekanisme yang disebutkan diatas.
Insyaallah tambahan rezeki yang dibayangkan bakal diterima oleh sebahagian rakyat dan penduduk negara kelak hendaklah disambut dengan segala kesyukuran, dengan tidak membazirkannya seperti berbelanja kepada perkara-perkara yang tidak perlu dan bukan pada tempatnya.
Apabila Baginda menyarankan agar kita mengubah cara hidup daripada masyarakat pengguna (consumer society) kepada masyarakat penabung (saving society), pada tanggapan kita ianya membawa pengertian agar budaya memperuntukkan terlebih dahulu sebahagian pendapatan untuk ditabung sebelum dibelanjakan adalah lebih baik dari menunggu lebihan berbelanja baru menabung.
Antara lain perkataan “simpan dulu walau sedikit, selebihnya baru berbelanja” mungkin boleh menjelaskan antara maksud titah tersebut.
Memang tepat nasihat Kebawah Duli ini, lebih-lebih lagi apabila kita memerhatikan gaya hidup dan budaya berbelanja masyarakat kita yang sebahagiannya suka berbelanja hingga habis kikis, dan setelah terantuk baru terngadah.
Justeru itu, pembudayaan menabung dengan mengubah cara hidup daripada masyarakat pengguna (consumer society) kepada masyarakat penabung (saving society) haruslah dibiasakan dari sekarang.
Budaya Menabung
Pembudayaan itu adalah satu proses yang menuntut kepada usaha-usaha penerapan, pendidikan dan penyedaran yang berterusan. Proses pembudayaan tidak boleh berlaku dalam masa yang singkat tetapi sebaliknya menerusi satu tempoh yang panjang. Oleh itu, bagi melahirkan masyarakat yang tersemai di dalamnya budaya menabung, kita memerlukan pendekatan yang bersifat jangka panjang.
Perkembangan global semasa, iaitu kenaikan kos sara hidup, termasuk harga minyak dan bahan makanan yang melambung, ditambah lagi dengan kadar inflasi yang meningkat, seharusnya merangsang pemikiran masyarakat untuk membuat persediaan bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar.
Secara tradisi, menabung adalah salah satu kaedah yang diamalkan sebagai langkah persediaan yang dimaksudkan.
Sungguhpun demikian, dalam senario semasa, usaha menabung semata-mata tidak boleh dianggap sebagai satu langkah yang bijak dan memadai. Oleh itu, kita haruslah menggaitkan konsep dan kaedah menabung ini dengan ciri-ciri perdagangan dan pelaburan.
Usaha menabung itu hendaklah disepadukan dengan pelaburan yang bersifat jangka panjang. Persoalannya disini, jika pun rakyat sudah bersedia untuk menyahut seruan utuk menabung, namun bagai mana pula wang yang disimpan itu dapat memberikan pulangan yang lumayan lagi halal kepada penabung?
Kesediaan rakyat untuk menabung secara prinsipnya bergantung kepada pendapatan bersih yang dimiliki oleh rakyat setelah membayar/melangsaikan segala yang perlu dibayar.
Kecenderungan rakyat untuk menabung lazimnya akan tinggi jika kadar pendapatan bersih mereka juga tinggi dan sebaliknya.
Kita yakin, jika pihak berkenaan berhajat untuk memikirkan semula satu dasar berkaitan skima penabungan dan pelaburan yang lebih kemas, barang sudah tentu profil pendapatan setiap rakyat perlu dikaji terlebih dahulu sebelum dasar tabungan ini dilaksanakan. Seterusnya, bagai mana pula wang yang disimpan itu dapat memberikan pulangan yang lumayan lagi halal kepada penabung?
Mungkin disinilah barangkali peranan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, para sarjana ekonomi, pemikir-pemikir ekonomi dan kewangan negara kita untuk memikirkan bagai mana wang simpanan dan tabungan rakyat ini dapat dilaburkan yang boleh memberikan pulangan yang lumayan kepada penabung.
Sejajar dengan strategi tersebut, persepsi masyarakat perlu digerakkan dan dirangsang supaya timbul kesedaran kepada mereka untuk menabung kerana amalan menabung akan menjanjikan jaminan keselamatan dan ganjaran yang sewajarnya.
Saran NDP Dalam Manifesto 2006 -2016
Pada pandangan NDP (yang mungkin saja tidak betul) bahawa jalan pintas untuk mewujudkan keyakinan rakyat terhadap kebaikan dan kelebihan menabung telah disebutkan didalam Manifesto Parti Pambangunan Bangsa 2006-2016.
Antara lain Manifesto NDP mengesyorkan, agar “diwujudkan lebih banyak peluang pelaburan didalam produk-produk Islamik di Negara Brunei Darussalam, dengan, atara lain, membenarkan produk-produk sedemikian diperniagakan oleh bank-bank dan institusi-institusi kewangan asing yang bebas riba (usury-free), selain daripada bank dan institusi kewangan tempatan.
Ini bukan sahaja akan menggalakkan pertumbuhan sektor pelaburan, tetapi juga akan memberikan peluang yang seluas-luasnya kepada rakyat Kebawah DYMM untuk melabur atau menyimpan bagi masa hadapan setelah bersara dan tidak bergantung hanya kepada penyimpan didalam Tabung Amanah Pekerja (TAP).
Selain itu, ianya juga akan mendorong persaingan yang sihat diantara bank-bank yang terdapat di negara Brunei Darussalam, dimana natijah daripadanya ialah bertambahnya kemanfaatan kepada rkyat Kebawah DYMM”.
Pada perenggan lain, Manifesto NDP ini juga mencadangkan agar pihak-pihak berkenaan “membuka/mewujudkan peluang pelaburan kepada rakyat Kebawah DYMM didalam industri-industri penting nasional, termasuk indistri minyak dan gas, dan didalam projek-projek mega yang dikendalikan oleh Kerajaan Kebawah DYMM, termasuk yang disenggarakan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei”
Satu lagi perenggan yang berkaitan didalam Manifesto NDP turut mengesyorkan kepada pihak berkenaan agar “menyediakan skim takaful kepada semua rakyat sebagai tabungan simpanan kecemasan, yang dimestikan setiap rakyat melabur di dalamnya mengikut peruntukan undang-undang”.
Strategi
Rasional yang kita tanggapi ialah, bahawa inflasi menyebabkan nilai mata wang kita menurun. Dengan itu wang yang kita simpan akan susut nilainya. Lebih tinggi inflasi lebih banyaklah susutan nilai wang yang kita tabungkan.
Jika wang yang ditabung itu dilaburkan dan mendatangkan keuntungan yang lebih daripada kadar inflasi, maka baharulah tabungan memberi makna.
Melalui strategi menabung dan melabur, konsep menabung itu juga dapat diperluaskan skopnya. Ianya tidak hanya terbatas kepada amalan menyimpan wang di bank sahaja misalnya, tetapi turut menjurus kepada instrumen-instrumen pelaburan seperti mewujudkan skima-skima amanah saham, pelaburan unit amanah, dan produk-produk pelaburan yang lainnya.
Pemerkasaan koperasi juga penting kerana ianya adalah satu pelantar pelaburan secara kecil-kecilan yang popular dan meluas di peringkat akar umbi. Pemerkasaan tersebut akan memberi kesan berganda melalui penjimatan perbelanjaan yang dinikmati oleh ahli-ahli, dan sekaligus ini akan memungkinkan para ahli menabung hasil penjimatan yang diperolehi itu.
Namun demikian kejayaan pembangunan koperasi ini banyak bergantung sejauh mana komitmen pihak-pihak berkenaan didalam kerajaan bersedia untuk membantu pergerakan koperasi dari soal menambah modal hingga kepada khidmat nasihat pengurusan yang berterusan.
Pendidikan
Kearah semua itu, semua pihak hendaklah membaca isyarat Kebawah DYMM tersebut sebagai satu arahan, dan dengan itu mengambil langkah awal dan segera bagi merealisasikan budaya menabung yang kental di dalam masyarakat.
Antara langkah awal yang dimaksudkan ialah melalui pendidikan dan kempen penerangan yang meluas dengan menjadikan pelajar-pelajar sekolah dari darjah satu lagi sebagai kumpulan sasaran.
Pendidikan seharusnya bermula di peringkat sekolah lagi dan praktisnya, setiap sekolah hendaklah mewujudkan dan menyuburkan koperasi sekolah masing-masing. Tidak syak lagi, apabila para pelajar sudah terbiasa dengan amalan menabung dan menikmati dividen hasil tabungan mereka, tabiat tersebut secara langsung akan tersemai sebagai satu budaya apabila mereka dewasa nanti.
Kempen penerangan meluas pula adalah untuk memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat secara umum tentang peri pentingnya amalan menabung dan faedah-faedah yang akan mereka perolehi.
Oleh yang demikian langkah pendidikan, penerangan dan menyediakan produk-produk pelaburan yang reliable dan berintergriti hendaklah disepadu dan digerakkan secara berterusan oleh semua agensi-agensi berkaitan pada sepanjang masa supaya masyarakat sentiasa ingat, sedar dan terangsang untuk menabung dan melabur demi masa depan mereka dan generasi yang seterusnya.
Manfaat Tabungan Kepada Negara
Selain daripada manfaat peribadi yang diterima oleh setiap penabung, budaya menabung ini juga akan memberi faedah secara langsung kepada negara. Tabungan merupakan sumber dana utama yang digunakan untuk tujuan pelaburan. Ini kerana kadar tabungan yang tinggi dalam negara akan mengurangkan penggantungan negara kepada pelaburan asing.
Negara yang terlalu bergantung kepada modal asing bagi aktiviti pelaburannya lebih terdedah kepada kepentingan negara-negara asing dan aliran ekonomi mereka serta pengaruh kewangan dunia.
Kajian di negara-negara sedang membangun menunjukkan bahawa walaupun pelaburan asing menjana ekonomi domestik namun dalam masa yang sama aliran keluar daripada keuntungan yang diperolehi juga sangat tinggi. Oleh itu, negara kita perlu memiliki dan menguasai modal kita sendiri untuk menjamin pertumbuhan ekonomi yang dinikmati dapat dijana semula keatas pembangunan ekonomi domestik.
Antara lain perkataan, meskipun kita perlu kepada pelaburan asing, tetapi pada masa yang sama kita perlu bersedia untuk mengadakan kemampuan kita sendiri. Oleh itu, negara kita perlu memiliki dan menguasai modal kita sendiri untuk menjamin pembangunan ekonomi kita tidak mudah terjejas.
Penutup
Saranan dan nasihat Kebawah DYMM untuk melihat masyarakat Brunei sebagai masyarakat penabung adalah amat bertepatan sekali. Kita tidak seharusnya melihat Titah Baginda tersebut sebagai terhenti setakat itu sahaja atau dengan senghaja menyempitkan maksud tersurat dan isyarat Baginda itu. Kita hendaklah melihat Titah Baginda tersebut dengan menjengah jauh diluar tingkap sana.
Kita sewajarnya memikir dan mengambil tindakan proaktif dengan mengaitkan konsep menabung itu dengan faktor-faktor lain yang bermula dari pendidikan dan kempen berjimat cermat, mewujudkan iklim pelaburan yang sihat, menyediakan produk-produk pelaburan yang viable dan menguntungkan, dan kecekapan pengurusan yang meyakinkan semua pihak.
Galakkan untuk melahirkan masyarakat yang terbudaya dengan amalan menabung dan melabur adalah satu usaha yang tepat dan perlu disegerakan demi kepentingan rakyat dan negara.
Secara serius elit-elit penguasa dan elit-elit pentadbir seluruhnya hendaklah menyahut dan menanai gesaan Kebawah DYMM ini dengan memainkan peranan sewajarnya. Justeru, dengan sokongan yang bersepadu termasuk sokongan sungguh-sungguh institusi-institusi kewangan dengan menyediakan produk-produk pelaburan yang menarik dan memberangsangkan, dan memberikan kemudahan pinjaman modal secukupnya dan bimbingan berterusan kepada koperasi-koperasi Insyaallah, pasti akan membawa natijah, bukan hanya matlamat untuk menjadikan masyarakat kita sebagai masyarakat penabung, tetapi juga ia akan turut melahirkan masyarakat yang bebas kemiskinan dan sejahtera - Wallah a’alam.