LIMBARUH HIJAU 17 ZULQAEDAH 1431 (26 OKTOBER 2010) Keperihatinan Kebawah DYMM memeduli dan mengelinga kesejahteraan dan kebajikan rakyatnya amat disanjung tinggi dan sentiasa disambut baik oleh rakyat baginda. Bagaimana pula pihak-pihak berkenaan yang diberikan kuasa untuk melaksanakan titah?
Setentunya tiada siapa dapat menafikan bahawa baginda seorang raja dan pemerintah yang sentiasa ingau dan sentiasa bibiran bertitah akan nasib rakyat yang bernaung dibawah payong baginda.
Titah demi titah, lawatan demi lawatan telah baginda laksanakan, berlumpur bersama petani, berjemur bersama penuai ketika menanam dan mengetam padi, semata-mata kerana cinta dan kasih baginda kepada rakyat dan ingau akan untung nasib negara ini.
Rakyat seluruhnya merasa bersyukur dan merafak sembah menjunjung kasih atas kurnia itu yang tidak putus-putus dan sentiasa dikurniakan kepada mereka.
Lawatan-lawatan baginda ke agensi-agensi kerajaan tidaklah sia-sia, bukan juga untuk melihat kesalahan, malah untuk melihat sendiri keadaan sebenarnya, jangan timbul fitnah dan prasangka terhadap agensi-agensi berkenaan.
Sekiranya pun terdapat kepincangan, maka baginda dengan penuh bijaksana akan dapat meluruskan, mengusai dan menganugerahkan titah nasihat secara terus.
Parti Pembangunan Bangsa (NDP) bersama baginda Sultan dalam hal kesihatan dan keselamatan rakyat.
Kesihatan dan keselamatan rakyat amat penting, tanpa rakyat yang sehat dan selamat Negara akan mengalami kesulitan dan kerugian, pepatah mengajar kita bahawa “otak yang sehat terletak di badan yang sehat”
Kemajuan dan pembangunan Negara akan tersekat lantaran rakyatnya tidak sehat, modal insan ini amat perlu sehat dan selamat bagi menjamin mereka memberikan khidmat yang terbaik untuk Negara.
Justeru itu perkhidmatan kesihatan dan perubatan perlu sentiasa dijaga dan diperbaiki dari semasa ke semasa supaya tidak memberikan kesan yang tidak baik kepada Negara.
Makanya dalam Manifesto Politik NDP 2006-2016 DIBAWAH BAB kESIHATAN telah mengariskan perlunya diwujudkan R&D bagi amalan, latihan dan pemakanan untuk menjadikan generasi selepas merdeka terdiri dari warga yang bertubuh badan yang sihat, bertenaga, berstamina, tahan lasak dan dinamik, supaya wujud persiapan pekerja serba boleh, tentera atau pahlawan yang gagah, petugas negara yang berwibawa dan penggiat sukan yang dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain.
Dalam Manifesto yang sama NDP juga mengariskan perlunya rakyat dididik secara agresif agar mereka sentiasa peka dengan tahap kesihatan mereka melalui pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang sebagai langkah penjagaan kesihatan dan kawalan penyakit.
Kita tidak curiga akan keikhlasan dan kejujuran serta kebolehan dan kepakaran para pengamal perubatan khususnya para doktor yang didatangkan dari luar , namun alangkah indah dan sedapnya mata dan hati apabila pakar-pakar itu orang-orang katani, walaupun tidak semua tetapi lebih ramai daripada pakar luar.
Daripada 316 orang doktor hanya terdapat112 orang sahaja doktor tempatan iaitu sepertiga atau 35% sahaja yang berkhidmat di RIPAS iaitu satu-satunya hospital besar yang terdapat di Negara ini selain hospital di daerah-daerah lain. Apakah doktor-doktor tempatan tidak berminat untuk menjadi doktor pakar atau ada sesuatu yang menghalang mereka?.
Dalam perkhidmatan pembedahan umpamanya, memang banyak kali terdengar rungutan orang ramai akan hasil pembedahan tersebut yang mereka persoalkan.
Dalam satu kes suatu masa yang lalu seorang pesakit yang menjalani pembedahan usus juga tak sedarkan diri selepas pembedahan itu dan beberapa hari selepas itu dia meninggal dunia.
Sebelum pesakit tersebut menjalani pembedahan penulis sempat melawat dan bercakap dengannya di wad yang kebetulan abang penulis juga di tahan untuk menjalani pembedahan di bahagian perut.
Beliau sempat bercerita yang ianya telah beberapa kali berjumpa dengan doktor di RIPAS mengadukan hal sakitnya yang dialaminya di bahagian perut tapi tidak ada penyakit beliau menambah. Akhirnya beliau pergi ke negara jiran untuk minta pandangan dari pakar perubatan di sebuah klinik swasta di Bandar Miri. Hasilnya doktor klinik swasta tersebut mengesahkan yang beliau mengidap penyakit di bahagian usus dan memerlukan pembedahan segera.
Berdasarkan laporan itu beliau telah berjumpa semula doctor di RIPAS dan barulah beliau disahkan ada penyakit dan mesti dibedah.
Persoalannya bukan kematian tetapi mengapa begitu lama penyakitnya tidak dapat dikesan malah doktor luar dari sebuah klinik swasta pula dapat mengesannya.
Melahirkan anak ibarat bertarung dengan maut, begitu yang selalu didengar.
Cakap cakap begitu menggambarkan bahawa melahirkan anak bukanlah mudah dan dianggap ringan, malah ada yang mendatangkan maut bukan sahaja kepada ibu atau anak yang bakal dilahirkan tetapi keduanya.
Selepas melahirkan ibu-ibu yang berkenaan akan ditahan di dalam wad bersalin, mungkin sehari dua atau lebih tertakluk kepada kesihatan kedua ibu dan anak damit tadi, lazimnya sehari dua sahaja kerana ruang wad bersalin selalunya penuh dan tidak cukup untuk menampung mereka, kita pun maklum bahawa wad bersalin itu sudahpun lama dibina dan tiada tambahan dibuat sedang penduduk bertambah dan ibu-ibu melahirkan anak juga semakin bertambah.
Selepas melahirkan anak tentunya si ibu memerlukan masa rehat yang panjang , makanan yang sehat selain menjaga dan mengasuh anak damitnya. Maka adalah wajar titah Kebawah DYMM supaya tempoh cuti bersalin dipanjangkan sebagaimana yang telah diputuskan oleh konvesyen (102), (103) dan (183) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). Baginda lebih bijaksana dan prihatin serta dapat merasai nasib dan kesusahan ibu-ibu berkenaan.
Ikan adalah bahan utama permakanan kita selain daripada sayur, daging dan lainnya.
Memang sudah lama kedengaran akan penggunaan larutan fomalia bagi mengawet ikan, terutama ikan yang didatangkan dari luar.
Kita dapat melihat begitu mudah kenderaan-kenderaan yang membawa masuk ikan atau sayur ke Negara ini melalui pos-pos sempadan d Temburong, Kuala Lurah dan Sungai Tujuh.
Mengikut bisikan ada diantara ikan-ikan itu datang dari Sandakan dan Kota Kinabalu yang tentunya melalui perjalanan yang jauh dan lama.
Kita tidak pasti bentuk pemeriksaan di sempadan, apakah yang pihak kastam sahaja yang memeriksa, kalau ya apakah mereka mempunyai kelengkapan atau peralatan serta pengetahuan untuk memeriksa ikan atau sayur berkenaan; jika ada pihak lain yang memeriksa apakah mereka juga ada kemudahan serupa?
Apakah pemeriksaan ini berkala atau apabila ada tukul mengetuk barulah pahat berbunyi.
Apakah kita sanggup berkata bahawa Kebawah DYMM bertitah bohong dalam isu-isu berkenaan, kalau tiada angin bertiup masakan daun bergoyang, begitulah juga baginda sultan, jika tiada aduan yang disembahkan kepada baginda masakan baginda berangkat. Rakyat mungkin sedar kemana pun mereka mengadukan hal hasilnya tentu lambat diambil tindakan, lainlah kalau terus kehadapan raja mereka.
Janganlah sampai titah berulang, ibarat gayung tidak bersambut titah tidak berjawab, sebagaimana titah baginda “ jangan tunggu lama-lama perkara makanan ini beta telah timbulkan dan menunggu respons tetapi yang mana beta harap selama ini hanya sepi dan sejuk sahaja” (Tulisan Haji Juned Ramli, Setiausaha Agung NDP)
|