LIMBARUH HIJAU 12 SYAWAL 1431 (21 SEPT 2010) - KEMASLAHATAN Rakyat Brunei yang masih menetap di Kampong Paya Karangan, Paya Sinaraban, Tedungan, Durian Suluk iaitu kampong-kampong Brunei yang terletak dalam wilayah dipertikai di Daerah Limbang perlu diberikan perhatian sirius oleh pihak-pihak tertentu terutama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Aspirasi-NDP dimaklumkan kelmarin lebih 60 rakyat Brunei masih menetap di kampong-kampong yang terletak dipersekitaran kira-kira 5 kilometer kedalam kawasan Limbang.
Sebelumnya lebih 200 tinggal di kawasan-kawasan tersebut.
Tetapi disebabkan masalah persempadanan antara Brunei dan Malaysia yang berpuluh tahun belum dapat diselesaikan, dan ditambah buruk lagi dengan sikap pihak-pihak tertentu di Brunei kurang memberikan perhatian sirius kepada isu tersebut, ramai mereka terpaksa meninggalkan kampong halaman untuk berpindah dan kerkampong dalam kawasan Brunei yang tidak dipertikai.
Dianggarkan yang masih bertahan hingga hari ini kurang lebih 200 penuduk, walaupun menghadapi berbagai masalah. Contohnya untuk berulang alik berkerja, menghantar anak-anak sekolaah dan membawa hasil tanaman untuk dijual dari 'wilayah' Brunei yang 'ditadbir' oleh Kerajaan Sarawak, mereka terpaksa melalui pos kawalan immigresen dan kastam Malaysia. Bekalan letrik dan air pula terpaksa diperolehi dari Kerajaan Sarawak kerana ketidaan bekalan letrik dan air dari Brunei.
Sangat menyedihkan untuk mendapatkan bekalan letrik dan air ada yang terpaksa menukar milik tanah kepada sudaramara yang berkerakyataan Malaysia. Dalam lain perkataan mereka terpaksa menyerahkan wilayah Brunei yang mereka warisi turun temurun beratus tahun yang lalu kepada suadamara di Limbang.
Sehubungan dengan masalah tersebut, Majlis Tertinggi Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang bersidang kelmarin sebulat suara mengambil keputusan untuk mengutus surat meminta Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam memberikan perhatian sirius kepada kemaslahatan rakyat Brunei yang terhimpit oleh isu sempadan antara Brunei dengan Sarawak itu.
Mesyuarat Majlis Tertinggi NDP kali ke-45 juga sebulat suara bersetuju agar penyelesaian isu sempadan yang telah dipersetujui dalam Pertukaran Surat (Letter of Exchange) yang telah ditandatangani oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam dan Mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada bulan Mac 2009 yang lalu, diperjelaskan lagi kepada rakyat. Langkah tersebut akan dapat mengurangkan kekeliruan rakyat Brunei dan menambah keyakinan mereka kepada kebijaksanaan Brunei dalam menangani isu sempadan tersebut.
Sementara itu Baginda Sultan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini (21 September 2010) akan akan bertukar-tukar pandangan berhubung hubungan dua hala antara kedua-dua negara sempena Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei Ke-14 yang akan berlangsung di Putrajaya.
Baginda Sultan telah berangkat ke Kuala Lumpur kelmarin.
Acara rundingan tahunan tersebut merupakan platform tertinggi bagi kedua-dua negara saling bertukar pandangan mengenai perkara-perkara dua hala, serantau dan antarabangsa yang menyentuh kepentingan bersama.