LIMBARUH HIJAU 24 SYAWAL 1431 (3 OKTOBER 2010) – PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mengalu-alukan langkah Kementerian Pendidikkan memperkenalkan Standard Guru Brunei iaitu Brunei Teachers’ Standard.
Standard Guru Brunei (SGB) ini antara lain akan menggariskan kriteria dan standard am guru serta kompetensi profesional tenaga pengajar di negara ini.
Standard Guru Brunei akan diwujudkan bagi tujuan guru-guru yang yang diberikan tugas dan tanggungjawab untuk mendidik anak bangsa memiliki akhlak mulia, berkemahiran, berketrampilan dan berkualiti tinggi.
Baginda Sultan dalam titah sempena Majlis Sambutan Hari Guru ke-20 Tahun 1431 Hijrah / 2010 Masihi bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 19 Syawal 1431H / 28 September 2010 mengalu-alukan langkah bijak kementerian dan berharap ianya akan menjadi pemacu dalam melahirkan anak bangsa yang cemerlang selaras dengan Wawasan Brunei 2035.
Menyentuh tema sambutan Hari Guru 2010 iaitu ‘Guru Gemilang Pelajar Cemerlang’, baginda bertitah,
“kegemilangan disandarkan kepada guru yang berkualiti, berkemahiran dan berketrampilan. Pengetahuannya luas, bijak menyampaikan ilmu serta memiliki akhlak yang mulia”.
“Sementara pelajar cemerlang pula ialah pelajar yang berjaya. Pelajar diasuh untuk berjaya, sebelum bangkit membina bangsa”, titah baginda.
Baginda seterusnya menekankan bahawa guru gemilang banyak dilihat kepada peranannya.
“Jika peranan itu dimainkan sebaik mungkin, maka itulah tandanya gemilang”.
“Peranan guru menuangkan ilmu kepada anak didik serta sekali gus membawa perubahan bermakna kepada mereka”.
“Apabila angin perubahan diterima oleh pelajar, maka akan lahirlah individu-individu progresif yang sangat berguna kepada negara”, tegas baginda.
|
|
Ini, menurut titah baginda, adalah hukum alam, setiap perubahan itu akan membawa perkembangan.
“Kerana itu, usaha mestilah digiatkan untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin sekolah dan guru-guru yang baik, melalui program-program latihan perkembangan dan kemahiran yang ada disediakan”.
“Ke arah mengekalkan guru berkualiti ini, beta difahamkan bahawa Kementerian Pendidikan telah pun mewujudkan Standard Guru Brunei iaitu Brunei Teachers’ Standard yang menggariskan kriteria dan standard am guru serta kompetensi profesional yang patut dicapai oleh seseorang guru”.
Tambah baginda, “Beta yakin, kepelbagaian usaha yang dilaksanakan dalam pelaburan pendidikan awal kanak-kanak, yang salah satu agenda utama kementerian ini, akan dapat meraih pulangan tinggi untuk Wawasan Brunei 2035”.
“Beta percaya, kecermelangan kanak-kanak di peringkat ini, penajanya, adalah guru-guru yang gemilang”.
Usul NDP
Sehubungan dengan titah baginda tersebut, NDP juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kementerian Pendidikkan atas langkah bijak untuk memperkenalkan SGB.
NDP yakin SGB (yang mungkin buat masa ini masih ditahap awal perlaksanaannya) akan menggariskan secara komprehensif kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan.
Apa yang penting SGB mestilah menjadi faktor pemangkin kepada kemajuan institusi pendidikan di negara ini termasuk institusi pendidikan yang diselenggarakan oleh swasta dalam usaha mebangun modal insan yang berkualiti; menghasilkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara sperti yang digariskan dalam Wawasan Brunei 2035. (MHO) |