LIMBARUH HIJAU 16 ZULQAIDAH (25 OKTOBER 2010) PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) menjunjung kasih Kehadapan Majlis KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah atas titah mengingatkan para pegawai perubatan atau doktor-doktor supaya tidak mengambil ringan terhadap pesakit.
NDP benar-benar rasa tersentuh dengan titah tersebut yang mengambarkan betapa baginda Sultan sangat peka akan kesejahteraan rakyat terutama golongan pesakit yang sangat memerlukan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang efisyen, efektif dan berkualiti tinggi.
Teguran baginda terhadap perkhidmatan yang ada sudah jelas memperlihatkan kekecewaan baginda dan hasrat baginda agar ianya diperbaiki dalam kadar segera.
Saranan baginda langkah yang perlu diambil serta merta ialah meningkatkan profesionalisma para pegawai perubatan dan doktor-doktor dalam memberikan perkhidmatan mereka di negara ini.
Titah baginda ketika membuat lawatan mengejut ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anaka Saleha (RIPAS) baru-baru ini, "mereka mesti betul-betul mengenali pesakit mereka, apa jenis penyakit dan apa rawatan yang sesuai dengan penyakit itu serta termasuk juga tentang tinggi rendah risiko sesudah rawatan dibuat"
Menurut baginda semua yang dilakukan perlu kemas dan mendalam, bukan ikut-ikut sedap memberi jaminan atau meramal seperti kejadian yang pernah berlaku.
Baginda memberi contoh adanya pegawai perubatan yang memberikan jaminan 80 peratus selamat berbanding 20 peratus jika tidak dibedah kepada pesakit yang mengalami tumor dalam kepala jika pesakit berkenaan apabila menjalani pembedahan serta tidak akan mengalami apa-apa masalah untuk sedar semula dan akan terus menjalani terapi sahaja.
Namun apa yang berlaku titah baginda setelah pesakit itu dibedah, pesakit berkenaan tidak sedarkan diri selama dua minggu sampailah meninggal dunia.
"Ini satu contoh saja. Soalnya wajarkah pendekatan pegawai perubatan seperti itu iaitu memberi harapan atau jaminan 80 peratus dan apa yang berlaku pesakit terus tidak sedar-sedar sampai meninggal dunia. Dari manakah didapat 80 peratus? Adakah ia berasaskan kajian atau hanya agak-agak sahaja," titah baginda.
Sebab itulah baginda pernah menyebut supaya para doktor tidak akan jadi bayang-bayang yang menakutkan kepada masyarakat tetapi menjadi suluh harapan bagi mereka.
Untuk itu titah baginda, para pegawai perubatan atau doktor-doktor mustahaklah sukses dalam perkhidmatan mereka dan tidak boleh lebih kurang atau ambil ringan terhadap pesakit.
Di mata masyarakat, jelas baginda para doktor menjadi fokus utama kepada masyarakat kerana yang akan mendapat manafaat dari perkhidmatan para doktor ialah masyarakat.
Baginda menegaskan, perhatian masyarakat tidak boleh dipalingkan kepada yang lain-lain melainkan akan tetap kepada para doktor dan pegawai perubatan juga.
Menyebut tentang kualiti pula, jelas baginda lagi sudah tiba masanya untuk semua lebih berhati-hati dalam melakukan penilaian kepakaran orang-orang yang akan diambil berkhidmat.
"Tidaklah memadai hanya semata-mata berdasarkan kelayakan di atas kertas tetapi perlu turut dilihat ialah pengalaman dan rekod perkhidmatan yang pernah dilalui oleh calon. Sehubungan itu usaha kita untuk menghasilkan pakar-pakar tempatan sendiri perlulah diberi perhatian serius. Kita tidak boleh abaikan tetapi perlu dengan pantasnya kita bergerak dan merancang. Penyandang-penyandang kelulusan biasa janganlah cepat berpuas hati tetapi perlu terus melangkah hingga ke tahap pakar. Brunei adalah sedang menunggu dan memerlukan mereka," titah baginda.
Saranan NDP
Sehubungan dengan titah baginda tersebut, NDP mengimbas saranan parti dalam Manifesto Politik NDP 2006 - 2016.
Dalam saranan tersebut NDP berseru agar di wujudkan sistem perkhidmatan kesihatan yang bukan sahaja percuma tetapi lebih sempurna dan terbaik.
Selain itu perkhidmatan tersebut mestilah dapat dinikmati oleh setiap orang tanpa mengira status sosial mereka, sama ada di bandar atau di kampung-kampung. Mereka semua berhak mendapat layanan perkhidmatan rawatan yang terbaik, ubat-ubatan yang berkualiti, klinik, wad-wad hospital yang selesa, khidmat kepakaran dan peralatan rawatan yang cukup, terkini serta bertaraf dunia.
Dalam saranan tersebut NDP juga melihat perlunya hospital-hospital mempunyai nisbah doktor pakar / pesakit mengikut piawaian antarabangsa dan mendapat perkhidmatan kepakaran luar bagi menampung sebarang kekurangan.
Untuk meningkatkan profesionalisma para pegawai perubatan termasuk jururawat, NDP telah menyarankan agar program latihan pegawai perubatan dan jururawat terlatih digiatkan secara berterusan bagi tujuan mengurangkan penggantungan kepada sumber-sumber tenaga manusia dari luar.
Menyentuh titah teguran baginda Sultan berhubung akauntabiliti pakar perubatan dan doktor-doktor, NDP berpandangan sudah tiba masanya ditubuhkan (jika belum ada) sebuah badan bebas dalam bentuk suruhanjaya penyiasatan (Commission of Inquiry) dalam sistem perkhidmatan kesihatan dan perubatan di negara ini.
Badan bebas ini perlu diberikan kuasa untuk menyiasat kes-kes aduan awam yang melibatkan atau dipercayai melibatkan kecuaian, salah laku dan melanggar etika perubatan sehingga menyebabkan kecedaraan atau kematian kepada pesakit. Melalui mekanisma ini kepentingan para pesakit dan keluarga pesakit akan lebih terjamin dan mendapat perlindungan dari sikap cuai dan salah laku pakar-pakar perubatan dan doktor-doktor yang kurang profesional.
Juga turut penting ialah perlunya ketelusan dalam melaksanakan sistem akauntabiliti tersebut sehingga ianya boleh memenafaatkan para pesakit dan keluarga yang mengharapkan pembelaan dan keadilan. Dalam lain perkataan para pesakit dan keluarga para pesakit perlu mendapat akses untuk mengunakan khidmat dari badan tersebut.
|