LIMBARUH HIJAU, RABU- Semasa orang ramai membanjiri Istana Nurul Iman untuk berjunjung ziarah kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam dan anggota kerabat baginda beberapa orang ahli-ahli Parti Pembangunan Bangsa yang ingin menyertai rombongan ke istana tersekat ekoran kejadian banjir melanda banyak kawasan di Daerah Tutong termasuk kawasan rumah kediaman mereka.
Di kawasan menuju ke pedalaman air naik membanjiri jalan-jalan raya di Bukit Udal, bermula daripada kawasan Penapar, seterusnya beberapa kawasan lainnya termasuk Kampung Rambai telah menjejaskan kemudahan penduduk di sekitarnya untuk menembusi laluan tersebut terutama sekali yang menggunakan kenderaan jenis salon.
|

Ketua HAWA berhari raya dengan menaiki bot pelampong
|
Dalam kejadian hari Khamis lalu sehari sebelum Sambutan Hari Raya Aidil Fitri hujan lebat telah turun di negara ini, bermula kira-kira pukul 5:00 petang semasa hendak bermulanya perlaksanaan melihat anak bulan Syawal. Bagaimanapun orang ramai juga turut dikejutkan kerana melalui pengumuman radio dan televisyen mengistiharkan bahawa anak bulan sabit kelihatan dan hari raya disambut keesokkan harinya (Jumaat).
Daerah Tutong berlaku kejadian banjir kilat termasuk tanah susur di kawasan Pekan Tutong sehingga air naik memasuki ruang Masjid Hassanal Bolkiah, ke kawasan sekitar dan ruang kedai Bangunan Tutong Central Mall seterusnya jalanraya berhadapan dengan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Jalanraya Sungai Besar dan jalan menuju ke pasar neka dan tamu Tutong serta jalanraya berdepan kedai Lee Ta Trading menuju ke Sengkarai.

Naik bot pelampong untuk sampai ke rumah ahli NDP yang menjadi mangsa banjir di Kampong Rambai
|
Kejadian tanah susur bukan sahaja menjejaskan kawasan rumah persendirian tetapi juga kawasan awam seperti Masjid Hassanal Bolkiah sehingga sembahyang Sunnat Hari Raya Aidil Fitri dan Takbir Raya di Malam Raya tidak dapat dilaksanakan di masjid tersebut selain itu berlakunya tanah susur di tanah perkuburan Islam Sugan, Kampung Suran dan tanah perkuburan masyarakat Tiong Hua.
Sementara itu bagi Dayang Mariani binti Abdullah (ahli NDP) yang tinggal di Kampung Rambai Lamunin, lantai rumahnya di naiki air pada malam hari raya pertama dan mulai surut pada hari raya kedua tetapi kawasan rumahnya masih di tenggelami air sehingga mereka terpaksa menggunaka bot pelampong untuk kemudahan keluar dari rumah menuju ke kawasan jalan.
Menurutnya dia tidak pernah melepaskan peluang untuk turut menyertai rombongan Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa berkunjung ke Istana Nurul Iman pada majlis junjung ziarah kehadapan Baginda Sultan dan kerabat Baginda.
Tetapi pada tahun ini dia sangat merasa hampa kerana tidak dapat bersama-sama dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain kerana amat sukar dia meninggalkan rumahnya dalam keadaan banjir yang melanda, selain hari raya tahun ini juga turut tidak begitu meriah dengan kunjungan daripada sanak saudara yang juga sama mengalami banjir di kawasan mereka di kampung itu.
Titiah kayu yang dibinanya tujuh tahun lalu telah roboh dalam kejadian banjir tahun lalu, dan sejak itu dia mengalami kesukaran untuk keluar rumah jika berlaku kejadian banjir yang menurutnya pada masa ini tidak lagi bermusim kerana setiap kali hujan turun dengan lebat dan berterusan akan berlakulah banjir besar di kawasan kampung mereka itu yang juga dipercayai berpunca setelah jalan-jalanraya laluan ditinggikan di beberapa kawasan di mukim itu.
Sebagai tanda perihatin seorang pemimpin, Timbalan Presiden NDP Saudara Malai Hassan bin Malai Haji Othman telah membuat tinjauan ke kawasan Kampung Rambai terutama sekali ke rumah Dayang Mariani yang mendakwa mengalami titian roboh sejak setahun lalu dan telah menghadapkan permohonan kepada beberapa buah jabatan berkenaan untuk bantuan membinakan titian baru tetapi sehingga kini tidak ada tindakan selanjutnya ataupun jawapan ke atas permohonannya itu.
Kunjungan tersebut yang turut disertai oleh Ketua Himpunan Wanita Pusat NDP Hjh Sa’emah Hj Kepli adalah juga berhasrat untuk membantu menceriakan Dayang Mariani Abdullah (ibu tunggal) dan anak-anaknya sempena Sambutan Hari Raya Aidil Fitri dalam keadaannya yang agak menyedihkan kerana mengalami masalah bencana alam persekitaran.
Kehadiran Timbalan Presiden dan Ketua HAWA Pusat telah sedikit sebanyak menceriakan Dayang Mariani dan anak-anak serta adik beradiknya dan juga jiran (ahli-ahli NDP) di kawasan kampung tersebut sambil meluahkan perasaan mereka yang terus menghadapi masalah banjir jika cuaca tidak menentu.
Masalah yang dihadapi oleh Dayang Mariani telah turut dipaparkan ke dalam akhbar tempatan hari ini, dengan harapan mudah-mudahan pihak-pihak berkenaan bertindak mempercepatkan perlaksanaan membantu membina titian kayu di hadapan rumahnya.
Dalam ucapannya pada Majlis Rumah Terbuka NDP Isnin lalu, Timbalan Presiden Saudara Malai Hassan telah menyeru kepada Badan Perhubungan Daerah Tutong untuk meluangkan masa meninjau ke kawasan yang mengalami banjir terutama sekali di kalangan ahli-ahli NDP, katanya mudah-mudahan dengan lawatan itu nanti akan dapat membantu meringankan rasa sedih yang mereka alami akibat kejadian tersebut.
Memberitahu Aspirasi, beliau berharap lawatan susulan ke rumah Dayang Mariani akan dapat segera dilakukan oleh Badan Perhubungan Daerah Tutong dan juga Biro Alam Sekitar dan biro-biro yang lain dalam NDP supaya masalah di kalangan ahli-ahli tidak akan terbiar begitu sahaja tetapi mendapat perhatian daripada NDP sendiri.
Menyertai kunjungan spontan itu ialah Ketua Himpunan Wanita Perhubungan Daerah Tutong Dayang Hajah Maslenawati binti Abdullah.
Sementara itu Ketua HAWA Pusat Dyg Hjh Sa’emah berkata, adalah menjadi satu pengalaman baru dalam hidupnya berhari raya menaiki bot pelampong menuju ke rumah yang hendak dikunjungi, dan baginya betapa berat mata memandang beratlah lagi bahu yang memikul, terutama sekali jika waktu malam, menggunakan bot pelampung kecil adalah agak merbahaya selain dalam keadaan sekeliling yang gelap, adalah dikhuatiri terdapatnya ular atau sebagainya timbul di dalam keadaan banjir.
“Lebih-lebih lagi Dayang Mariani merupakan ibu tunggal tinggal bersama anak-anaknya juga perempuan, tiada bantuan lelaki, keadaan banjir di kawasan rumahnya itu adalah satu perkara yang agak sukar dihadapi, tambahan lagi tiada kemudahan titian yang boleh menyambungkan dia menuju ke kawasan jalan dengan segera jika berlaku sebarang kejadian kecemasan” ujar Hajah Sa’emah.
Dayang Mariani merupakan salah seorang ahli jawatankuasa yang aktif dalam Badan Perhubungan Daerah Tutong dan juga jawatankuasa HAWA Daerah Tutong, beliau tidak pernah ketinggalan dalam menyertai apa jua kegiatan yang dianjurkan samada oleh HAWA ataupun NDP Pusat dan daerah serta di rantingnya. (HSK)