LIMBARUH HIJAU-Jumaat- Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa berasa bersyukur kehadrat Allah SWT dan menjunjung kasih ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah bertitah menyarankan pihak-pihak dalam Kerajaan Baginda mengkaji mengenai peraturan cuti bersalin yang Baginda hasratkan untuk ditambah dengan menggenapkannya tempoh percutian itu kepada 100 hari.
Sementara itu Ketua Himpunan Wanita NDP Dayang Hajah Sa’emah binti Haji Kepli, ketika ditemui Aspirasi NDP berkata, Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (HAWA) bagi mewakili seluruh wanita terutama sekali kaum ibu di Brunei Darussalam ini, menjunjung kasih kehadapan Baginda Sultan kerana Titah Baginda itu satu perkara yang memang sudah lama dihasratkan oleh rakyat Baginda di kalangan kaum wanita yang baru bersalin.
"Titah Baginda semasa lawatan mengejut Ke Hospital RIPAS baru-baru ini begitu membahagiakan golongan wanita, sekaligus ianya merupakan satu rahmat yang dapat dirasakan", ujar beliau.
Menurut beliau, titah Baginda Sultan dalam perkara ini, jelas sekali memperlihatkan betapa Baginda amat memberikan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat dan tidak ketinggalan juga di kalangan kaum wanita yang tidak terkecuali mempunyai peranan besar dalam keluarga, agama, bangsa dan juga negara mereka.
Beliau berkata lagi, titiah Baginda amat jelas membuktikan betapa Baginda melihat pentingnya kaum ibu perlu berada di samping anak damit mereka sekurang-kurangnya selama tiga bulan sebelum mereka meninggalkan anak damit mereka untuk dijaga oleh pembantu ataupun nenek anak damit mereka.
"Bukan itu saja kesedaran dan keprihatian Baginda juga jelas dalam melaksanakan sokongan kepada kesedaran sikap mempraktikkan dengan sepenuhnya dan sungguh-sungguh penyusuan susu ibu dengan perasaan yang tenang tanpa sebarang rasa kerisauan sepanjang masa tempoh cuti bersalin. Program Penyusuan Susu Ibu itu merupakan satu program yang dipandang paling penting di dunia sehingga ianya diraikan setiap tahun dengan tema yang berbeza di seluruh dunia", jelas beliau lagi.
Katanya lagi, baginda juga turut melihat melalui, bahawa kadar cuti lepas bersalin yang dikuatkuasakan oleh pihak Kerajaan sejak tahun 1993 untuk tempoh hanya lapan minggu atau lima puluh enam hari, tidak begitu relevan dengan piawaian Antarabangsa masa kini.
Menyentuh titah baginda, Ketua HAWA mengambil maklum titah menekankan bahawa piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa konvesyen 102 dan 103 telah menetapkan tempoh cuti bersalin tidak kurang daripada 12 minggu (84 hari) sementara dalam konvensyen 183, piawaian yang sama pula telah menetapkan tempoh tersebut tidak kurang daripada 14 minggi (98) hari, di mana enam minggu merupakan cuti wajib selepas kelahiran.
Ketua HAWA juga mengambil maklum akan titah Baginda menekankan lagi di setengah-setengah negara di dunia pula ada negara yang masih lagi terus membahaskan untuk menambah cuti bersalin sehingga selama 90 hari.
Menurt beliau teguran baginda Sultan kenapa kah di Brunei ianya masih menggunakan peraturan lama, adakah ianya sudah sesuai dengan keadaan di sini atau jika tidak kenapakan rasionalnya tidak dicari atau difikirkan oleh pihak-pihak yang berkenaan tentang ini, perlu di berikan perhatian serious oleh pihak-pihak berkenaan.
Menurut Ketua Himpunan Wanita NDP saranan baginda Sultan perlu diberikan perhatian serious dengan mengambil kira dari sudut kesihatan kaum ibu yang baru bersalin.
Menurut beliau ibu yang lepas bersalin akan mengalami pengeluaran nifas iaitu darah yang keluar dari faraj wanita sesudah bersalin, dan paling lama tempoh nifas adalah selama 60 hari dan paling kurang sedetik sahaja.
Lazimnya keadaan wanita yang baru lepas bersalin itu mengalami keadaan fizikal yang agak lemah dan memerlukan rawatan pengambilan ubat lepas bersalin yang secukupnya selain mesti mematuhi pantang larang selepas bersalin bukan hanya sebagai adat tetapi ianya dilihat amat penting demi kesihatan berterusan kaum wanita selepas melahirkan anak, jelas beliau lagi.
Katanya HAWA NDP melihat, waktu 56 hari adalah tempoh yang tidak cukup bagi istiharat wanita selepas bersalin, sedangkan nifasnya juga belum kering, ditambah pula tanggungjawab untuk menyusukan anak mereka dan untuk itu mereka perlu menumpukan perhatian dan perasaan yang tenang selain itu mereka juga amat memerlukan suami untuk berada disisi mereka sebagai memenuhi apa yang diperlukan oleh anak mereka iaitu belaian dan kasih sayang ibubapa.
Ini juga menjadi kesedaran Baginda Sultan apabila Baginda Bertitah menekankan bahawa 56 hari tidak mampu untuk memberikan kerehatan yang secukupnya kepada para warga ibu yang baru bersalin, kerana menurut Baginda perkara melahirkan bukanlah ringan tetapi cukup berat bagi lagi membebankan ditambah lagi dengan tanggungjawab ibu selepas melahirkan ialah menyusukan anak yang baru lahir, Titah Baginda lagi “ Jika ada tempoh cuti yang lebih lama akan dapatlah dimanafaatkan bagi ibu-ibu menyusukan anaknya lebih lama kerana susu ibu digalakkan dan malah sangat-sangat penting dari segi kesihatan.
Dalam perkara menyusukan anak, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 233 “Dan hendaklah ibu-ibu menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh iaitu bagi sesiapa yang ingin menyempurnakan penyusuan”. Dari firman Allah SWT itu sudah jelas menekankan bahawa salah satu tanggungjawab setelah digelar ibu adalah untuk menyusukan anak-anak mereka.
Di samping itu berhubung dengan kesejahteraan wanita yang baru bersalin Parti Pembangunan Bangsa dalam Manifestonya 2006 hingga 2016 turut mencadangkan bagi mewajibkan pemeriksaan bagi ibu-ibu yang mengandung sejak dari awal hingga bersalin bagi memastikan kesihatan ibu dan kandungan berada di tahap yang tinggi melalui pendekatan ‘centrifugal’ sengan matlamat mencapai secara klinikal status sifar kematian anak damit disebabkan dengan sebab kekurangan kepakaran dalam urusan anak-anak damit.
Selain Manifesto NDP juga mencadangkan supaya cuti bersalin ditambah tempohnya dengan bergaji penuh, dan satu minggu cuti bergaji penuh bagi suami kerana isteri bersalin, ini adalah dilihat penting untuk suami berada di sisi isteri untuk memberikan semangat dan juga kasih sayang kepada kedua-duanya isteri dan anak yang baru lahir.
“Mudah-mudahan perkara perubahan tempoh cuti bersalin itu nanti, akan dapat dimanafaatkan sebaik-baiknya oleh kaum ibu lepas bersalin, terutama sekali menggunakannya untuk mencukupkan perubatan demi kesihatan, dan melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab memberikan kasih sayang kepada anak mereka yang baru lahir dengan penyusuan anak” katanya lagi.
“Semua itu adalah sebahagian daripada peranan kaum wanita, kerana kaum wanita dilahirkan ke dunia ibarat sebutir permata, apabila digilap akan memancarkan kilauan cahaya, apabila diletak di tempat yang mulia akan disanjung sebagai permaisuri, apabila dibekal dengan ilmu di dada akan menjadi cendiakiawan bistari. Seorang wanita akan dikenang sebagai suri sang jejaka, menjadi ibu kepada puteri dan putera dan menjadi pertiwi seisi buana” ujarnya. (HSK
|