BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 20 Oktober. - Bidang kesihatan dan perubatan di negara ini turut menjadi perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah memastikan rakyat dan penduduk mendapat perkhidmatan kesihatan yang sewajarnya.
Keprihatinan ini terbukti dengan keberangkatan baginda meninjau kemudahan-kemudahan serta perkhidamatan-perkhidmatan yang terdapat di kompleks Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dengan meluangkan masa lebih dua jam semata-mata untuk meninjau sekitar kompleks hospital berkenaan.
Keberangkatan tiba baginda dijunjung oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan yang seterusnya mengiringi baginda sepanjang lawatan tersebut.
Berangkat sama ialah anakanda-anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik.
Baginda mula-mula berangkat melawat Unit Rawatan Pembedahan Rapi (SICU) yang mana pada ketika ini merawat seramai 16 orang pesakit yang dalam keadaan kritikal sebelum berangkat meninjau Wad 9 yang menempatkan pesakit-pesakit lelaki dan wanita selepas menjalani pembedahan otak dan pembedahan plastik.
Salah satu bahagian yang menarik perhatian baginda ialah Unit Rawatan Perubatan Rapi (MICU) yang terletak di tingkat tiga yang juga menepatkan para pesakit yang dalam keadaan kritikal.
Dari MICU, baginda berangkat meninjau Unit Rawatan Jantung Koronari, di mana beberapa tahun dahulu Kementerian Kesihatan menghantar para pesakit ke luar negeri bagi menjalani rawatan pembedahan jantung yang menelan belanja begitu besar, tapi kini kebanyakan pembedahan seumpamanya boleh dilakukan di negara ini.
Lebih membanggakan Hospital RIPAS telah mencatat sejarah di mana pada tahun 2008 para doktor tempatan telah berjaya melakukan pembedahan ke atas seorang anak damit yang paling kecil seberat 800 gram yang mengalami masalah jantung.
Unit Agama hospital juga dilawati oleh baginda yang memberi perkhidmatan mengazankan dan mengiqamatkan anak damit yang baru lahir, memberi perkhidmatan kepada mereka yang menghadapai sakit-sakit tenat, memberi ceramah, bimbingan, kursus, bengkel dan motivasi kepada pegawai dan kakitangan hospital.
Wad 19 pula menempatkan pesakit-pesakit wanita yang menghidap penyakit yang berkaitan dengan kencing manis, darah tinggi dan usus, sambil meninjau peralatan dan perkhidmatan yang diberikan, baginda juga berkenan beramah mesra dengan para pesakit.
Baginda seterusnya berangkat melawat ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan yang menerima kes-kes trauma, pembedahan dan kes perubatan, jabatan berkenaan dilengkapi dengan peralatan canggih dan kakitangan yang terlatih.
Antara bahagian yang berperanan penting di kompleks RIPAS ini termasuklah Bahagian Radiologi yang mempunyai 14 bilik masing-masing menempatkan peralatan X-ray dan bilik-bilik bagi pemeriksaan ultra-sound dan CT Scan.
Semasa berangkat melawat di bahagian tersebut, baginda bertitah melahirkan keperihatinan terhadap keselesaan para petugas, pesakit dan juga keselamatan dan pemeliharaan peralatan.
Salah satu bahagian menarik perhatian baginda ialah Bahagian Farmasi di mana di bahagian tersebut baginda meninjau sistem keselamatan penyimpanan ubat-ubatan dan baginda bertitah agar para pegawai dan kakitangan di bahagian tersebut meningkatkan kewaspadaan terhadap tugas masing-masing.
Setelah itu baginda meneruskan lawatan ke Blok Pesakit Luar Kardiologi yang antara lain menepatkan bahagian jantung yang ditubuhkan bagi meningkatkan keperluan penjagaan khusus terhadap penyakit jantung. Di Negara Brunei Darussalam penyakit kardiovaskular merupakan masalah utama kesihatan meliputi penyakit alteri, koronari yang sering dihadapai oleh pesakit di negara ini.
Pusat Diabetik juga dilawati oleh baginda, di mana kencing manis menjadi punca kedua bagi kemasukan pesakit ke wad-wad sejak beberapa tahun kebelakangan dan sejak tahun 2001 menjadi punca ketiga terbanyak serta punca keempat kematian akibat masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu.
Status kesihatan penduduk di negara ini terus meningkat sejak 20 tahun lalu di mana tahap pencapaian meningkat mengikut sukat-sukat kesihatan sedunia. Walaupun telah mencapai ke tahap tersebut, namun kerajaan baginda meneruskan usaha memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang lebih baik kepada para pesakit yang menerima rawatan.
Baginda juga meninjau pelbagai bahagian yang terletak di lantai dasar kompleks hospital berkenaan, antaranya Klinik Pakar Mata, yang mana menurut Jabatan Mata hospital berkenaan pada tahun 2008 sejumlah 67,127 pesakit luar diberi rawatan mata sementara 1,083 pembedahan 679 pembedahan laser telah dilakukan.
Baginda kemudian berangkat ke bilik pakar perubatan yang antara lain berperanan memberi konsultasi kepada pesakit mengenai pembedahan yang akan mereka jalani dan membuat perjanjian dengan pakar.
Baginda meneruskan lawatan ke Wad Pediatrik Khas Kanak-kanak yang turut menyediakan bilik bagi memberikan rawatan rapi.
Lawatan baginda seterusnya ialah ke bilik pembedahan yang antara lain berperanan membuat perjanjian sebelum berlepas pembedahan yang dirujuk dari mana-mana klinik di hospital tersebut.
Baginda seterusnya berangkat ke bangunan pakar yang antaranya menempatkan klinik-klinik telinga hidung dan keronkong dan pergigian, pertuturan, percakapan.
Hospital RIPAS yang telah dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pada tahun 1984 menempatkan hampir 600 buah katil dan sejauh ini telah menempuh perkembangan pesat dengan penambahan perkhidmatan baru dan peralatan canggih serta kakitangan yang berkemahiran.
Ianya juga merupakan hospital pembelajaran utama di negara ini bagi para doktor, jururawat dan pelajar jururawat dengan kerjasama Institut Sains Perubatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam dan Fakulti Perubatan Queensland.
Sehingga kini sejumlah 316 orang doktor termasuk 112 doktor tempatan berkhidmat di hospital berkenaan dan dari jumlah tersebut seramai 77 orang adalah doktor pakar, 66 orang pegawai kanan perubatan dan 173 pegawai perubatan.
Dari Hospital RIPAS, baginda berangkat meneruskan lawatan ke Kementerian Kesihatan bagi sesi soal jawab tertutup bersama Menteri Kesihatan serta pegawai-pegawai kanan termasuk para doktor dan pegawai perubatan.

Gambar ehsan Pelita Brunei
|
Jangan ambil ringan terhadap pesakit
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan para pegawai perubatan atau doktor-doktor supaya tidak mengambil ringan terhadap pesakit.
"Mereka mesti betul-betul mengenali pesakit mereka, apa jenis penyakit dan apa rawatan yang sesuai dengan penyakit itu serta termasuk juga tentang tinggi rendah risiko sesudah rawatan dibuat," titah baginda di bangunan Kementerian Kesihatan selepas membuat lawatan mengejut ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).
Menurut baginda semua yang dilakukan perlu kemas dan mendalam, bukan ikut-ikut sedap memberi jaminan atau meramal seperti kejadian yang pernah berlaku.
Baginda memberi contoh adanya pegawai perubatan yang memberikan jaminan 80 peratus selamat berbanding 20 peratus jika tidak dibedah kepada pesakit yang mengalami tumor dalam kepala jika pesakit berkenaan apabila menjalani pembedahan serta tidak akan mengalami apa-apa masalah untuk sedar semula dan akan terus menjalani terapi sahaja.
Namun apa yang berlaku titah baginda setelah pesakit itu dibedah, pesakit berkenaan tidak sedarkan diri selama dua minggu sampailah meninggal dunia.
"Ini satu contoh saja. Soalnya wajarkah pendekatan pegawai perubatan seperti itu iaitu memberi harapan atau jaminan 80 peratus dan apa yang berlaku pesakit terus tidak sedar-sedar sampai meninggal dunia. Dari manakah didapat 80 peratus? Adakah ia berasaskan kajian atau hanya agak-agak sahaja," titah baginda.
Sebab itulah baginda pernah menyebut supaya para doktor tidak akan jadi bayang-bayang yang menakutkan kepada masyarakat tetapi menjadi suluh harapan bagi mereka.
Untuk itu titah baginda, para pegawai perubatan atau doktor-doktor mustahaklah sukses dalam perkhidmatan mereka dan tidak boleh lebih kurang atau ambil ringan terhadap pesakit.
Di mata masyarakat, jelas baginda para doktor menjadi fokus utama kepada masyarakat kerana yang akan mendapat manafaat dari perkhidmatan para doktor ialah masyarakat.
Baginda menegaskan, perhatian masyarakat tidak boleh dipalingkan kepada yang lain-lain melainkan akan tetap kepada para doktor dan pegawai perubatan juga.
Menyebut tentang kualiti pula, jelas baginda lagi sudah tiba masanya untuk semua lebih berhati-hati dalam melakukan penilaian kepakaran orang-orang yang akan diambil berkhidmat.
"Tidaklah memadai hanya semata-mata berdasarkan kelayakan di atas kertas tetapi perlu turut dilihat ialah pengalaman dan rekod perkhidmatan yang pernah dilalui oleh calon. Sehubungan itu usaha kita untuk menghasilkan pakar-pakar tempatan sendiri perlulah diberi perhatian serius. Kita tidak boleh abaikan tetapi perlu dengan pantasnya kita bergerak dan merancang. Penyandang-penyandang kelulusan biasa janganlah cepat berpuas hati tetapi perlu terus melangkah hingga ke tahap pakar. Brunei adalah sedang menunggu dan memerlukan mereka," titah baginda.

Gambar ehsan Pelita Brunei
|
Peraturan cuti bersalin perlu dikaji semula
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyarankan agar pihak-pihak dalam kerajaan baginda mengkaji mengenai peraturan cuti bersalin.
Semasa bertitah di bangunan Kementerian Kesihatan selepas membuat lawatan mengejut ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), baginda menjelaskan peraturan yang ada setakat ini seperti yang terkandung dalam surat keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 17/1993 Negara Brunei Darussalam bertarikh 4 September 1993 dengan tajuk Peraturan Cuti Beranak.
Dalam peraturan itu titah baginda perkara dua menyebutkan kadar cuti beranak yang dibenarkan ialah selama lapan minggu secara berterusan dan hendaklah dimulakan menurut nasihat pegawai perubatan kerajaan.
"Kalau tidak silap piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) konvensyen 102 dan 103 telah menetapkan tempoh cuti bersalin tidak kurang dari 12 minggu (84 hari) sementara konvensyen 183, piawaian yang sama pula telah menetapkan tempoh tersebut tidak kurang dari 14 minggu (98 hari), di mana enam minggu merupakan cuti wajib selepas kelahiran," titah baginda.
Namun di setengah-setengah negara di dunia titah baginda lagi ada negara yang masih lagi membahaskan untuk menambah cuti bersalin sehingga 90 hari.
"Yang kita di Brunei bagaimana? Sudah hampir dua dekad kita memakai peraturan lapan minggu (56 hari) bagi cuti bersalin. Tidakkah kita teringat untuk merevise apa kekurangan atau kelebihan, apakah 56 hari itu sudah cukup atau dianggap terlalu singkat. Kalau cukup, apa alasan dan kalau tidak cukup mengapa tidak cukup dan apa risionalnya ia tidak cukup."
"Beta rasa semua itu baik juga dilihat. Adakah 56 hari mampu untuk memberikan kerehatan yang secukupnya kepada para warga ibu yang baru bersalin," titah baginda.
Menurut baginda perkara melahirkan bukan ringan tapi cukup berat lagi membebankan ditambah lagi dengan tanggungjawab ibu selepas melahirkan ialah menyusukan anak yang baru lahir.
Jika ada tempoh cuti yang lebih lama menurut baginda lagi akan dapat jugalah dimanfaatkan oleh ibu untuk menyusukan anaknya lebih lama pula kerana susu ibu digalakkan dan malah sangat-sangat penting dari segi kesihatan.
"Tidakkah kita ingin menimbangkan tempoh lapan minggu itu kepada tempoh yang lebih munasabah seperti 13, 14 atau 15 minggu. Pada hemat beta tidak ada ruginya kalau kerajaan mahu menimbangkan walaupun sampai 15 minggu. 15 minggu baru 105 hari atau jika tidak pun 15 minggu kita ambil sahaja angka genap 100 hari. Dengan tempoh yang lebih lama akan lebih mententeramkan ibu untuk meninggalkan anak kecilnya kepada pengasuh kemudian seperti kepada nenek atau pembantu rumah sebab apabila tamat tempoh cuti bersalin umur kanak-kanak itu sudah melebihi tiga bulan. Tidakkah penting perkara ini selaku ehsan kerajaan kepada warga ibu," titah baginda.
Jangan ambil ringan perkara
ubat-ubatan, bahan makanan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah perkara ubat-ubatan dan bahan-bahan makanan tidak boleh diambil ringan bagi keselamatan rakyat dan penduduk negara ini.
Baginda mencontohkan adanya jenis ubat-ubatan termasuk pil, jenis yang diminum dan ubat-ubat tradisional yang ditarik balik dan yang tidak boleh dijual kerana didapati mengandungi bahan-bahan campuran yang memudaratkan.
"Sekali-sekala kita dikejutkan oleh kenyataan dari pihak berkuasa kesihatan yang menyenaraikan jenis-jenis ubat yang ditarik balik yang tidak boleh dijual kerana didapati mengandungi bahan-bahan campuran yang memudaratkan. Tetapi soalnya ubat-ubat ini ada yang sudah pun beredar atau dijual pada sekian lama. Mengapakah ia baru saja dikesan sebagai mengandungi bahan-bahan memudaratkan? Mengapa tidak sebelum ia sempat beredar lagi?"
"Kita sepatutnya sudah lebih awal mengetahuinya. Apakah sebelum itu kita membiarkan saja, beredar dan dijual tanpa menganalisisnya lebih dahulu. Atau kita memang tahu ia beredar dan dijual tetapi kita hanya diam atau tidak berbuat apa-apa sehinggalah negara jiran membuat pengumuman bahawa ubat-ubat itu ditarik balik. Lalu kita pun baru turut membuat pemakluman yang sama. Bentuk pengumuman seperti inilah yang selalu kita dengar dan baca," titah baginda di Sesi Dailog Bersama Kementerian kesihatan sejurus selepas baginda berangkat melawat Kompleks Bangunan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.
Sepatutnya, tegas baginda, kita tidak ada alasan untuk tidak mengetahui lebih awal sebelum ubat-ubat itu beredar di pasaran.
"Kita khuatir entah berapa ramai orang sudah memakannya dan mendapat mudarat kerananya. Kalau inilah cara mekanisma kita bekerja beta mahu supaya cara ini dibetulkan," tambah baginda lagi.
Baginda di sesi itu juga menimbulkan berhubung bahan-bahan makanan seperti sayur-sayuran dan ikan yang dijual di negara ini. Di mana baginda mahu agar ianya dikawal dengan rapi lebih-lebih lagi sayur-mayur yang didatangkan dari luar negara.
"Beta telah menyebut tentang bahan-bahan ini perlu dilindungi dari berbagai jenis racun yang memudaratkan. Hari-hari kita makan sepatutnya hari-hari juga kita mesti peka dan prihatin mengawalnya. sayur-sayuran sekarang banyak yang didatangkan dari negara luar. Adakah ia diperika atau dianalisis kandungannya sebelum dipasarkan. Maksud beta pada setiap hari bukannya kadang-kadang," titah baginda.
Justeru itu, baginda melahirkan pertanyaan bagaimanakah pengawalan dibuat jika ada. Apa yang biasa dilihat, titah baginda lagi, kenderaan-kenderaan yang membawa sayur-mayur yang datang daripada luar terus saja menuju pasar dan memunggahnya untuk dijual.
"Kalau ini diperiksa, di mana pemeriksaan itu dibuat? Dengan apa cara? Apakah ditengok saja? Menggunakan alat? Atau alat macam mana? Apakah pernah berlaku sayur-mayur diperiksa dan didapati tidak lulus untuk dimakan? Jika pernah, apakah yang dibuat oleh pihak berkuasa yang berkenaan? Adakah sayur itu ditahan atau dimusnahkan atau disuruh bawa balik semula ke tempat asalnya. Pernahkah ini berlaku? Kalau tidak pernah ertinya mungkin saja tidak ada penguatkuasaan mengenainya," titah baginda melahirkan pertanyaan.
Menurut baginda, kalau di tempat lain ada negara yang mempunyai peraturan sangat kemas di mana setiap sayur-mayur yang hendak dibawa masuk daripada negeri lain akan diperiksa terlebih dahulu. Jika didapati terdapat sayur-mayur yang dibawa masuk tidak boleh diluluskan berdasarkan piawaian tertentu maka lori atau kenderaan yang membawanya akan disuruh balik dengan bahan-bahan tersebut itu sekali. Malah kalau ada kenderaan-kenderaan lain di belakangnya yang juga membawa bahan-bahan jenis yang sama ini pun akan disuruh pulang begitu sahaja tanpa perlu diperiksa lagi.
Cara seumpama ini, titah baginda memang berkesan untuk memastikan orang akan lebih berhati-hati dan seboleh-bolehnya mesti memenuhi syarat-syarat piawaian bagi bahan-bahan makanan yang akan dibawa masuk itu yang dilakukan pada setiap hari. Ertinya, titah baginda lagi mereka lebih rela menerima risiko tidak mendapat bekalan sayur daripada mendapatnya tetapi membahayakan.
"Mengapakah ini tidak kita pelajari," tanya baginda semasa bertitah di Sesi Dialog Bersama dengan Kementerian Kesihatan.
Berhubung dengan ikan pula, baginda bertitah kemungkinan terdapat pelbagai jenis pengawet ditaruh oleh pengusaha-pengusaha yang tidak bertanggungjawab yang hanya mahu supaya ikan tersebut kelihatan sentiasa segar untuk menarik pelanggan.
Kerana itu, jelas baginda, orang mungkin menggunakan bahan-bahan kimia walaupun ia terlarang.
Di antara bahan tersebut, titah baginda, seperti larutan fomilia yang dijadikan pengawet makanan laut terutama ikan yang juga digunakan untuk mengawet organisme hidup seperti daging bagi menjadikannya tahan lama.
Apa yang diketahui, jelas baginda larutan inilah juga yang digunakan untuk mengawet mayat manusia.
Baginda mengingatkan bahawa bekalan ikan tempatan belumlah mencukupi di mana kita masih menerima bekalan dari luar dengan banyaknya.
"Apakah tidak mungkin para pembekal atau pengusaha daripada luar itu menggunakan bahan yang terlarang ini. Jangan kita senang-senang terima saja. Orang mahu laris dan mahu untung besar boleh sahaja bertindak apa yang mereka mahu tanpa menghiraukan kepentingan pengguna. Ini adalah sangat lumrah berlaku. Kerana itu janganlah kita senang-senang terima saja. Kita mesti hadapi dan fikirkan kemungkinan-kemungkinan yang negatif ini. Dengan apa? Dengan ikhtiar dan langkah-langkah yang berkesan.
"Kita mesti teliti dan pastikan benar-benar yang ianya tidak berlaku. Kalau berlaku, apa tindakan untuk mencegahnya sehingga kita semua selamat," titah baginda.
Selain makanan yang tidak selamat dari segi kesihatan, dari segi hukum suci juga turut berbangkit. Misalnya, titah baginda, sudah disebut-sebut orang berdasarkan kajian saintifik bebola ikan (fish ball) yang menjadi makanan kegemaran juga sudah ada yang turut didapati sebagai tidak suci, tidak halal kerana dikatakan mengandungi bahan pengetal yang berasal daripada darah haiwan yang telah diproses sehingga menjadi serbuk yang dipanggil serbuk protein plasma.
Perkara seumpama ini, titah baginda juga jangan diabaikan dan malah penguat kuasa halal haram juga perlulah turut sama dengan pihak-pihak pengkaji bagi menanganinya.
Malah, titah baginda lagi, orang juga sudah mempersoalkan tentang bahan-bahan pewangi dalam produk kecantikan dan kajian juga mendapati bahawa terdapat beratus-ratus jenis kimia toksid terkandung di dalam pewangi.
Menurut baginda, apabila benda ini disapu pada kulit kimia beracun itu akan terus meresap ke dalam saluran darah dan akan menjejaskan organ-organ penting. Bahan-bahan ini juga akan memenuhi hidung apabila ia terhidu.
"Ini benda yang dicium atau disapu pada kulit badan. Betapa benda yang dimakan. Oleh itu bergeraklah, jangan tunggu lama-lama perkara makanan ini beta telah timbulkan dan menunggu respons tetapi yang mana beta harap selama ini hanya sepi dan sejuk sahaja," titah baginda. (Ehsan Pelita Brunei)
|