LIMBARUH HIJAU 30 JULAI 2008 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) sangat mengalu-alukan titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan komitmen negara terhadap keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau dan di arena antarabangsa.
Dalam titah sempena hari ulang tahun ke-62 keputeraan Baginda pada 15 Julai 2008, Baginda bertitah hubungan negara kita dengan negara-negara jiran dan sahabat adalah semakin erat dan meningkat.
Ini ialah kerana dasar luar Brunei yang berprinsip lagi pragmatik, jelas Baginda.
Tegas Baginda lagi komitmen negara untuk keamanan dan kemakmuran serantau telah turut dikukuhkan lagi oleh penandatanganan “Piagam ASEAN”, semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura, tahun lepas.
Kerajaan juga, titah Baginda, terus berusaha memperkukuhkan hubungan baik negara dengan negara-negara sahabat di arena serantau dan antarabangsa melalui penglibatan negara sebagai ahli dalam ASEAN dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, termasuk APEC, OIC, Commonwealth, WTO dan seumpamanya.
Dalam masa sama, Baginda seterusnya menekankan negara juga terus berusaha memperkukuhkan hubungan persahabatan dengan negara-negara sahabat melalui perjanjian-perjanjian perdagangan dan kerjasama-kerjasama lain baik di arena serantau mahupun di arena antarabangsa.
Demikianlah titah Baginda yang menghuraikan secara ringkas dasar luar negara yang berpeggang kepada prinsip cintakan keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk semua dengan mengambil pendekatan yang pragmatik sesuai dengan statusnya sebagai sebuah negara kecil yang berjiwa besar.
Dalam hubungan ini dan merujuk Manifesto NDP 2006 - 2016, NDP melihat dasar luar negara yang ditekankan oleh Baginda tersebut mestilah terus di tanai dan di pertingkatkan.
NDP yakin negara akan terus mengadakan dasar luar yang bebas dan dinamik, supaya berjaya bukan sahaja mengikat hubungan politik dan diplomatik dengan banyak negara bahkan juga menggalakkan kepentingan perdagangan dan ekonomi Negara Brunei Darussalam sendiri.
Dalam konteks ini kita melihat agenda utama dasar luar dan peranan perwakilan-perwakilan negara di luar hendaklah meletakkan agenda ekonomi dan perdagangan teratas sekali.
Justeru itu, NDP menyokong agar pihak yang berwajib memanfaatkan hubungan antarabangsa sebaik-baiknya untuk meningkatkan perdagangan dua hala dengan Negara Brunei Darussalam, untuk kebaikan dan kepentingan kesemua lapisan rakyat Kebawah DYMM dan tidak menghadkan kebaikan dan kepentingan tersebut kepada sebilangan yang tertentu sahaja.
NDP juga melihat perlunya negara memanfaatkan pendekatan Islam yang diamalkan oleh negara ketika ini sebagai instrumen dalam memajukan keamanan sejagat.
Dari aspek pembinaan keupayaan sumber tenaga manusia (capacity building) pula, NDP penuh yakin usaha akan di teruskan bagi melahirkan pasukan diplomat yang tinggi ilmu diplomasi dan kualiti perhubungan awamnya, cekap dan berwibawa sehingga dapat menjalin jaringan diplomatik yang ampuh dengan negara-negara berkenaan.
Dengan peningkatan keupayaan tersebut negara setentunya akan dapat menyumbang dengan lebih berkesan kepada kepentingan negara, termasuk kepentingan perdagangan dan peraturan keselamatan, sama ada dua hala atau berbagai hala.
Seperti di titahkan pedekatan dasar luar negara adalah berprinsip dan pragmatik.
Dalam konteks ini NDP yakin negara akan terus mengutamakan dasar berunding, hingga ke peringkat pengadilan antarabangsa, dan bukannya beradu kekuatan jika wujud sebarang salah faham dengan negara lain, walaupun persediaan yang rapi terhadap kemungkinan tersebut giat dilaksanakan secara berterusan.
Dalam masa sama kita mengambil pedekatan yang berhemah tinggi tersebut, NDP juga melihat perlunya kita memastikan negara-negara lain tidak akan mengambil kesempatan untuk mengeksploit negara sehingga mengikatnya dengan perjanjian-perjanjian yang berat sebelah dan tidak menguntungkan kedua-dua pihak, secara adil dan saksama, mengikut Syariat Islam.
Ke arah itu, NDP berpandangan perlunya di bukakan ruang untuk Majlis Mesyuarat Negara (MMN) sebagai institusi rakyat dilibatkan dalam sama-sama memikul tanggunjawab tersebut.
Dengan penlibatan MMN ini nanti, perjanjian-perjanjian di antara Negara Brunei Darussalam dan negara-negara dapat dimesyuaratkan dan diperdebatkan secara terbuka, dan disokong oleh MMN, sebelum dipersetujui untuk ditandatangani atau disambung.
NDP yakin dengan penglibatan MMN itu nanti dan dengan adanya proses penyemakkan perjanjian-perjanjian oleh Jawatankuasa dalam MMN dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, dasar luar negara akan lebih berprinsip dan pragmatik serta kepentingan negara dan bangsa akan lebih terjamin seperti yang di titahkan oleh Baginda Sultan. Wallahu Wa'alam.