Info Harian
Cuaca
Waktu Solat
Berita Kerajaan
Info Niagaan
Direktori Niagaan
Brunei SMEs
Info Brunei
Kenali Brunei
Kerajaan Brunei
Daily Diary
Pelita Brunei
Brunei Tourism
Telefon Kerajaan
Brunei Darussalam and the IMF
The EU's relations with Brunei
CIA on Brunei
WATCH NDP VIDEOS
 
 
EMAIL
UCAPAN PERASMIAN HIMPUNAN TAHUNAN PEMUDA, WANITA DAN NON-MUSLIM OLEH TIMBALAN PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

UCAPAN ALU-ALUAN PENGERUSI PANITIA KONGRES PERTAMA PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

LAGU PATRIOTIK NDP - DEMI BRUNEI TERCINTA

ALBUM KONGRES AGONG NDP KE 2

ALBUM NDP JUNJUNG ZIARAH KEHADAPAN MAJLIS KDYMM DI KUALA BELAIT

KEYNOTE ADDRESS OF THE PRESIDENT OF NDP

PRESS STATEMENT IN CONJUNCTION WITH THE VISIT OF GERMAN'S MPS TO NDP
 
Artikel pilihan

Kearah Perpaduan Nasional: Harapan Dan Cabaran

TUNTUTAN PEMBELAJARAN BERTERUSAN

TUNTUTAN ORGANISASI: AMANAH DALAM PENGURUSAN PENTADBIRAN

MENCONTOHI MODEL KEPIMPINAN PARA  NABI

DIRGAHAYU KDYMM PADUKA SERI BAGINDA SULTAN- Berazam kearah BRUNEI tanpa penerima zakat

Usaha teliti mekanisme keselamatan sosial bertepatan

LIMBARUH HIJAU 23 JULAI 2008- TITAH KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengumumkan usaha untuk meneliti mekanisme dan dasar berkaitan penyediaan keselamatan sosial di negara ini sangat bertepatan sekali.

Seperti yang di titahkan, di akhir-akhir ini memang terdapat perbincangan mengenai isu keselamatan sosial, khasnya isu membabitkan penyaraan diri dan keluarga sesudah berakhirnya tempoh perkhidmatan, sama ada dalam perkhidmatan awam, sektor swasta atau pekerjaan sendiri.

Dan selaku rakyat yang merupakan major 'stake holders' dalam isu keselamatan sosial ini setentunya merasa tersentuh dan terharu dengan titah Baginda tersebut.

Lebih-lebih lagi kita yang berada atas pelantar NDP yang sejak penubuhan parti lagi telah menjadikan isu kemiskinan dan hubungannya dengan mekansime keselamatan sosial sebagai agenda teratas perjuangan kita.

Kita telah berusaha dan akan terus berusaha membantu dan menyokong KDYMM dan Kerajaan Baginda dalam apa jua usaha berterusan Baginda ke arah memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini selamanya terpelihara.

Justeru titah Baginda tersebut kita sambut dengan baiknya dan kita juga sangat terharu dengan komitmen Baginda untuk meneliti mekanisme yang lebih menjamin bagi kehidupan dihari tua rakyat dan penduduk, dan memandu perlaksanaan serta penambahbaikan dasar atau sistem persaraan di negara ini.

Kita berdoa agar usaha yang di maksudkan Baginda Sultan terlaksana dengan jayanya dan berhasil mencapai objektif menjamin kesejahteraan rakyat dan penduduk di bumi Brunei Darussalam ini.

Kita menyedari mekanisme keselamatan sosial yang sedia ada jelas kurang efektif dalam memberikan perlindungan secukupnya kepada rakyat dan penduduk yang memerlukannya .

Dalam masa negara sedang membangun dengan pesatnya, ianya telah gagal menyelamatkan sebilangan rakyat dan penduduk dari terus tersungkur ke kancah kemiskinan.

Hingga ke hari ini di anggarkan jumlah rakyat dan penduduk yang di senaraikan di bawah bilangan asnaf fakir/miskin yang menerima bantuan dari Bait-ul-Mal sudah berjumlah lebih 20 ribu orang. Ini tidak termasuk biangan masyarakat bukan Islam yang menerima bantuan kebajikkan.

Jumlah golongan miskin ini di jangka akan terus meningkat kerana menurut dapatan kajian oleh Centre for Strategic and Policy Studies (CSPS), warga perkhidmatan awam yang dilantik dalam skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan yang akan bersara pada 2023 dengan sendirinya akan jatuh ke dalam jurang absolute poverty dalam jangkamasa tidak sampai setahun selepas bersara.

Ini kerana kajian tersebut menunjukkan faedah persaraan yang akan diterima hanya mampu bertahan untuk tempoh 10 bulan sahaja berdasarkan gaya perbelanjaan sekarang dan kos kehidupan yang pastinya meningkat di kala itu.

Dalam erti kata lain skim TAP yang ada kurang upaya memberikan jaminan sucukpnya kepada pesara-pesara untuk menyara hidup di hari tua.

Kebimbangan mengenai isu kemiskinan dan hubungannya dengan mekansime keselamatan sosial, telah awal-awal lagi di ketengahkan oleh NDP melalui manifesto parti bagi tahun 2006 - 2016 serta diikuti oleh Ayahnda Yasin Affandy, Presiden NDP melalui Ucapan Dasar Presiden di Kongres Agung Tahunan NDP pada tahun 2006, kemudian di ulangi pada tahun 2007 dan akhir sekali pada bulan Jun lalu di Kongres Agung Tahunan NDP ke-3.

NDP awal-awal lagi telah meihat satu jaringan keselamatan sosial (safety net) yang komprehensif untuk semua perlu diadakan serta merta demi untuk melindungi rakyat dan penduduk dari tehumban ke alam kemiskinan.

Pada tahun lepas contohnya Presiden NDP dalam ucapan dasar kongres agung ke-2 merujuk satu kajian mengenai kemiskinan yang dikendalikan oleh sebuah institusi pengajian tinggi tempatan antara tahun 2001 - 2002.

Kajian tersebut menunjukkan model-model yang diguna pakai untuk mengenal pasti kadar asas kemiskinan (absolute poverty). Kadar sara hidup yang dikenal pasti bagi seorang ialah $280.00 sebulan.

"Jika dapatan kajian ini sahih, terdapat petunjuk bahawa warga perkhidmatan awam tanpa mengambil kira jawatan dan bahagiannya, yang dilantik pada dan selepas 01 Januari 1993 iaitu dalam skim TAP (Tabung Amanah Pekerja) dengan sendirinya dalam satu ketika nanti, terutama di hujung jangkaan baki kehidupan persaraan, akan termasuk dalam kumpulan “absolute poverty”.

"Andaian ini berpandukan kepada jumlah TAP yang diterima di akhir perkhidmatan termasuk dividen peratusan tahunan yang tidak menentu, adalah terlalu rendah dan tidak selesa dan tidak terjamin semasa menghadapi baki kehidupan persaraan nanti".

"Tekanan seterusnya akan dirasai ekoran kadar inflasi 1.5% setahun. Sehubungan dengan itu, kita berharap penuh dengan kebijaksaan Kerajaan Kebawah DYMM, peruntukan Elaun Usia Tua $250 sebulan akan dinaikkan lagi pada satu kadar yang lebih munasabah dan usia penerima 60 tahun diturunkan kepada usia 56 tahun", syor Presiden NDP.

Katanya lagi, "kita juga berharap agar Kerajaan Kebawah DYMM dapat menimbangkan pemberian kurnia khas $200 kepada kakitangan awam, dilaratkan kepada kakitangan dan pekerja disektor swasta dan kakitangan syarikat-syarikat tempatan bagi merangsang belia-belia yang menganggur agar tidak terlalu memilih pekerjaan".

Cadangan-cadangan ini di ulangi lagi oleh Presiden NDP dalam ucapan dasar di Kongres Agung Tahunan ke-3 pada Jun 2008 lepas.

Antaranya di cadangkan sekali lagi agar Kerajaan Kebawah DYMM menaikkan peruntukan Elaun Usia Tua BND 250 sebulan kepada BND 400, dan usia penerima diturunkan daripada 60 tahun kepada 56 tahun.

Presiden NDP juga berharap agar Kerajaan Kebawah DYMM dapat menimbangkan pemberian kurnia khas yang diberikan kepada kaki tangan awam sejumlah BND 200 seterusnya dilaratkan juga kepada kakitangan sektor swasta, dan kakitangan syarikat-syarikat tempatan bagi merangsang belia-belia yang menganggur agar tidak terlalu memilih pekerjaan.

Selaras dengan itu, Presiden NDP juga merayu agar Kerajaan Kebawah DYMM turut mengkaji semula kebajikan kakitangan perkhidmatan awam peringkat rendah dengan memperbaiki skim perkhidmatan dan gaji yang diterima dengan menetapkan kadar gaji mimima bagi skim perkhidmatan terendah tidak kurang daripada BND 35.00 sehari dan kenaikan tahunan tidak kurang daripada 10 peratus.

Di samping itu, di sarankan juga agar skim-skim perkhidmatan yang lain dikaji semula dan ditentukan kadar bayaran minima dan kenaikan tahunan yang lebih munasabah mengikut kelayakan.

NDP juga merayu agar Kerajaan Kebawah DYMM mempertimbangkan pemberian elaun makanan bulanan sebanyak BND 200.00 untuk kanak-kanak yang baru lahir sehingga mencecah umur persekolahan formal dan kanak-kanak yang belajar di sekolah formal pula diberikan elaun makanan bulanan sebanyak BND 300.00 sehingga mereka menamatkan persekolahan di peringkat menengah.

"Kita yakin melalui perancangan pihak kerajaan yang rapi untuk membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah ini untuk berdikari, Insyaallah, golongan yang tidak bernasib baik ini akhirnya akan bebas dari belenggu kemiskinan dan kebergantungan kepada pihak Kerajaan", ujar Presiden NDP.

Menyentuh isu kemiskinan ini lagi, NDP dalam manifestonya bagi tahun 2006 - 2016 juga telah menyarankan beberapa cadangan yang juga menjurus kearah memperluaskan skop dan keupayaan keselamatan sosial di negara ini.

Antaranya NDP telah menyarankan agar di wujudkan skim keselamatan sosial bagi pekerja, merangka perundangan-perundangan buruh yang berteraskan keadilan sosial yang sebenar serta mewajibkan pekerja asing dan majikan mereka menyumbang kepada Tabung Amanah Pekerja.

NDP juga menyarankan agar di kaji semula skim perkhidmatan dan gaji yang diterima pekerja awam bergaji hari dengan menetapkan kadar gaji minimum bagi skim yang terendah tidak kurang daripada BRD 35.00 sehari dan kenaikan tahunan tidak kurang daripada 10%.

Di samping itu, NDP juga menyarankan agar skim-skim perkhidmatan lain yang seumpamanya hendaklah juga dikaji dan ditentukan kadar bayaran minimum dan kenaikan tahunan yang lebih munasabah mengikut kelayakan.

Dalam masa sama NDP juga mengetegahkan pentingnya setiap keluarga terbela dengan mendapat semua kemudahan asas iaitu rumah kediaman yang selesa, perlindungan keselamatan dan makanan yang seimbang terutamanya bagi kanak-kanak.

Sehubungan dengan itu NDP meminta agar pihak yang berwajib mempertimbangkan pemberian elaun pemakanan bulanan sebanyak BRD 200 untuk kanak-kanak yang baru lahir hingga mencecah persekolahan formal dan kanak-kanak yang belajar di sekolah formal pula hendaklah diberikan elaun pemakanan bulanan sebanyak BRD 300 sehingga mereka tamat persekolahan di peringkat menengah.

Juga di sarankan ialah perlunya skop keselamatan sosial di perluas dan di mantapkan bagi memastikan semua anak yatim dan ibu tunggal bebas daripada kemelaratan, serta dijamin pembiayaan pemakanan, pakaian, perumahan, termasuk pembelajaran anak-anak yatim, sehingga mereka berumur lapan belas tahun atau tamat pengajian atas pembiayaan Kerajaan Kebawah DYMM di peringkat menengah atau lanjutan.

NDP juga menyarankan agar umur persaraan di naikkan kepada 60 tahun untuk wanita dan 65 tahun untuk lelaki di samping memberi pilihan untuk bersara secara sukarela (voluntary retirement) selepas umur 55 tahun dengan memberi notis selama setahun.

Pihak kerajaan juga turut di seru untuk mempertimbangkan kenaikan pencen khusus untuk warga emas dari BRD 200 sebulan setiap seorang kepada suatu jumlah yang mengambil kira kos penghidupan dewasa ini, serta disemak semula setiap lima tahun sekali setelah itu, dengan mempertimbangkan kenaikan seterusnya setelah mengambil kira kadar kenaikan inflasi setiap tahun.

Dalam manifesto politiknya, NDP juga tidak melupakan perlunya kaum wanita yang berkerja mendapat nikmat dasar keselamatan sosial yang di laksanaan di negara ini.

Sehubungan dengan itu NDP menyarankan agar dasar yang ada di teliti bagi:

- Menjamin hak wanita untuk mendapat cuti bergaji (paid leave) semasa menunaikan ibadah fardu haji, hak persaraan, jaminan keselamatan dalam apa jua keadaan seperti pengangguran, penyakit, uzur disebabkan tua (old age) dan sebagainya.

- Menjamin hak wanita untuk menerima pembayaran gaji dan layanan yang setaraf dengan lelaki di dalam pekerjaan yang serupa.

- Menjamin hak wanita untuk menerima elaun cuti (leave allowances) yang setaraf dengan lelaki.

- Menjamin hak wanita untuk menerima elaun keluarga yang setaraf dengan lelaki.

- Menghalang diskriminasi terhadap wanita yang berkahwin dan mengandung dengan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menjamin kedudukan pekerjaan mereka, menyediakan cuti bersalin bergaji (paid maternity leave), dengan jaminan untuk kembali kepada pekerjaan asal, dan untuk menyediakan khidmat sosial yang diperlukan termasuk kemudahan-kemudahan penjagaan anak damit (childcare facilities.

Berikut pula ialah usul yang diangkat di Kongres Agung Tahunan NDP ke-3 pada Jun 2008 lalu yang juga turut menekankan cadangan berhubung isu keselamatan sosial dalam konteks membasmi kemiskinan di negara ini:

Menginsafi bahawa kadar kemiskinan yang tinggi dan sekiranya tidak dibendung boleh memudaratkan kesejahteraan, kestabilan dan keselamatan negara;

Menginsafi bahawa meskipun pendapatan per kapita KDNK adalah setinggi BND 47,964 (2006), dengan KDNK negara berjumlah BND 15.9 bilion pada akhir RKN 8, namun negara Brunei Darussalam masih belum berupaya membebaskan diri dari isu dan permasalahan kemiskinan;

Menginsafi bahawa isu dan masalah kemiskinan yang ditokok pula oleh masalah pengangguran di kalangan para belia dan siswazah mempunyai impak sampingan yang luas yang boleh menjejaskan pencapaian Wawasan Brunei 2035 dan masalah-masalah sosial yang lain;

Menyedari bahawa sekarang ini dianggarkan sekitar 25 ribu orang yang tersenarai dalam asnaf fakir dan miskin yang layak menerima bantuan daripada Baitulmal atau bantuan Kebajikan Masyarakat, dan dipercayai bahawa bilangan tersebut terus meningkat dari setahun ke setahun;

Menyedari bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa memandang serius mengenai isu kemiskinan, dan pelbagai usaha dan strategi telah dibuat bagi menangani masalah ini, namun kadar kemiskinan belum berjaya dikurangkan;

Demi menjunjung dan menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia  Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 12 November 2005 yang menyentuh persoalan kemiskinan sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang berbunyi “kumpulan-kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan akar umbi, tidak syak lagi, adalah komponen yang penting dalam struktur kepimpinan sesuatu masyarakat. Mereka boleh berperanan menciptakan kesejahteraan di kalangan rakyat dan penduduk, khasnya siapa-siapa yang sememangnya menjadi sasaran khidmat yang terdiri daripada orang-orang yang susah atau yang bermasalah.”

Demi menjunjung dan menyokong titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam pada  Majlis pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-4 Majlis Mesyuarat Negara pada 4 Mac 2008 yang melontarkan persoalan berbunyi “Semenjak Negara mencapai kemerdekaannya, pendapatan per kapita penduduk adalah memberangsangkan. Sepuluh tahun selepas merdeka, ianya terus meningkat. Ini, tidak diragukan lagi, dengan sendirinya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat. Sebagai contoh: Pada tahun 1944, pendapatan per kapita adalah sebanyak BND 23, 502 dan naik lagi pada tahun-tahun berikutnya sehingga mencecah kepada BND 47, 964 pada tahun 2006. Bertolak dari sini, sepatutnya kadar kemiskinan dengan sendirinya adalah menurun. Maka berdasarkan ini, apakah tidak terlintas di ingatan kita untuk menetapkan salah satu matlamat Wawasan ialah, untuk menjadikan kadar kemiskinan di Negara ke tahap sifar?”

Menginsafi akan usul mengenai kemiskinan yang diluluskan dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan Pertama (Penubuhan) pada 29 - 30 April 2006 dan Kongres Agung Tahunan Ke -2 pada 23 - 24 Jun 2007;

Maka dengan ini, Kongres Agung Tahunan Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Ke-3 yang bersidang pada hari ini 22 Jun 2008 di International Convention Centre (ICC), Berakas, Bandar Seri Begawan, mengambil maklum  dan memperakui semula usul mengenai Kemiskinan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Tahunan (Penubuhan) di mana pada Kongres tersebut telah diambil persetujuan dan ketetapan menyeru pihak-pihak berkenaan supaya melancarkan pelan pembangunan raksaksa meliputi jangka pendek dan jangka panjang yang boleh mewujudkan peluang peningkatan pendapatan rakyat dan sekali gus membasmi kemiskinan di kalangan rakyat dan bahawa Kongres Agung Tahunan Ke-3 ini juga mengambil maklum dan memperakui semula Usul Kemiskinan yang telah dilulus dan disahkan oleh Kongres Agung Ke - 2 yang mengambil persetujuan dan ketetapan meminta Kerajaan Kebawah DYMM mengklasifikasikan kemiskinan sebagai isu nasional dan menggesa kerajaan supaya membuat satu kajian yang komprehensif dan seterusnya mengambil langkah-langkah strategik dan proaktif bagi membasminya; maka Kongres Agung Tahunan Ke-3 ini mengambil persetujuan dan ketetapan supaya kerajaan mendedahkan indeks kemiskinan rasmi dan menetapkan objektif agar masalah kemiskinan dibasmikan sepenuhnya menjelang akhir Rangka Strategi dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD 1) pada 2017 dengan menaikkan pendapatan serta taraf hidup individu dan keluarga dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi mengatasi masalah pengangguran melalui pendekatan pembangunan ekonomi rakyat yang berpegang kepada falsafah dan prinsip-prinsip rajin dan kuat berusaha, berdikari dan tidak bergantung kepada subsidi kerajaan sahaja dan mengamalkan gaya hidup yang sihat dan sederhana, melalui perencanaan projek dan program kemajuan RKN9 dan RKN10 yang memberi kesan yang besar dan langsung serta mempastikan sistem penyampaian awam dibuat penambahbaikan untuk mempertingkatkan keberkesanannya.

Bersandarkan hujah, semangat Kongres, Visi, Misi dan Objektif Utama Parti, usul ini telah disepakati untuk diketengahkan dengan mengambil kira rasional-rasional berikut:

  • bahawa dengan mengambil kira pendapatan negara dari hasil minyak dan gas yang mencecah lebih BRD 2 bilion dan berbanding bilangan penduduk, istilah kemiskinan sepatutnya menjadi suatu yang ‘taboo’ dalam konteks Negara Brunei Darussalam;

  • bahawa tahap kemiskinan, walaupun yang bukan bersifat tegar, perlu ditangani dengan pendekatan dan perancangan yang menyeluruh dan tidak sekali-kali ditanggapi secara ‘ad-hoc’;

  • bahawa perlunya permasalahan kemiskinan ini dikaji dengan mendalam untuk mengenal pasti sebab-sebab dan pola kemiskinan yang berlaku; dan
  • bahawa apa jua program pembasmian kemiskinan hendaklah disasarkan kepada sebab dan bukannya kepada ‘symptom’.

Dewasa ini dianggarkan lebih 25,000 orang rakyat dan penduduk tetap yang dikategorikan sebagai miskin yang menerima bantuan Baitulmal di bawah asnaf fakir dan miskin dan bantuan kebajikan dari agensi-agensi Kerajaan yang lain.  Sebagai sebuah negara Islam yang menekankan soal kebajikan rakyat, dan sebagai sebuah Negara kecil yang kaya raya dengan jumlah penduduk yang kecil, perangkaan ini hendaklah dilihat sebagai satu angka yang besar dan membimbangkan.

Sebagai sebuah negara yang kaya dengan kadar pendapatan tahunan negara dari hasil minyak dan gas yang mencecah BND 15.9 billion berbanding dengan keseluruhan penduduk seramai 380,000 orang dan dengan pendapatan per kapita hampir BND 48, 0000 pada tahun 2006, sewajarnya kadar kemiskinan Negara berada diparas sifar.

Peruntukkan sebanyak BND 4.631 billion di bawah RKN 8 memberikan keutamaan bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat akan sentiasa terpelihara di samping sebagai penggerak utama dalam projek-projek pembangunan. Peruntukan belanjawan itu berdasarkan pada wawasan, objektif dan perancangan strategik setiap kementerian. Justeru, perancangan, pengurusan dan sistem penyampaian yang baik akan membantu usaha mengurangkan kadar kemiskinan.

Kemiskinan, sama ada tegar atau tidak, perlu ditangani dengan pendekatan dan perancangan yang menyeluruh dan tidak sekali-kali ditanggapi secara ‘ad-hoc’. Ia menuntut kepada satu kajian yang mendalam untuk mengenal pasti sebab-sebab dan pola kemiskinan yang berlaku.

Berdasarkan dapatan kajian itu nanti, apa jua program pembasmian kemiskinan hendaklah disasarkan kepada sebab dan bukannya kepada ‘symptom’. Matlamat akhir bagi apa jua program yang digubal hendaklah berorientasikan untuk membawa keluar golongan fakir dan miskin dari kelompok kemiskinan. Matlamat ini tidak semestinya melalui bantuan semata-mata tetapi perlu juga mengambil kira dan memanfaatkan apa jua potensi setiap individu yang sekarang ini tergolong sebagai miskin.

Dalam usaha menangani soal kemiskinan ini, tumpuan hendaklah diberikan kepada kumpulan sasaran sebenar iaitu asnaf fakir miskin di samping  kumpulan-kumpulan masyarakat lain yang juga menghadapi masalah kemiskinan bagi memastikan tiada satu keluarga pun yang akan terlepas dari pandangan dan pemerhatian pihak-pihak berkenaan.

Berdasarkan pengamatan yang dibuat di kalangan pelbagai serata masyarakat, pesara kerajaan yang menabung di bawah Tabung Amanah Pekerja ( TAP ) kemungkinan akan jatuh miskin sebaik sahaja mereka bersara kerana jumlah sumbangan kepada tabung adalah terlalu kecil untuk menampung keperluan kehidupan selepas persaraan.

Program dan Pendekatan

  • Mengelakkan wujudnya senario pergantungan berterusan kepada bantuan kerajaan;
  • Pendekatan bantuan yang memungkinkan kumpulan sasaran mengusahakan ikhtiar dan peningkatan pengupayaan dalam bidang pertanian atau perniagaan yang boleh membawa mereka keluar dari kepompong kemiskinan melalui biaya modal, latihan dan bimbingan yang konsisten;
  • Biaya dan bimbingan pelajaran untuk anak-anak asnaf fakir dan miskin bagi menghentikan kitaran ‘vicious circle’ kemiskinan;
  • Penubuhan Tabung Amanah Pelaburan warga miskin dari hasil minyak dan gas yang melayakkan mereka menikmati dividen tahunan;
  • Menentukan kumpulan dan jangka masa ( time frame ) untuk mengatasi jurang kemiskinan, dengan dukungan dan kesepaduan pihak agensi-agensi kerajaan, swasta, NGO dan rakyat;
  • Program pembangunan insan dan rohani bercorak menjana diri disediakan secara berterusan dan dipantau sehingga mencapai objektif mengurangkan kemiskinan dan kebergantungan kepada bantuan pihak berkenaan;
  • Menyediakan latihan kemahiran ‘bermentor’ ( berdampingan dan bimbingan ) secara berterusan melalui program tertentu oleh pihak kerajaan, dengan penglibatan dan penyertaan pihak swasta dan NGO serta didukung oleh rakyat sehingga mereka mampu berdikari, ‘marketable’ dan berdaya saing;
  • Menganjurkan kempen kesedaran berterusan, menggalakkan amalan jimat cermat dan budaya ‘menabung sebelum jatuh miskin’ atau ‘bersedia sebelum susah;
  • Memastikan pengurusan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dilaksanakan dengan cekap dan tidak berlaku ketirisan;
  • Pembukaan ladang pertanian / ternakan terancang dan pembangunan pertanian komersial luar bandar dan peningkatan hasil pertanian sara diri sebagai strategi serampang dua mata;
  • Menyediakan rumah kediaman selayaknya bagi keluarga-keluarga miskin yang lengkap dengan kemudahan-kemudahan asas supaya mereka tidak tercicir dari arus pembangunan negara.
  • Agihan zakat dijadikan satu sarana bagi memodali orang-orang yang berkemampuan-upaya dalam bidang usahawan atau urus niaga, bidang perkhidmatan yang bersesuaian, supaya di masa mendatang mereka tidak lagi berada dalam golongan  penerima zakat atau pemohon bantuan di kalangan umat Islam atau bukan umat Islam di negara ini sebaliknya sebagai pembayar zakat dan penyumbang dana Baitulmal.
  • Penyediaan kemudahan mudah modal  tanpa faedah dan bimbingan pengurusan bagi projek usahawan / perniagaan kecil yang dinilai berdaya maju seperti  perniagaan di tamu, gerai makan, berbagai-bagai jenis perkhidmatan seperti jahitan, cucian kenderaan, perkhidmatan pembersihan gedung perniagaan, kedai runcit, restoran dan sebagainya yang mana kebanyakan sektor ini dikuasai oleh pekerja asing.
  • Membanyakkan penyediaan kemudahan pembangunan asas bagi kegiatan industri kecil termasuk, penyediaan bangunan, kemudahan kredit, penyewaan mesin-mesin, pemasaran dan khidmat juru perunding percuma kepada warga miskin yang mempunyai potensi diri.
  • Mengadakan / mewujudkan sumber dan pusat penyelenggaraan projek dan bimbingan industri desa dalam bentuk latihan, memudah cara kegiatan di samping memastikan pihak swasta turut komited untuk mendukung perlaksanaannya.
  • Mewujudkan ruang atau kawasan perniagaan yang menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara.
  • Memulihkan skim berpencen bagi kaki tangan awam termasuk memberikan pencen kepada kaki tangan awam wanita.

Rumusan

Sasaran untuk menuju negara aman makmur dan mendapat keampunan Allah (Baldatun Thaiyyibatun Warabbun Ghafuur) tidak akan memberi apa-apa erti sekiranya sekelompok rakyat masih bergelut dan bergelumang dengan kemiskinan walhal kekayaan negara melimpah ruah.

Kemiskinan pada dasarnya adalah sesuatu yang subjektif dan sukar ditakrif secara menyeluruh, apatah lagi dengan sifat kemiskinan itu sendiri yang tidak statik.

Oleh kerana itu takrifan dan ukuran kemiskinan hendaklah sentiasa dikaji dan disemak mengikut peralihan masa.

Pihak-pihak berkenaan hendaklah mengambil langkah-langkah untuk membantu golongan yang miskin dan membuat langkah proaktif bagi memastikan golongan yang berkemungkinan jatuh miskin dapat diselamatkan.

Usaha menangani kemiskinan memerlukan pendekatan mantap dan secara praktikal bagi menghalusi dan mengatasi isu ini di peringkat akar umbi.

 

 
 
Presiden NDP


Hj. Muhammad Yasin bin Abdul Rahman @ Yasin Affandy

Timbalan Presiden

Sdra. Mahmud Morshidi Othman

Setiausaha Agung

Hj. Aminorashid Hj. Ghazali






 
 
 
 
 
 
 
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.