MANILA: Kenaikan harga beras dan minyak memberi ancaman kepada keselamatan dalam negara, terutama menerusi usaha pemberontak komunis untuk mencetuskan rusuhan.
Presiden Gloria Arroyo Macapagal mengarahkan perkhidmatan perisikan tentera mengawasi keadaan dan menghapuskan usaha yang boleh membawa kepada kekacauan, kata pegawai kanan tentera, Brigadier Jeneral Romeo Prestoza.
Fokus pengawasan ialah ke atas beberapa kumpulan disyaki berkaitan dengan Parti Komunis Filipina dan Tentera Rakyat Baru dengan 5,000 anggota, yang mengetuai pemberontakan selama 39 tahun.
Kumpulan berkenaan ‘berterusan mengeksploitasi isu ini,’ katanya kepada wartawan.
Filipina, salah sebuah negara pengimport beras terbesar dunia, setakat ini memberi tumpuan kepada usaha memberikan beras subsidi kepada penduduk miskin, pemindahan tunai dengan isi rumah dengan penggunaan elektrik terendah, dan insentif menukar kenderaan pengangkutan besar-besaran kepada bahan api alternatif.
“Kami mengawasi keselamatan makanan dan tenaga. Apa saja yang boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara adalah sebahagian mandat kami.
“Kenaikan bahan api dan elektrik memberi kesan besar, dan ia berlaku di seluruh dunia hari ini. Semua orang berasa kesannya,” kata Prestoza. - AFP