LIMBARUH HIJAU 21 JULAI 2008 - MULAI tahun hadapan Kerajaan KDYMM akan memperkenalkan Sistem Pendidikan Negara Abad 21 atau SPN 21 yang bertujuan untuk memperkasa modal insan negara dalam menghadapi cabaran-cabaran pembangunan di era globalisasi ini.
Perkara ini disentuh oleh KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Boliah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Drussalam dalam titah Baginda sempena hari ulang tahun ke-62 keputeraan Baginda pada 15 Julai 2008 baru lalu.
Menyentuh bidang pendidikan sebagai bidang utama pembangunan negara, Baginda bertitah menekankan bahawa Kerajaan sekarang telah pun mengemaskinikan perancangan kearah sistem pendidikan kebangsaan dengan memperkenalkan Sistem Pendidikan Abad 21 atau SPN 21.
"Perlaksanaannya akan bermula pada awal tahun depan, insya Allah", titah Baginda Sultan.
Tegas Baginda perlaksanaan SPN 21 dihasratkan untuk menyahut cabaran-cabaran pembangunan insan dan ekonomi serta juga mendukung aspirasi Wawasan Negara.
Sebelum itu Baginda dalam titah yang sama juga menyentuh isu pembangunan tenaga manusia.
Tegas Baginda dalam usaha menjana ekonomi negara, usaha mestilah di lipatgandakan bagi mengemaskinikan segala perancangan dan perlaksanaan sumber tenaga manusia serta dasar-dasar yang berkaitan dengannya.
"Sebagai contoh, Kerajaan Beta telah menyediakan peruntukan sebanyak hampir $28 juta ringgit dari Dana Sumber Tenaga Manusia untuk Skim Latihan bagi Program Khas Graduan Mencari Pekerjaan dan Program Khas Lepasan Sekolah".
"Ini diharapkan dapat membantu mengurangkan pergantungan sektor swasta kepada tenaga kerja luar negeri, dan pada waktu yang sama, dapat mengurangkan juga kadar pengangguran dalam negara", jelas Baginda Sultan.
Matlamat SPN 21
Menyentuh mengenai SPN 21, Menteri Pendidikan, Pehin Dato Awang Haji Abdul Rahman Taib pernah menjelaskan mengenai matlamat SPN 21 iaitu untuk meningkatkan kadar jumlah penuntut di peringkat pendidikan tinggi dari 13 peratus yang sedia ada ke tahap 30 peratus dalam jangka waktu 5 tahun mendatang ini.
Katanya melalui SPN 21, Kementerian Pendidikan berharap untuk mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus jumlah penuntut lepasan sekolah menengah termasuk lepasan sekolah vokasional akan menerusan pelajaran diperingkat tertinggi.
Menurut Menteri Pendidikan itu lagi komitmen utama kementerian ialah untuk terus berusaha ke arah meningkatkan lagi kualiti kehidupan di negara ini melalui penyediaan sistem pendidikan yang lebih berupaya meningkatkan kecekapan dan keupayaan rakyat dan penduduk Brunei.
Justeru, jelas Pehin Dato Hj Abdul Rahman, SPN 21 menjurus ke arah penyediaan sistem pendidikan yang berkualiti yang mampu bertindak dan memenuhi keperluan masyarakat di era globalisasi yang penuh mencabar dan tidak menentu ini.
Antara harapan dan cabaran
Titah perkenan Baginda Sultan bagi perlaksanaan SPN 21 di tahun hadapan dan juga mengenai langkah-langkah untuk mengemaskinikan perancangan dan perlaksanaan sumber tenaga manusia setentunya memberikan harapan baru kepada kita untuk melihat kemajuan yang lebih cemerlang di bidang pendidikan dan pembangunan modal insan di negara ini.
Dalam hal ini NDP sentiasa bersama KDYMM Baginda Sultan mengharapkan agar negara berupaya mencapai kejayaan cemerlang dalam perjalanannya menujua ke arah Wawasan Brunei 2035.
Wawasan tersebut telah mengilhamkan Brunei di tahun 2035 menjadi sebuah negara yang maju yang mempunyai rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, mempunyai kualiti hidup yang tinggi serta mempunyai pendapatan per kapita yang teratas setara dengan 10 negara teratas dunia.
Selama ini kita turut risau apakah kita boleh mencapai matlamat wawasan tersebut ?
Seperti apa yang dikatakan oleh Dr Richard Leete, seorang pegawai kanan UNDP baru-baru ini, sistem pendidikan Negara Brunei sahaja sejauh ini masih gagal untuk melahirkan masyarakat yang berpendidikan tinggi dengan secukupnya untuk membolehkan negara dikitiraf sebagai negara maju.
Hanya yang dapat dilahirkan oleh sistem pendidikan negara selama 24 tahun yang lalu ini ialah masyarakat yang majoriti berpendidikan rendah dan menengah sahaja.
Untuk Brunei menghasilkan lebih ramai rakyat berpendidikan tinggi mungkin memakan masa satu generasi lagi; itu pun jika sekiranya keberkesanan sistem pengurusan dan pentadbiran negara dapat dipulihbaik dan dipertingkatkan dari sekarang.
Dalam jangka waktu satu generasi ini merupakan saat genting bagi negara untuk bergerak pantas menuju matlamat yang dicita-citakan, menurut pandangan Dr Richard Leete merujuk kepada bagaimana Qatar sekarang yang berada d tangga ke 37 sudah bergerak seperti keretapi ekpress untuk naik ke tangga teratas dunia.
Seperti yang pernah dikatakan Ayahnda Yasin Affandy, Presiden NDP dan Timbalan Presiden sdr Mahmud Morshidi Othman, negara sekarang berada dalam 'injury time' yang semakin singkat.
Rebah bangun masa depan bangsa dan negara bergantung penuh kepada keupayaan negara memulihkan keadaan dalam jangka waktu kecederaaan ini termasuklah dibidang pendidikan.
Dalam perkataan lain kita hanya ada sedikit waktu untuk melahirkan lebih ramai rakyat yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran dalam perjalanan menuju matlamat Wawasan 2035 yang hanya tinggal kurang 27 tahun dari sekarang.
Statistik semasa (tahun 2005), menunjukkan peratusan tenaga kerja kepada populasi ialah 67.1%. Kadar pengangguran pula pada tahun yang sama berada pada paras yang agak tinggi iaitu dengan anggaran sebanyak 4.3%.
Ini memberi gambaran bahawa negara Brunei berdepan dengan kadar penggangguran yang agak serius. Komposisi gunatenaga pula menunjukkan 45% daripada jumlah gunatenaga adalah dimonopoli oleh pekerja asing.
Komposisi pekerja asing yang besar di dalam ekonomi cenderung untuk menyumbang kepada kadar pengangguran yang tinggi kerana kebanyakkan peluang pekerjaan yang wujud diisi oleh pekerja asing.
Dari sudut pendidikan, peratusan pelajar yang menuntut di pusat pengajian tinggi adalah terlalu rendah iaitu kira-kira 4.3% daripada 107,946 jumlah pelajar, manakala penuntut teknikal dan vokasional pula ialah 2.9%.
Selebihnya, 38.1% memiliki pendidikan menengah dan 54.7% menuntut di pengajian rendah/pra sekolah. Jika tren ini beterusan adalah sukar sekali untuk Brunei mencapai matlamat kepada ekonomi yang berpengetahuan (KBE).
Berdasarkan kepada statistik-statistik di atas, perancangan sumber manusia sewajarnya diberi perhatian dan penekanan yang serius.
Antaranya, penekanan perlu dilakukan kepada golongan penuntut pendidikan rendah/pra sekolah dan menengah agar golongan-golongan penuntut tersebut dapat melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya dapat menyumbang kepada kekurangan tenaga kerja mahir tempatan.
Jika diteliti buku Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam, tiada strategi khusus yang diketengahkan oleh kerajaan untuk meningkatkan kadar peratusan lulus pendidikan peringkat pendidikan rendah/pra sekolah dan menengah.
Kebanyakkan strategi yang diketengahkan ialah hanya untuk menambah bilangan sekolah, guru dan meningkatkan kemudahan infrastruktur sekolah.
Justeru adalah menjadi harapan kita semua untuk melihat strategi SPN 21 sebagai jawapan kepada kekurangan dalam bab pendidikan yang kita dapati dalam perencanaan Wawasan Brunei 2035.
Penekanan seterusnya berkaitan dengan dasar untuk meningkatkan komposisi gunatenaga tempatan bagi mengurangkan kebergantungan yang tinggi kepada gunatenaga asing.
Statistik menunjukkan kebanyakkan pekerja asing mendominasi sektor swasta (71% pada tahun 2004) yang terdiri daripada sektor-sektor utama negara iaitu sektor pembinaan, perlombongan minyak dan gas, dan pemborongan dan peruncitan.
Walaupun buku Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam dan dasar RKN (2007-2012) menggariskan usaha untuk mengurangkan kadar kebergantungan kepada pekerja asing, namun ianya tidak menyatakan secara jelas bilangan pekerja asing yang akan dikurangkan dalam tempoh RKN.
Begitu juga profil pekerja asing, seperti negara asal, dan kategori kemahiran yang mereka miliki tidak dinyatakan.
Kekurangan maklumat-maklumat ini sudah pasti akan memberi kesukaran untuk membuat perancangan khusus berkaitan dasar pekerja asing. Seterusnya, kerajaan membuat unjuran bahawa kadar gunatenaga pada tahun 2010 ialah sebanyak 283,300.
Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan dengan jelas bilangan komposisi pekerja asing dan pekerja tempatan yang akan digunakan pada tahun 2010 itu. Begitu juga, anggaran bilangan komposisi pekerja mahir dan tak mahir yang akan diserap mengikut sektor ekonomi juga tidak dinyatakan.
Penutup
Titah KDYMM Baginda Sultan menyentuh isu pendidikan jelas mengambarkan harapan Baginda terhadap masa depan generasi pelapis agar mereka dapat di asuh dan di didik menjadi masyarakat yang berpendidikan tinggi dan berkemahiran.
Baginda jelas menaruh keyakinan melalui SPN 21 cita-cita menjadikan negara sebuah negara yang maju dengan rakyat dan penduduknya berpendidikan tinggi dan berkemahiran akan tercapai.
Baginda juga turut menaruh harapan agar segala perencanaan bagi pembangunan sumber manusia dilipatgandakan bagi mengemaskinikan segala perancangan dan perlaksanaan sumber tenaga manusia serta dasar-dasar yang berkaitan dengannya.
Baginda berharap melalui usaha tersebut akan dapat membantu mengurangkan pergantungan sektor swasta kepada tenaga kerja luar negeri, dan pada waktu yang sama, dapat mengurangkan juga kadar pengangguran dalam negara.
Sehubungan dengan itu adalah menjadi tugas dan tanggunjawab kita semua, terutama sekali pengubal-pengubal dasar dan elit-elit pentadbir, agar harapan Baginda Sultan itu tidak di sia-siakan.
NDP dalam hal ini akan terus memberikan sokongan dan dokongan kepada Kerajaan KDYMM demi untuk menjayakan usaha tersebut selaras dengan peggangan NDP untuk terus menjunjung titah membangun bangsa.
Dalam masa sama bertekad untuk menyokong dan mendokong hasrat Baginda Sultan dan Kerajaan itu, NDP juga sukacita mengingat kembali cadangan dan hasrat NDP (rujuk Manifesto 2006 - 2016) untuk melihat pembentukkan dasar pendidikan di negara ini berasaskan konsep ‘Bismi Rabbik’ – mengenal Allah SWT – bagi melahirkan masyarakat berpendidikan dan menatijahkan:
-
Lahirnya tenaga kerja yang terlatih dan bersahsiah tinggi supaya negara tidak bergantung kepada tenaga kerja asing dalam pembangunan negara;
-
Membebaskan negara dan ummat dari muslihat luar yang boleh mengancam kemerdekaan dan keselamatan negara;
-
Sumber bekalan tenaga mahir dan tenaga ilmuan untuk pembangunan negara-negara yang memerlukannya.
WallahuWaalam.
|