LIMBARUH HIJAU 1 OGOS 2008 : Parti Pembangunan Bangsa (NDP) amat tersentuh dengan Titah-Titah Kebawah DYMM sempena Hari Keputeraan Baginda ke 62 dan sempena sambutan Isra’ Mi’raj pada 30 Julai 2008 yang menyentuh kebimbangan dan kekecewaan Baginda terhadap beberapa isu yang menjadi agenda semasa rakyat khususnya isu pergantungan bekalan beras Negara kepada ihsan alam negara luar.
Keberanian dan keterbukaan Baginda mendedahkan kepincangan ini amat kita junjung dengan penuh keinsafan.
NDP turut menggesa agar semua pihak yang berkenaan, hendaklah dengan segera mengambil langkah-langkah tepat dan berkesan untuk merealisasikan titah Baginda tersebut demi survival bangsa, yang juga termasuk di dalam survivaliti yang diperjuangkan Baginda itu ialah kita sendiri, orang bergelar dan tidak bergelar, elit penguasa dan elit pentadbir, anak cucu, ipar duai, keluarga jauh dan dekat serta sahabat handai, kenalan dan taulan, selagi seseorang itu bernaung di bawah panji-panji ulul amri Negara Brunei Darussalam.
Pada hemat NDP, kemelut dan masalah bekalan makanan asas khususnya bekalan beras negara yang 96.88% bergantung kepada bekalan yang diimport adalah berpunca daripada kesilapan strategi dan perancangan Jabatan berkenaan dalam soal pengeluaran beras sejak dahulu lagi.
Jika dilihat kepada RKN8 yang berakhir 2005 lalu, sasaran pengeluaran beras negara ialah untuk meningkatkan penghasilan hanya kepada 1300 tan metrik atau 3% daripada jumlah permintaan beras negara menjelang 2005.
Persoalannya ialah mengapa para perancang pembangunan pertanian dengan penuh sedar ketika itu sekadar meletakkan sasaran penghasilan beras hanya pada kadar 3%?
Tidakkah dasar dan perancangan itu telah meletakkan negara dalam keadaan pergantungan total kepada ihsan alam negara luar untuk mendapatkan bekalan beras?
Tidakkah ini merupakan satu kesilapan strategi dan perancangan?.
Kalau tidak, masakan negara hanya merancang untuk memenuhi 3% sahaja daripada keperluan Negara?
Kalau negara lain merancang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membebaskan diri dari pergantungan kepada negara luar untuk makanan asas mereka, tetapi perancang dasar pertanian negara kita pula membuat perancangan sebaliknya, iaitu untuk terus bergantung kepada negara luar. Aneh bunyinya!
Pada hemat kita, apa yang mendukacitakan Kebawah DYMM dan orang awam seperti kita ialah, strategi dan perancangan yang sebegitu rupa nampaknya masih diteruskan dalam RKN semasa (2007-2012).
Ini boleh dilihat dari jumlah peruntukan yang diberikan untuk sektor pertanian.
Di bawah RKN8, sebanyak BND 91.1 juta atau 1.2% dari jumlah keseluruhan peruntukan dikhaskan untuk sektor pertanian.
Sebahagian kecil daripada peruntukan ini diberikan kepada industri penanaman dan pembelian padi yang berjaya menghasilkan sebanyak 3% keperluan beras Negara seperti yang disasarkan.
RKN semasa (2007-2012) pula memperuntukkan sebanyak BND 101.8 juta atau 1.1% dari keseluruhan peruntukan berjumlah BND9.5 Billion bagi membiayai 34 projek pertanian termasuk dua daripadanya ialah projek untuk pengeluaran padi dan beras negara.
Bolehkah kita menjangkakan dengan tambahan hanya BND 10.7 juta sahaja bagi tempoh 2007-2012 itu dan diagihkan pula kepada 32 projek lainnya, kita akan berupaya meningkatkan pengeluaran beras negara dengan ketara?
Tidakkah situasi ini dengan sendirinya, akan terus meletakkan negara dalam keadaan yang sentiasa berharap kepada ihsan dan pergantungan beras Negara kepada negara luar?
Justeru kita tidak nampak adanya sebarang perubahan ketara dalam strategi dan pendekatan rancangan mengenai sektor pertanian ini yang digarapkan didalam RKN semasa.
Persoalannya ialah, bagaimanakah caranya agensi pelaksana akan menterjemahkan titah Kebawah DYMM yang menyebutkan, “Maka oleh itu Beta tidak akan bosan-bosan untuk menegaskan bahawa negara kita adalah perlu mengambil langkah tegas meningkatkan penghasilan makanan khasnya beras”.
“Pastikan bahawa kita akan berjaya juga menyara diri sendiri dengan hasil kita sendiri. Pokoknya peningkatan itu sangat perlu sekurang-kurangnya untuk mengurangkan pergantungan kita kepada import yang terlalu besar”.
“Kita perlu cepat mengatasi peningkatan yang terlalu perlahan.”
Kes dan senario ini, pada tanggapan kita telah menolak sama sekali dakwaan yang mengatakan RKN semasa ini “menandakan peralihan strategik dalam perancangan dan perlaksanaan program pembangunan negara” khususnya dalam konteks pembangunan industri padi dan beras negara.
Justeru itu, kita hendaklah kembali kepada saranan-saranan Kebawah DYMM yang menyeru seluruh warga kerja kerajaan supaya mengubah cara berfikir dengan melakukan satu anjakan paradigma kearah yang lebih maju.
Kita hendaklah menjadikan titah-titah dan teguran Baginda itu sebagai 'antidotes' untuk merobah budaya kerja yang pasif kepada aktif dan daripada reaktif kepada proaktif.
Turut menjadi tanda tanya kepada NDP, tidakkah kita terfikir bahawa untuk mendapatkan penghasilan padi dan beras yang tinggi kita memerlukan kepakaran, teknologi, tanah yang subur dan bekalan baja, infrastruktur jalan dan perparitan yang baik, modal untuk membuka tanah-tanah baru, saliran , takungan air dan empangan, benih yang bermutu yang boleh menghasilkan pengeluaran berganda?
Tidakkah ini memerlukan belanja yang besar? Dan bagaimana pula agensi pelaksana diperuntukkan bajet yang terlalu sedikit untuk memikul tugas yang besar ini?
Tidakkah kita terfikir untuk mendepani dan menghurai persoalan ini sebagai satu gagasan setelah kita melalui beberapa RKN dengan menghadapi masalah yang sama?
Tidakkah kealpaan ini dilihat sebagai kelemahan dasar strategic planning?
Kita sedih, nampaknya segala teguran dan kerisauan yang telah berkali-kali dizahirkan oleh Kebawah DYMM mengenai isu sekuriti pemakanan ini umpama Baginda mencurah air ke daun keladi.
Kenapa misalnya, perancangan yang telah dirangka melalui RKN semasa (2007-2012) tidak memberi tumpuan ke arah menyelesaikan masalah yang berlarutan seperti yang disebutkan itu?
Kenapa perancangan yang digarap didalam RKN semasa itu meletakkan kita terus bergantung ihsan untuk makanan asas ini dari luar negara?
Sebagai contoh, dari 34 projek pertanian yang dirancang di bawah RKN semasa (2007-2012), hanya terdapat 2 projek yang disenaraikan berkaitan padi/beras, iaitu Rancangan Kemajuan Industri Pengeluaran Padi dan Peningkatan Kualiti. Dan Pengeluaran Hasil Padi Tempatan sahaja yang mengarah kepada hasrat murni yang dititahkan oleh Kebawah DYMM.
Dalam pada itu kita juga tidak dapat menelah berapakah nilai anggaran kos bagi kedua-dua projek ini sedangkan, seperti yang disebutkan diatas, peruntukan yang disediakan hanyalah 101.8 juta untuk diagihkan kepada 34 projek.
Kalaulah kita tidak terlepas pandang, berdasarkan dokumen rasmi kerajaan Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang NBD, Wawasan Brunei 2035, Rangka Strategi dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD) 2007-2017, Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 2007-2012, kita dapati juga, bahawa tidak terdapat sebarang petunjuk mengenai sasaran pengeluaran beras negara yang boleh dicapai melalui kedua-dua projek di atas.
Pada tanggapan kita, berdasarkan peruntukan yang diberikan dan darjah 'political will' agensi pelaksana yang ditunjukkan oleh mereka sebelum ini, maka kita bolehlah membuat andaian bahawa tidak mungkin akan berlaku satu perubahan yang ketara dan bermakna dalam penghasilan beras Negara dalam tempoh lima tahun mendatang ini jika sekiranya strategi dan dasar pengeluaran beras Negara tidak dikaji semula dengan memberikan penekanan kepada keperluan Negara berdasarkan titah-titah Kebawah DYMM itu.
Kemelut ini telah menimbulkan persoalan di kalangan orang ramai, iaitu mengapa di bawah RKN8 yang lalu, tahap pengeluaran beras Negara disasarkan terlalu rendah iaitu sekadar 3% sahaja? Dan dalam RKN semasa (2007-2012) kesilapan yang sama nampaknya masih diteruskan dan tidak dibuat sebarang perubahan dan pembetulan.
Pada pengamatan sesetengah kalangan, mungkin ini menunjukkan mereka yang bertanggungjawab tidak prihatin dan tidak menyusun perancangan mengikut keutamaan.
Andainya ini satu kenyataan dan kebenaran, di mana pula peranan institusi-institusi pemantau seperti Majlis Mesyuarat Negara dan fungsi serta peranan pemantauan di peringkat kementerian dan jabatan?
Kenapa mereka juga terlepas pandang dan tidak upaya membaca kemelut makanan asas yang sudah merentasi sempadan sedangkan isyarat demi isyarat telah dikirim oleh Kebawah Duli dan rakyat?
Atau, mungkinkah keadaan ini sengaja ditapoki (disembunyikan) dari pengetahuan Kebawah DYMM semata-mata untuk menjaga kepentingan golongan-golongan tertentu?
Jika sekiranya ini berlaku, tidakkah kita sedari, akibatnya hanya sedikit orang yang untung, tetapi banyak pihak pula yang rugi dan lebih jauh ia boleh mengancam sekuriti sosial rakyat?
Kita sependirian dan mengongsi segala masalah yang dibangkitkan melalui titah-titah Kebawah DYMM baru-baru ini.
Ahli-ahli NDP berpandangan bahawa seluruh agensi pelaksana perlu kepada satu anjakan dan perubahan pemikiran dan gerak kerja yang drastik.
Kita dicemburui oleh masa yang terus mengejar kita dengan pantasnya.
Ketelusan Kebawah DYMM melemparkan isu pergantungan beras Negara kini hendaklah diterima secara positif oleh semua pihak dengan berlapang dada dan segera memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan.
Sepatah titah Baginda pada sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan Brunei ke 23 berbunyi “Di antara cabaran paling mencabar ialah kesediaan kita mengakui kelemahan yang ada, di samping tidak pula lambat untuk membuat pembaikan-pembaikan”. Titah ini hendaklah dijadikan azimat dan rangsangan untuk kita terus maju.
Disamping itu, teguran Baginda itu sewajarnya dilihat oleh seluruh elit penguasa, elit pentadbir dan agensi pelaksana sebagai peringatan ikhlas Baginda sebagai ulil amri kepada mereka supaya menilai semula segala strategi dan dasar bersangkutan pembangunan negara dan mengusainya, bagi mempastikan semua itu tidak membelakangi kepentingan rakyat seluruhnya, dan meletakkankan semua dasar dan perancangan diatas asas dan roh MIB (Melayu Islam Beraja), demi menuju sebuah Negara Brunei yang selamat sejahtera, Negara Zikir - Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur..
Justeru itu, marilah kita memandang ke hadapan dengan semangat baru, dengan penuh iltizam untuk memperbaiki kesilapan-kesilapan perancangan yang berlaku selama ini.
Kesilapan-kesilapan itu tidak wajar dibiarkan berterusan.
Apakah kita akan menunggu teguran dan titah Kebawah DYMM yang seterusnya untuk sedar dari kealpaan dan bertindak melakukan perubahan dan pembetulan yang diperlukan?
Apakah mesej yang selama ini diuatarakan oleh Kebawah DYMM mengenai perkara ini masih belum jelas? - Wallah a’alam