DIRGAHAYU KEBAWAH DULI TUAN PATEK KE 62. SEMOGA ALLAH TERUS MENGURNIAKAN SEGALA KESIHATAN, KEKUATAN, TAUFEQ DAN HIDAYAH NYA KEPADA KEBAWAH DULI TUAN PATEK, KEKAL QARRAR MEMERINTAH NEGARA BRUNEI DARUSSALAM. AMIN YA RABBAL ALAMIN.
Titah Kebawah DYMM sempena Hari Puja Usia Baginda ke 62 hari ini sebahagian besarnya menyentuh isu keselamatan permakanan, isu yang turut membimbangkan Kebawah DYMM.
Titah KDYMM
Baginda bertitah, “kita juga perlu peka mengenai krisis permakanan dunia sekarang. Krisis ini telah benar-benar menimbulkan kebimbangan global apabila pengeluaran beberapa jenis bijiran yang asasi termasuk beras telah mendadak susut di Negara-negara pengeluar utamanya”.
“Dan menambah kalut lagi apabila beberap Negara-negara pengeluar terpaksa menggunakan stok simpanan beras mereka untuk di agihkan kepada rakyat masing-masing”, sambung Baginda.
Baginda seterusnya bertitah;
“Kebimbangan semakin meningkat apabila Badan Dunia juga turut mendedahkan hasil pertanian terus susut berbanding dengan kepesatan pertambahan penduduk dunia”.
"Pertambahan penduduk dunia di ramal meningkat dari 6.5 billon 2006 kepada 7 billion pada 2012. Peningkatan ini sudah tentu tidak seimbang dengan penghasilan permakanan yang terus merosot”.
“Ini di tambah lagi dengan isu perubahan iklim dunia. Pemanasan global membawa impak kepada persekitaran, ini juga menjadi ancaman kepada kehidupan”.
Tambah Baginda lagi, “di merata tempat di dunia terjadi pula bencana-bencana alam yang dahsyat seperti gempa bumi, angin kencang, banjir besar yang semuanya itu turut menjejaskan pula sumber permakanan”.
Sehubungan itu Baginda memberikan jaminan bahawa Kerajaan Baginda telah meletakkan beras selaku keperluan asas yang telah di beri kan subsidi sekian lama.
Dengan penuh prihatin Baginda bertitah lagi, “sama seperti minyak kenderaan perbelenjaan subsidi untuk beras juga telah meningkat sekarang. Namun demi kesejahteraan rakyat dan penduduk, harga beras masih sahaja di tahap biasa”.
“Tetapi ini bukan bererti kita terlepas dari senario kebimbangan mengenai hasil makanan”.
“Lebih-lebih lagi beberapa buah Negara pengeluar telah di lihat menghentikan ekspot makanan bijiran mereka ke Negara lain”.
NDP melihat Titah yang Baginda lontarkan ini tentutulah bertujuan supaya diambil perhatian serius dan segera oleh semua pihak dan sewajarnya melewati sempadan birokrasi dan politik.
Baginda mengingatkan, “maka dengan sebab itu Negara Brunei Darussalam tidak dapat lagi semata-mata bergantung kepada ehsan alam luar Negara untuk mendapatkan beras walaupun kita mampu mengadakan peruntukkan untuk itu”.
“Sikap semata-mata bergantung kepada wang ringgit untuk mengisi perut sudah tidak relevan lagi dengan terjadinya krisis makanan ini”, titah Baginda.
Baginda seperti menempelak dengan tujuan untuk menyedarkan semua pihak apabila Baginda bertitah, “jika ada negara pengeluar beras yang sudah mampu memenuhi 70 peratus keperluannya sendiri masih sahaja sibuk mengubal dasar untuk sampai ke tahap100 peratus mencukupi, megapakah kita yang cuma setakat mampu menampung sekitar 3.12 peratus tidak menyingsing lengan meningkatkan industri penghasilan beras Negara”.
Baginda bertitah lagi, “pada ingatan beta perkara ini telahpun berulang kali beta timbulkan sejak beberapa tahun lalu. Jadi memang wajar untuk kita mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian yang antara lain menjadikan jaminan sekuriti makanan Negara (National Food Security) sebagai salah satu strategi utamanya”.
Menyusuri petikan titah Baginda diatas, izinkan Wacana ini merungkai sedikit lagi apa yang dapat difahami oleh NDP mengenai titah Baginda tersebut.
Seperti maksud titah Baginda, krisis makanan yang berlaku kini telah menjadi isu global yang mendapat reaksi serius oleh banyak pihak.
Krisis permakanan di sana sini
Jika suatu masa dulu, jarang yang memikirkan isu makanan berdepan dengan situasi yang serius seperti ini, kini kita harus menerima hakikat bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk menangani masalah ini sebelum ia menjadi bertambah serius pada masa akan datang.
Makanan adalah bahan keperluan asas dalam kehidupan manusia.
Keperluan individu terhadap bahan makanan menjadikannya sebagai barang komoditi yang amat bernilai. Tanpa bekalan makanan yang mencukupi dan keupayaan untuk mendapatkannya secara yang konsisten, individu boleh terdedah kepada ancaman “food insecurity” dan kemungkinan bahaya yang boleh menjejaskan kemampuan mereka untuk hidup.
Secara umumnya, negara-negara di rantau Asia Tenggara yang secara relatifnya subur tidak menjangkakan bahawa kekurangan bahan makanan telah mencapai tahap krisis.
Walau bagaimanapun, keadaan negara moden pasca globalisasi perlu menyedari hakikat kebergantungan kepada pasaran antarabangsa untuk memenuhi keperluan asas di peringkat domestik telah meletakkan setiap negara kepada ”vulnerbility” dalam banyak aspek.
Keadaan inilah yang pada tanggapan kita menjadi kebimbangan Kebawah DYMM dan akan kita bincangkan disini.
Secara umumnya, melalui perkembangan teknologi yang berlaku sejak abad ke 18, tahap “food security” dunia telah meningkat berbanding setengah abad yang lalu melalui peningkatan pengeluaran bekalan makanan global.
Seiringan dengan perkembangan ini, dunia turut mengalami perkembangan dan pertambahan penduduk yang mendorong berlakunya permintaan yang semakin tinggi terhadap bekalan makanan.
Ekoran daripada permintaan yang semakin meningkat dan pelbagai faktor lain, kelaparan, malnutrisi dan “food insecurity” masih juga berlaku di mana-mana.
Menurut Barret (2002), pakar menjangkakan masih terdapat sekitar satu bilion manusia yang mengalami masalah kekurangan makanan berkhasiat (undernourishment) untuk membolehkan kehidupan mereka berfungsi secara normal.
Walaupun begitu, tidaklah diandaikan bahawa krisis makanan global pada masa sekarang berlaku berpunca daripada masalah pertambahan penduduk yang tidak selari dengan pertambahan pengeluaran makanan semata-mata.
Terdapat banyak faktor lain yang mendorong timbulnya masalah ini.
Menurut Amartya Sen (1981), kebuluran berlaku bukanlah semata-mata disebabkan oleh kekurangan makanan, sebaliknya berpunca daripada ketidaksamarataan dalam mekanisma pengagihan makanan.
Ini bermaksud bahawa, ‘delivery system’ dalam kerajaan khususnya agensi-agensi pelaksana juga perlu dipastikan efektif untuk mengelakkan daripada berlakunya masalah kekurangan makanan yang boleh menjejaskan penduduk.
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon dalam satu mesyuarat khas di peringkat Economic and Social Council (ECOSOC) PBB menyeru masyarakat antarabangsa supaya mengambil langkah segera bagi membendung kesan politik dan keselamatan daripada krisis makanan yang sedang dihadapi sekarang yang boleh mencapai tahap kritikal jika tidak dikawal.
Food Agricultural Organization (FAO) Food Outlook pada November 2007 melaporkan peningkatan keperluan tahunan sebanyak 37 peratus bagi barangan makanan khususnya bahan tenusu dan bijirin. Kenaikan harga makanan asas (staple food) telah mengakibatkan peningkatan 18% inflasi harga makanan di China, 13% di Indonesia dan Pakistan, serta sekitar 10% atau lebih di negara-negara Amerika Latin, Rusia dan India.
Secara umumnya, hampir semua kategori makanan asas seperti gandum, jagung dan beras telah dan sedang mengalami peningkatan harga berganda berbanding tahun-tahun yang lalu.
Harga gandum telah meningkat sekali ganda berbanding setahun yang lalu, manakala harga jagung pula dilaporkan meningkat hampir 50%. Keadaan yang sama berlaku pada harga beras yang telah meningkat antara 10 hingga 20%.
FAO juga menganggarkan simpanan makanan global kini telah mencecah tahap paling rendah dalam 25 tahun, satu kenyataan yang pasti amat pahit untuk ditelan semua pihak.
Kesan daripada kenaikan harga makanan tersebut, nilai impot bahan makanan global pada tahun 2007 telah meningkat kepada USD745 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 21 peratus (%) berbanding 2006 walaupun pada hakikatnya volume sebenar impot tersebut adalah berkurangan berbanding dahulu (FAO, 2007: hal 6).
Terdapat banyak faktor yang boleh dikaitkan mendorong berlakunya krisis makanan global antaranya berpunca daripada penurunan pengeluran tahunan makanan, penghasilan biofuel daripada bahan makanan seperti jagung dan bijirin, kenaikan harga minyak dunia, peningkatan populasi global, perubahan cuaca, penukaran status tanah pertanian kepada kawasan penempatan, pembangunan industri serta faktor peningkatan permintaan oleh China dan India, konflik dan peperangan serta banyak lagi.
Berdepan dengan tekanan permintaan yang semakin meningkat ini, negara-negara pengeluar beras seperti China, India, Mesir (Egypt), dan Cambodia telah menghentikan ekspot beras bagi memastikan keperluan domestik dapat dipenuhi.
Krisis bekalan makanan ini merupakan ancaman serius kepada keselamatan negara. Ia bukan setakat menjejaskan kehidupan individu, malah ia turut memberi ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara.
Justeru, tidak hairanlah jika krisis makanan yang sedang melanda dunia ketika ini telah mengakibatkan ketidakstabilan politik dan sosial di kebanyakan negara yang mengalami masalah kekurangan bekalan makanan termasuklah negara-negara di benua Afrika, Arab Saudi, Filipina, Guinea, Mauritania, Mexico, Morocco, Senegal, Uzbekistan, Yaman dan lain-lain lagi.
Di Filipina, kekurangan bekalan beras telah menimbulkan kekecohan yang memaksa kerajaan mengambil pendekatan menjadikan beras sebagai item kawalan dan mengambil tindakan menghukum peniaga yang sengaja menyimpan beras secara tidak wajar.
Di Haiti pula, krisis makanan telah memaksa Perdana Menteri meletak jawatan. Justeru, pastinya kita tidak mahu melihat situasi yang sama di negara ini.
Ancaman Krisis Makanan dan Keselamatan Negara Brunei
Dalam memperkatakan mengenai krisis makanan, adalah wajar menilai implikasi ancaman tersebut kepada negara-negara membangun dan kecil seperti Brunei. Inilah persoalan yang dilontarkan oleh Kebawah DYMM kepada kita semua didalam titah Baginda pagi tadi.
Umum mengetahui bahawa kematian akibat kebuluran menjadi antara bentuk ancaman paling besar yang meragut nyawa jutaan setiap tahun.
Pada abad ke 17 dianggarkan sekitar 2 juta orang mati kerana kelaparan, manakala lebih daripada 25 juta lagi mati kerana sebab yang sama pada abad ke 19.
Food and Agricultural Organisation of the United Nations (FAO) menganggarkan hampir 852 juta orang menghadapi bahaya kelaparan yang berpunca daripada kemiskinan melampau, manakala dua bilion lagi menghadapi masalah ‘food insecurity’ berpunca daripada kemiskinan.
Angka ini turut membabitkan 9 juta orang di negara perindustrian, 25 juta di negara-negara yang berada dalam proses transisi kepada perindustrian dan 820 juta lagi dari kalangan penduduk negara-negara membangun (FAO, 2006).
Jika senario seperti ini diambilkira, ia bermaksud “food insecurity” perlu dinilai dalam kerangka yang luas sebagai ancaman kepada keselamatan negara selari dengan konsep keselamatan menyeluruh (atau “comprehensive security”).
Brunei dalam konteks ini, adalah sangat terdedah kepada ancaman. Melihat kepada keadaan fizikal negara yang kecil, dikelilingi oleh negara-negara lain yang secara umumnya adalah besar maka wajar difahami tahap vulnerabiliti negara ini adalah sangat serius.
Di samping masalah wilayah negara yang secara relatifnya kecil berbanding negara-negara jiran yang lain, kebergantungan kepada impot untuk memenuhi pelbagai keperluan dalaman negara telah menyebabkan negara Brunei berpotensi menghadapi masalah yang besar pada masa akan datang sekiranya satu langkah konkrit tidak dilaksanan dari sekarang.
Pendekatan negara Brunei yang menjurus kepada impot menyebabkan negara ini akan terdedah kepada ketidaktentuan pasaran dan harga barang di peringkat antarabangsa. Sejauh manakah penduduk negara ini mampu bertahan menghadapi kenaikan kos barang makanan yang menjadi keperluan asas kehidupan mereka?
Selama manakah Brunei mampu menyediakan subsidi atau melaksanakan langkah-langkah perlu untuk mengurangkan kesan negatif kenaikan harga makanan yang secara berterusan mengalami peningkatan?
Pada masa ini negara pengekspot utama beras seperti Thailand dan Vietnam telah mengambil polisi menghadkan jumlah bekalan beras untuk tujuan ekspot untuk menangani masalah kekurangan bekalan di peringkat domestik dan permintaan yang tinggi dari negara pengimpot seperti Filipina, China dan India. Di Thailand pula, kesan permintaan tinggi terhadap impot beras, harga barangan tersebut telah meningkat melebihi 20 peratus (%) berbanding sebelumnya.
Jika sekiranya dasar-dasar sedia ada dianggap mampu melindungi penduduk negara ini daripada kemungkinan ‘food insecurity’, bagaimana pula dengan dasar-dasar ataupun strategi negara untuk menghadapi kemungkinan berlakunya krisis yang tidak diduga, bencana atau peperangan? Apakah terdapat suatu usaha atau strategi yang jelas untuk mengatasi masalah food security dalam suasana atau keadaan sedemikian?
Kita melihat, disinilah letakkanya kemuncak kebimbangan Kebawah DYMM seperti yang dititahkan Baginda pagi tadi.
Justeru, melihat kepada senario yang berlaku menunjukkan sesuatu yang besar dan berani perlu dilakukan untuk menangani masalah sebelum ia menjadi lebih serius dan segera. Pada masa sekarang, Brunei bergantung sepenuhnya kepada minyak sebagai penjamin survival negara.
Harapan NDP
Dengan menjangkakan bekalan minyak negara ini juga akan bertahan untuk jangkamasa yang tidak lama, bermaksud negara ini akan menghadapi masalah kekurangan sumber yang serius bukan setakat dalam konteks sumber ekonomi, tetapi sumber asas untuk memastikan kelangsungan hidup penduduk di negara ini.
Demi misi untuk sama-sama menjunjung titah membangun bangsa, dan demi keinsafan untuk menyahut cabaran Baginda, agar kita menyingsing lengan meningkatkan industri penghasilan beras Negara, maka NDP merayu kepada seluruh elit penguasa dan elit pentadbir agar membukakan seluas-luasnya peluang dan bantuan kepada seluruh rakyat Negara ini tanpa megira fahaman politik untuk memberikan khidmat bakti mereka kepada nusa dan bangsa melalui penyertaan mereka di dalam pembangunan pertanian, perladangan, persawahan dan perikanan.
Dengan menjunjung semangat titah ini, marilah kita bersama-sama mengangkat sebarang halangan psikologi dan trauma politik yang turut menghambat kemajuan Negara selama ini. Marilah kita sokong dan bantu Kebawah DYMM memacu Negara ini kearah Negara yang selamanya aman makmur dan mendapat keampunan Allah SWT Insyaallah. Wallah a’alam.
Artikel Bekaitan