| Oleh : IMMANUEL WALLERSTEIN
Tatkala dunia melangkah ke dekad seterusnya, terdapat dua arena yang dijangkakan akan menerima kesan gelombang besar iaitu arena geopolitik dan ekonomi dunia. Ini disebabkan kesan kemerosotan kuasa geopolitik Amerika Syarikat secara perbandingan, yang kini diiktiraf oleh hampir kesemua orang dan tidak akan dapat dihalang walaupun oleh Presiden Obama.
Kita kini berpindah ke sebuah dunia yang benar-benar multilateral dengan kuasa negara-negara yang secara perbandingannya adalah lemah kini mula menjadi lebih berkuasa. Salah satu contoh kepada perkara ini adalah perkembangan di Timur Tengah, Turki telah berjaya menjadi orang tengah terhadap perundingan – perundingan yang telah lama berkubur di antara Syria dan Israel. Qatar telah menjadi orang tengah satu gencatan yang telah dirundingkan antara pelbagai golongan yang menjadi seteru ketat di Lubnan. Mesir pula berusaha untuk menjadi orang tengah bagi perundingan-perundangan antara Hamas dan Israel sementara kerajaan Pakistan telah mengadakan satu perjanjian damai tidak rasmi bersama pihak Taliban di zon-zon yang bersempadan dengan Afghanistan. Apa yang menarik tentang perkembangan-perkembangan ini adalah kerana adanya tentangan dari AS terhadap perundingan-perundingan ini, tetapi ia telah tidak dihiraukan tanpa mendatangkan sebarang kesan serius kepada pihak yang terlibat.
Selain AS kini terdapat Kesatuan Eropah, Jepun, Rusia, China, India, Iran, Brazil yang dianggap sebagai peneraju blok Amerika Selatan dan Afrika Selatan sebagai peneraju negara blok selatan benua Afrika.
Terdapat pergelutan yang hebat bagi membina gabungan-gabungan, dengan perdebatan dalaman tentang rakan-rakan optimum dan ketidakpastian yang meluas tentang keputusan yang akan diambil. Tambahan pula, negara-negara lain seperti Poland, Ukraine, Korea, Pakistan, Mesir, Nigeria, Mexico dan Kanada kini tidak pasti bagaimana mahu berhadapan dengan keadaan ini. Jelas sekali kedaan geopolitik baru ini berbeza dari apa yang pernah dialami bagi jangka masa yang panjang sebelum ini. Ia bukanlah keadaan benar-benar huru-hara, tetapi ia tentulah satu keadaan geopolitik yang tidak terurus secara meluas.
Kedaan geopolitik yang tidak menentu ini pula, disertai dengan keadaan tidak menentu yang amat sangat tentang ekonomi dunia. Perkara paling utama adalah berkaitan dengan isu matawang. Selama ini, sekurang-kuranya semenjak 1945, kita tinggal disebuah dunia yang mempunyai nilai dollar AS yang stabil. Kemerosotan ekonomi AS, khususnya sebagai tempat pengeluar barangan utama dunia, diikuti dengan jumlah hutang yang besar telah menyebabkan kadar tukaran matawang yang semakin merosot dengan nilai akhir yang masih tidak jelas kelihatan walaupun ia mungkin lebih rendah dari nilai sekarang.
Kemerosotan nilai dollar membawa dilema ekonomi yang serius bagi negara-negara lain, terutama sekali bagi negara-negara yang telah meletakkan jumlah kekayaan mereka yang semakin bertambah dalam bentuk bon dan stok yang rata-rata dibuat dalam bentuk dollar. Negara-negara ini kini menghadapi dilema sama ada mahu mengekalkan AS sebagai pembeli penting kepada barangan eksport mereka dan mengalami kerugian dalam bentuk kemerosotan nilai aset mereka berikutan pengurangan nilai dollar atau menukar aset mereka berikutan pengurangan nilai dolar atau memutuskan masa yang sesuai bagi menukar bentuk aset mereka. Tetapi
seperti juga mana-mana jalan keluar bagi masalah kewangan, isu yang terpaksa dihadapi oleh para pemegang aset adalah masa untuk mengambil tindakan iaitu tidak terlalu awal ataupun terlalu lambat.
Adakah ada mana-mana matawang yang akan menggantikan dolar sebagai matawang simpanan dunia? Calon yang paling jelas pada ketika ini adalah euro. Sama ada ia boleh mengambil peranan ini atau sama ada kerajaan-kerajaan di Eropah berminat untuk memainkan peranan ini tidak pula dapat dipastikan, walaupun ada kemungkinan peranan ini akan diberikan kepada mereka.
Sekiranya tanpa euro, adakah kita akan menghadapi situasi pelbagai matawang seperti dolar, euro, yen, pound dan mungkin juga yuan China digunakan dalam urus niaga-urus niaga dunia? Jawapan kepada persoalan ini adalah hampir sama kepada persoalan tentang gabungan-gabungan geopolitik. Dunia tidak akan benar-benar menjadi huru-hara tetapi keadaan akan akan menjadi tidak terurus dan kerajaan-kerajaan dunia dan para pengeluar akan bersa kurang senang.
Banyak negara-negara besar menyaksikan peningkatan besar dalam kedua-dua hasil produktif dan juga tahap penggunaan. Negara-negara BRIC contohnya , iaitu Brazil, Rusia, India dan China yang mempunyai penduduk berjumlah sekitar 60 peratus daripada penduduk dunia mengalami peningkatan hasil dan tahap penggunaan yang mengakibatkan peningkatan permintaan ke atas bahan bakar, bahan-bahan mentah, makanan dan air. Sesuatu mesti berlaku. Kita mungkin akan mengalami inflasi dunia besar-besaran memandangkan harga komoditi barang-barang terus meningkat akibat permintaan yang tinggi dan perbuatan spekulasi. Selepas itu kita mungkin akan mengalami ekonomi bersifat melindungi memandangkan pihak kerajaan akan bertindak untuk melindungi sumber bekalan masing-masing dengan menyekat eksport secara kecil-kecilan ataupun secara menyeluruh.
Dari pengalaman kita pada masa lepas, ini mungkin akan menimbulkan satu kitaran yang huru-hara. Atau kita mungkin akan menghadapi kekurangan bekalan di sini dan di sana, yang akan menyebabkan kadar kematian yang tinggi dan malapetaka alam sekitar yang serius.
TEKANAN AKIBAT PENDEMOKRASIAN
Kerajaan-kerajaan yang ditimpa oleh kadar pendapatan yang berkurangan kini menghadapi tekanan untuk tidak meningkatkan cukai bagi mengimbangi kekurangan pendapatan dan mereka mungkin terpaksa mengurangkan perbelanjaan dalam tiga bidang utama iaitu pendidikan, kesihatan dan pencen bagi warga tua. Tetapi bidang-bidang ini telah menjadi sebahagian daripada tuntutan-tuntutan utama dari orang awam ke atas kerajaan berikutan proses pendemokrasian yang semakin meluas di dunia ini semenjak dua abad lepas. Kerajaan-kerajaan yang tidak mampu untuk mengekalkan tiga jenis bentuk pembahagian sosial ini akan menghadapi masalah besar dari segi keabsahan dan mungkin terpaksa berhadapan dengan kebangkitan orang ramai dalam bentuk yang tidak dapat dipastikan.
Gambaran-gambaran sebegini adalah apa yang dimaksudkan sebagai bayangan tentang sistem yang telah menyimpang jauh dari keadaan keseimbangan dan mungkin memasuki keadaan huru-hara. Keadaan huru-hara tersebut bagaimanapun tidak akan berlangsung selamanya. Keadaan huru-hara akhirnya akan melahirkan apa yang disebut oleh sejarawan Prigogine dan Stengers sebagai “ kuasa baru yang terhasil dari huru-hara” seperti tajuk dalam karya klasik mereka. Seperti yang dititik beratkan oleh pengarang-pengarang tersebut, di tengah-tengah pergelutan tersebut, akan terdapat daya kreativiti dan juga pilihan tetapi kita tidak dapat memastikan pilihan apa yang akan dibuat.
Dalam pergelutan di antara politik berhaluan kiri dan kanan, politik berhaluan kiri mengalami peningkatan mendadak pada abad ke-19, dan terutama sekali pada abad ke-20. Kumpulan berhaluan kiri berjaya mendapatkan sokongan dalam jumlah yang banyak dan amat efektif. Terdapat satu titik selepas tahun 1945 apabila ia kelihatan berjaya di mana-mana sahaja dengan apa cara sekalipun.
Kemudian semua orang menyedari bahawa mereka telah ditipu. Sistem yang lemah di negara-negara tempat pergerakan tersebut berjaya mendapat kuasa secara praktisnya dalam sesuatu hal, gagal mencapai aspirasi pergerakan popular yang mendukung cita-citanya untuk menubuhkan apa yang dijangka dan diharapkan. Menjelang awal 1990-an, rasa kejayaan telah lenyap dari kalangan negara-negara berhaluan kiri dan ini digantikan dengan rasa tidak bermaya dan tidak kurang juga rasa bahawa mereka telah mengalami kegagalan.
Walaupun begitu, seperti yang kita ketahui rasa kejayaan di pihak pergerakan berhaluan kanan juga mula goyah, terutama sekali dalam kecelaruan yang diwujudkan oleh dakwaan pihak neo-kon tentang penguasaan tanpa henti pihak AS ke atas dunia sejagat. Bermula dari kebangkitan pihak Zapatista tahun 1994 dan juga kegagalan mesyuarat Seattle 1999 bagi Pertubuhan Perdagangan Sedunia ( WTO ) hinggalah Forum Sosial Dunia ( WSF ) ditubuhkan pada tahun 2001 di Porto Alerge, dunia menyaksikan kebangkitan semula pergerakan politik berhaluan kiri.
Kita hidup di dalam persekitaran dunia yang haru biru dan sukar bagi kita untuk melihat secara jelas. Ia seperti satu percubaan untuk melangkah ke hadapan dalam satu ribu salji yang menggerunkan. Mereka yang terselamat adalah mereka yang menggunakan kompas untuk mengetahui hala tuju masa hadapan mereka dan mengambil kesempatan untuk meninjau tempat mereka untuk melangkah untuk memastikan mereka tidak akan jatuh ke dalam sebarang lubang. Kompas tersebut akan memberi petunjuk kepada objektif yang mahu dicapai, iaitu jenis sistem baru dunia yang mahu dibina. Tempat untuk kita melangkah pula adalah jenis politik yang paling kurang berbahaya.
Sekiranya kita tidak mengambil kira kedua-dua perkara ini maka kita akan tewas. Kita sepatutnya berdebat tentang arah kompas tersebut dan melupakan tentang kepentingan negara dan kepentingan semangat nasionalisme. Tetapi kita patut berunding berkaitan negara dan semangat nasionalisme untuk menghindari sebarang jurang perbezaan. Dengan itu kita akan mempunyai peluang untuk terus maju, satu peluang untuk membina satu bentuk dunia baru yang boleh dicapai.
Immanuel Wallerstein ialah sosiologi di Universiti Yale
|