Harapan tinggi UISSA jadi universiti Islam terunggul

 
 
LIMBARUH HIJAU 04 JANUARI 2007: PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) berharap pihak-pihak berkenaan yang diamanahkan untuk menubuhkan universiti Islam pertama di Brunei akan berjaya mewujudkan institusi pendidikan tinggi tersebut seperti yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Boliah Mu'izadin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Baginda Sultan dalam titah Baginda sempena Tahun Baru Masihi 2007 telah mengumukan penubuhan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, universiti Islam pertama di Brunei dengan pengambilan pertama pelajar pada Ogos tahun ini.

"Harapan kita dan doa kita kepada pihak-pihak yang diamanahkan agar memperolehi kejayaan yang cemerlang", tegas Awang Haji Antin Ahad, Ketua Biro Pendidikan NDP yang juga merangkap jawatan Timbalan Naib Presiden NDP Brunei-Muara.

Baginda Sultan, tegasnya, menaruh harapan tinggi untuk melihat sebuah universiti Islam yang unggul lahir di bumi Brunei ini yang mampu melahirkan modal insan yang berdaya saing dan tenaga ilmuan yang bersahsiah tinggi, mampu memenuhi keperluan sumber manusia negara dan juga luar negara.

Untuk itu setentunya wajar perancangan terperinci dan perlaksanaan nya diaksanakan dengan teliti mengambil kira keutamaan matlamat akhir atau visi penubuhan universiti Islam yang akan dikenali dengan nama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UISSA), tambah Awang Haji Antin lagi.

"Kita juga berharap perlaksanaan usaha menubuhkan UISSA akan dibuat dengan telus agar semua lapisan rakyat dapat menghargai dan berbangga dengan kewujudan UISSA itu nanti".

"Kita melihat projek untuk mewujudkan UISSA satu mega projek pembangunan insan dan sumber manusia negara. Dari itu adalah menjadi harapan kita supaya pihak-pihak tertentu tidak keberatan untuk mendapatkan pandangan cendiakawan-cendiakawan dan ahli-ahli fikir dikalangan rakyat agar akhirnya nanti UISSA dapat diwujudkan dan memenuhi kehendak semasa", jelas Awang Haji Antin.

"Mudah-mudahan dengan penglibatan mereka itu nanti, universiti Islam pertama negara akan dapat dilaksanakan atas misi dan visi yang bertepatan dan dapat disasarkan bagi memenuhi keperluan semasa sumber manusia negara dan juga dapat menghasilkan tenaga kerja yang boleh dipasarkan keluar negara".

"Apakah matlamat akhir yang ingin kita capai dalam usaha mewujudkan UISSA? Inilah persoalan yang harus kita tentukan dari sekarang agar UISSA nanti tidak tinggal menjadi sebuah universti Islam 'mediocre'", tambah Awang Haji Antin lagi.

NDP, tambahnya sentiasa menyokong dan akan bersedia membantu menyumbangkan idea kepada Kerajaan Kebawah DYMM ke atas usaha membentuk UISSA yang boleh melahirkan tenaga ilmuan yang bersahsiah tinggi dan modal insan yang berdaya saing yang boleh di manafaatkan sepenuhnya untuk pembangunan bangsa dan negara.

Dalam hubungan ini, kata Awang Antin, NDP dalam mainfestonya telah mengariskan perlunya mewajibkan setiap murid dan penuntut beragama Islam menghadiri sekolah agama selama enam tahun di samping sekolah biasa untuk memastikan mereka tahu dasar, asas dan rukun Islam.

Beliau seterusnya menjelaskan,"di samping mata-mata pelajaran asas seperti ilmu Tauhid, Ibadah, Mu’amalat, Sejarah, Munakahat, Al-Quran, Tajwid, Fara-id, dan lain-lain, mata-mata pelajaran seperti Falsafah Islam, Sastera Islam, Sejarah Islam, dan lain-lain yang boleh dikategorikan sebagai sukatan pelajaran Tamadun Islam (Politik Islam, Ekonomi Islam, Sosial Sains Islam dan Kesenian Islam) hendaklah dimasukkan ke dalam sukatan pembelajaran, sama ada dengan sendirinya atau melalui manhaj perbandingan dengan yang bukan bersumberkan Islam".

Kita melihat perkara ini sangat relevan untuk dilaksanakan sebagai persedian bagi penuntut-penuntut untuk melanjutkan pelajaran ke UISSA, ujar Awang Antin.


 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.