Undang-undang Aipa diselaras

 
 
  • Jawatankuasa khas teliti 400 resolusi untuk dilaksana ke arah transformasi Parlimen Asean
  • Brunei, Myanmar pemerhati

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Antara Parlimen Asean (Aipa) akan menubuhkan kokus sebagai mekanisme tetap untuk membangunkan inisiatif dalam semua bidang kepentingan bersama ke arah menyelaraskan undang-undang Aipa.

Setiausaha Agung Aipa yang baru dilantik, Datuk Md Yusoff Md Zain, berkata tugas kokus itu termasuk menyemak status pelaksanaan kira-kira 400 resolusi Aipa dan bertindak sebagai mekanisme tetap memantau pelaksanaannya.

Kokus akan mencadangkan, apabila perlu, penyelarasan undang-undang dan peraturan yang akan menyediakan sokongan perundangan ke arah pewujudan Komuniti Asean.

Ia juga akan mewujudkan persekitaran yang akhirnya akan membawa kepada transformasi perhimpunan kepada Parlimen Asean yang tidak semestinya mengikut model Parlimen Eropah, tetapi menepati keunikan Asean sendiri dan akan hanya mengambil amalan terbaik.

Bercakap pada mesyuarat jawatankuasa politik Aipa, di sini semalam, beliau berkata keanggotaan kokus itu ialah daripada kumpulan teras tiga ahli Parlimen dari setiap negara anggota, seorang wakil dari setiap negara pemerhati khas, setiausaha agung Aipa dan masing-masing seorang pegawai dari sekretariat nasional Aipa.

Beliau berkata, kokus Aipa akan bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali setahun dan laporan daripadanya, termasuk cadangannya, untuk dipertimbangkan dan diterima pakai oleh perhimpunan agung melalui jawatankuasa eksekutif.

Kokus itu yang akan bermesyuarat secara tetap akan menyumbang ke arah usaha menjadikan Aipa sebagai institusi yang lebih efektif dan bersepadu, kata Md Yusoff.

“Kokus juga mendorong integrasi dan kerjasama baru dan lebih baik dijalin dalam kalangan Parlimen negara anggota Aipa dan menjadi jentera pemacu ke arah pewujudan persekitaran yang akan membolehkan Parlimen Asean direalisasikan,” katanya. – Bernama

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.