Bismillah hirahma nirrahim

 

Alhamdullillahi rabbil ‘alamin,

Wabihi nas ta inu ‘ alaa umururid dunya waddin

Wash shalatu was salamu alaa asyrafil  anbiya iwal mursalin

Wa ala aalihi wa ash habihi ajmain. Amma ba’ du.

 

Yang Mulia lagi Dihormati Kekanda Pemangku Pengerusi Tetap,

Yang Dihormati lagi di sayangi Tuan Yang Terutama Ayahnda Presiden,

Yang Saya Muliakan dan hormati Tuan Yang Terutama Timbalan Presiden,

Naib naib Presiden Brunei Mauara, Belait, Tutong dan Temburong

Ahli-ahli lembaga Penasihat, Ahli Ahli Majlis Tertinggi

Dif-dif kehormat

Tetamu-tetamu Jemputan Khas

Ahli-ahli Perwakilan dan pemerhati serta seluruh anggota NDP yang di hormati sekalian

 

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Dan Salam Sejahtera.

Saudara saudari yang di hormati sekalian,

Marilah kita panjatkan puji dan syukur sedalam-dalam nya kehaderat Allah s.w.t atas rahmat dan perkenan Nya hingga mengizinkan kita semua dapat berkumpul dalam majlis Perasmian Kongres Agung Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Kali Ke-2 Tahun 2007 pada hari ini. 

 

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w ahli-ahli keluarga sahabat-sahabat serta pengikut-pengikut Baginda yang setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

 

Saya dengan amat sukacita mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang kemajlis Perasmian Kongres Agung Parti Pembangunan Bangsa (NDP) Kali Ke 2 Tahun 2007.

 

Pada tahun lalu kita telah mengadakan Kongres Agung Pemilihan pertama.

 

Sesuai mengikut peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan, yang sebanyak 28 jawatan telah dipertandingkan bagi memilih calon-calon untuk menjawat dan memegang tampuk kepimpinan dalam Majlis Tertinggi Parti untuk tempuh 3 tahun mulai 1 hb Mei 2006 hingga 30hb April 2009. Dan pada  hari ini kita mencatat sejarah  melangkah ke kongres Agong ke 2  dengan format Kongres Agong Perwakilan.

Saudara saudari yang di hormati sekalian,

Pada mengambil kedudukan unggul di medan pertubuhan parti politik di Negara Brunei Darussalam, NDP hari ini sukacita melangkah ke kongres agung ke dua dan membawa seramai 108 orang perwakilan dan pemerhati penuh termasuk ahli-ahli majlis tertinggi, ahli-ahli Jawatankuasa Hal ehwal Non Muslim, Himpunan Pemuda dan Himpunan Wanita.

 

Perlu juga di maklumkan bahawa NDP setakat ini telah menghadapkan 28 permohonan penubuhan ranting di seluruh negara dan 18 ranting telah diluluskan. Namun begitu atas masalah teknikal, hanya 5 ranting sahaja yang sempat lulus membentuk AJK Majlis Eksekutif Ranting- MER.

 

Hanya ranting ranting tersebut sahaja lah seterusnya  diterima menghantar 6 orang perwakilan masing masing. Di kesempatan ini di ucapkan setinggi tahniah kepada mereka yang terpilih sebagai perwakilan itu.

 

Nyatalah dengan penubuhan ranting yang terhad ini tidak selalu melahirkan banyak pemimpin yang tepat untuk waktu dan mengisi penuh kehendak keadaan saperti ini. Kenyataan ini sungguh mengecewakan dan sukar untuk di terima oleh majoriti ahli.

 

Namun begitu, kita percaya sedikit pun jumlah perwakilan ini, bahawa mereka tentu sekali akan mampu mengetengahkan banyak usul yang bernas.

 

Usul yang bertenaga lagi padat yang bakal menggambarkan nilai daya fikir inovasi dan semangat tinggi perjuangan serta kommitmen para perwakilan.  

 

Kita berdoa semoga mereka dapat menumpukan perbincangan dengan serious dan berjaya menyampaikan dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai ahli perwakilan dari peringkat akar umbi ke dewan perdebatan pada besok hari…Insya Allah.

Sungguhpun begitu, gambaran perwakilan ini bukanlah isyarat untuk kita berpuas hati, tetapi ia adalah isyarat untuk kita bekerja lebih kuat mengemaskan lagi persiapan organisasi terutama dalam penubuhan dan pemilihan Majlis Eksekutif Ranting yang mantap.
Seluruh ahli di semua peringkat ranting mesti berusaha menguasai pelbagai bidang atau kegiatan berstrategik demi memupuk hubungan harmoni yang kompak dengan segenap lapisan masyarakat terutama puak etnik di semua daerah disamping berperanan menjadi rakan strategik kepada Majlis Perundingan Kampong atau Majlis Perundingan Mukim.

Semoga usaha ini akan mewujudkan masyarakat penyayang, bersaudara bersikap baik sangka dan berkerjasama antara budaya yang menguntungkan semua pihak. Kestabilan kesejahteraan dan keamanan negara juga terjaga.

Kita hendaklah menjadi tauladan kepada orang lain tentang semangat persaudaraan dan perpaduan nasional.

Kita pelihara kekayaan budaya sosial kita yang menjadi kebanggaan kita iaitu budaya gotong royong, sopan santun, saling tolong menolong.

Saudara saudari yang di hormati sekalian,

Berjinak-jinak dengan aktibiti politik boleh membentuk rakyat yang berwawasan dan melahirkan pemimpin lebih dinamik, amanah, berwibawa yang boleh menyumbang kearah memelihara kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Ini lah yang dituntut kepada pemimpin hari ini dalam usaha memperkasa bangsa dan negara serta menanai kedaulatan bangsa dan negara.

Tujuan akhir dalam sesebuah negara ialah untuk melihat rakyatnya yang sejahtera dan negara yang makmur.

Untuk itu kita perlu ada kepimpinan yang aktif amanah berpendidikan dan takut kepada azab Tuhan.

Kita tidak rela menerima pemimpin yang bersikap pasif dan yang tidak mampu menangani perubahan yang berlaku di sekitar kita. Kerana ini akan membuat bangsa terkorban menjadi golongan tercicir dari arus perubahan sama ada di arena  tempatan mahupun di arena global.

 

Pemimpin seperti ini bakal mengukir sejarah bangsa yang rugi, kerana kaku rabun dan lemah.

 

Kes saperti ini membuat bangsa itu tidak dapat melihat dengan objektif dan factual malahan akan melihat semuanya gelap sehingga bangsa itu tidak sedar kehormatan bangsanya sudah tunduk berhadapan dengan cabaran serangan politik bangsa asing atau kuasa negara lain.

 

Pemimpin ini membiarkan kita di perintah sama ada dalam bentuk suruhan atau tegahan agar pengelolaan urusan negara lemah dan tidak diteliti dalam strategi yang menguntungkan bangsa dan negara.
.

Kepimpinan yang lemah tidak senang dengan perubahan dan membairkan sahaja bangsa hanyut yang tidak terarah di bawa arus perubahan.

 

Kita tidak rela melihat kepimpinan yang seperti ini dan biarlah kita yang menjadi agent pada perubahan itu saperti generasi pertama Islam di Madinah yang berjaya merubah segalanya dari kegelapan Jahilliyah kepada cahaya Islam yang gemilang.

Saudara saudari yang di hormati sekalian,

Kita harus jujur kepada rakyat.  Kita harus peka dengan kegelisahan masyarakat hari ini.

 

Sebutlah jumlah orang miskin, masaalah perumahan, keadaan belia muda yang tercicir kerana gagal menduduki pendidikan menengah di perengkat awal  lagi, masaalah sosial, pengangguran, penyalah gunaan dadah dan banyak lagi.

 

Masaalah tersebut terus meningkat dan melilit bangsa ketika ini dan belum dapat dikurangkan.

 

Apakah perkara ini kita biarkan begitu saja?

 

Kita bangsa yang selalu mengklaim diri kita yang memiliki kehormatan, sejarah bangsa yang besar dan kaya dengan adat resam tetapi janganlah kebanggaan ini memuatkan kita buta sehingga mengabaikan  kerisauan yang tersebut tadi.

Saudara saudari yang di hormati sekalian,

Kita berharap mudah mudahan NDP melalui persidangan kongres perwakilan ini akan berhasil mengungkap dan meneliti masalah-masaalah tersebut.  

 

Beberapa resolusi yang positif akan dapat dirumuskan secara rasional dan terperinci untuk dipanjangkan Insya Allah kepada pihak yang berwajib sebagai sumbangan NDP mambangun dan membantu menegakan aspirasi bangsa dan negara.

Saudara saudari yang di hormati sekalian,

Di sebut saja berpolitik atau peka dengan perkembangan politik semasa tanahair, ia bukanlah laluan mudah bagi rakyat di negara kita hari ini.

Kita menghadapi  kenyataan yang kita terpaksa berdepan dengan rintangan dan cabaran.

Ada saja kumpulan tertentu misalnya melalui pesanan ‘SMS’ yang senghaja berusaha mengelirukan rakyat tentang perjuangan kita sehingga menghalang atau menyusahkan sabilangan rakyat untuk menyertai atau menyokong perjuangan kita.

Mereka ini lah perosak yang meletakkan harga diri bangsa ketahap rendah.

Dan inilah pengaruh sindrom penjajah yang lama tertanam menjajah dikalangan intelek ketika kita merdeka ini.

Oleh karena itu atas kepentingan survival bangsa, kita tidak ada pilihan lain kecuali membangunkan bangsa melalui sebuah pergerakkan politik yang berbudaya tinggi dan berani.

Saya petik ayat suci Al Quran Ayat 42 Surah Ibrahim yang berbunyi,

 

“Wala tah sabannallah ha ghafilan a’ma ya’ maluz dzaa limun”

 Maksudnya:

 

 “ Dan janganlah sekali kali kamu mengira bahawa Allah lalai dari apa yang di perbuat oleh orang-orang zalim”

 

Pada hemat saya dalam konteks yang kita hadapi hari ini, ayat tersebut sesuailah menjadi peringatan kita dan untuk mereka yang zalim yang ingin melemahkan perjuangan murni kita dalam mempertahankan aspirasi dan konsep Negara  Melayu Islam Beraja disamping upaya mereka yang ingin menggagalkan kita dari melaksanakan ikrar visi, misi dan objektif kita yang di tuang dalam perlembagaan NDP.

 

Jesteru itu janganlah kita melangkah ke belakang lagi dalam menatap masa depan bangsa kita ini. Kita mempunyai tanggungjawab yang berat untuk membangun bangsa dan negara, meneruskan perjuangan untuk mencapai cita-cita luhur, ia itu, mempertahankan keadilan dan kesejahteraan serta kemakmuran negeri yang kita cintai ini.

 

Sebagai pewaris dan penerus perjuangan suatu bangsa mencapai cita-cita luhur, keadilan dan kemakmuran suatu bangsa, maka wajar kita membekalkan  diri dengan kesegaran kepimpinan, berdaya kreatif yang tinggi, berjiwa patriotisma, berkeperibadian yang teguh, berbudi pekerti yang luhur, jujur lagi amanah dan membuang jauh kepentingan peribadi.

Saudara saudari yang di hormati sekalian,

Kuncinya hanya terletak pada pemimpin dan kepemimpinan politik yang tepat. Pemimpin kita harus menguasai daya fikir yang kuat, tegas dan konsisten.

 

Jika itu dimiliki maka kita akan berjaya mempertahankan kedaulatan bangsa yang bermartabat dan berupaya membangun karakter bangsa secara lebih professional.

 

Bangsa yang bermartabat adalah bangsa yang disegani atau dihargai.  Dan standard bangsa dicerminkan  dari kepimpinan politik sesabuah negara.

Saudara saudari yang di hormati sekalian,

Harapan saya semoga, Kongres Agung Kali Ke-2 ini akan berjalan dengan lancar dan teratur mengikut lunas-lunas peraturan dan pantang larang yang ditentukan.

 

Saya juga penuh percaya dan yakin dengan kewibawaan dan kebijaksanaan kekanda  Pemangku Pengerusi Tetap akan memimpin nafas kongres agung ini dengan segar bertenaga dan berjaya lagi produktif.

 

Mudah-mudahan perwakilan kongres ini juga akan berhasil merumuskan perbahasan yang positif, berilmiah dan bermutu tinggi disamping membahas kan ucapan dasar presiden yang bakal kita dengar sebentar lagi.

 

Akhirnya pada kesempatan ini, saya dengan penuh rasa ikhlas sukacita mengucapkan dan merakamkan setinggi tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam mengungkayah dan melaksanakan Kongres Agung Ke-2 ini sama ada ia berupa tenaga, fikiran, dan material hingga kita mencapai matlamat yang kita rancangkan.

 

Semoga penat lelah dan khidmat bakti abiskita itu diterima sebagai amal yang berkebajikan. Amin

Semoga majlis ini di berkati Allah s.w.t dan mendapat syafaat Baginda Rasullullah  s.a.w. Amin.

Selamat bersidang

Sekian

 

وباالله التوفيق والهدايه

Wal redha wal barakah

 

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Hj Aminorashid Hj Ghazali

24hb Jun 2007