USUL DAN ISU YANG DIANGKAT KE KONGRES KEDUA NDP

 
 
Kongres Kedua Parti Pembangunan Bangsa (NDP) berlangsung pada 23 dan 24 Jun 2007 baru lalu. Kongres ini juga merupakan kongres perwakilan pertama NDP.

Pada Kongres Pertama NDP tahun lalu sebanyak lima usul telah diangkat untuk dibahaskan dan disahkan oleh kongres iaitu, usul menjunjung kasih kehadapan KDYMM kerana perkenan meluluskan pendaftaran Parti Pembangunan Bangsa, usul berkaitan kemiskinan, perumahan, sumber tenaga manusia dan keselamatan permakanan atau “food security”. Sementara lebih 30 lagi usul diluluskan tanpa bahas.

Pada Kongres Kedua ini sebanyak lima usul juga telah diterima sebulat suara oleh Kongres setelah dibahaskan iaitu, usul mengenai isu kemiskinan, perumahan, pembangunan SME, sokongan kepada semangat surat pekeliling JPM 14/1985 dan usul menaik taraf Pekan Bangar kepada Bandar Bangar.

Sementara itu lebih 50 usul tanpa bahas telah diterima dan disahkan oleh Kongres Kedua NDP termasuk tiga “usul khas”, yang akan diteliti lagi oleh Jawatankuasa Usul sebelum ianya dipanjangkan ke pihak-pihak yang berkenaan, iaitu isu-isu bersangkutan pertindihan persempadanan negara dan kehadiran tentera-tentera asing di Negara Brunei.

Usul-Usul Yang Di Bahaskan:

Usul Pertama yang dibahaskan itu ialah yang berkaitan isu kemiskinan.

Isu yang dibangkitkan ini turut merujuk usul mengenai kemiskinan yang diluluskan oleh Kongres Agung Pertama pada 29 –30 April 2006 yang menyeru pihak-pihak berkenaan supaya melancarkan pelan pembangunan raksasa meliputi jangka pendek dan jangka panjang yang boleh mewujudkan peluang peningkatan pendapatan rakyat dan sekali gus membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.

Kesinambungan usul mengenai Kongres Pertama itu, isu kemiskinan ini sekali lagi mewarnai Kongres kedua di mana para perwakilan telah sebulat suara mengambil persetujuan dan ketetapan meminta pihak berkenaan mengklasifikasikan kemiskinan sebagai isu nasional dan menggesa pihak-pihak berkenaan membuat satu kajian yang komprehensif dan seterusnya mengambil langkah-langkah strategik dan proaktif bagi membasminya.

Usul Kedua ialah mengenai isu perumahan rakyat.

Kongres Kedua ini juga turut merujuk usul Kongres Pertama yang menyeru supaya Jabatan Kemajuan Perumahan merangka pelan jangka panjang perumahan rakyat mengikut konsep perumahan keluarga Islam bagi memungkinkan setiap keluarga memiliki rumah sendiri yang selesa disamping pembinaannya perlu disegerakan.

Kongres Agung Kedua sekali lagi mengambil persetujuan mengenai isu berkaitan dengan mencadangkan kepada pihak berkenaan supaya menubuhkan sebuah Syarikat Perumahan Negara bagi mempercepat penghasilan perumahan untuk dijual kepada rakyat dan sementara itu Jabatan Kemajuan Perumahan pula dipertanggungjawabkan mengendalikan urusan penghasilan perumahan rakyat jati.

Usul ketiga ialah mengenai isu pembangunan Peniaga Kecil dan Sederhana (Small Medium Entreprenur - SME) yang diperhatikan seperti terabai tanpa bimbingan secukupnya dan suntikan modal yang terjurus.

Pihak-pihak berkenaan diseru agar menunjukkan kesungguhan untuk memajukan SME sebagai tunjang pembangunan industri negara.

Menyedari hakikat itu, Kongres Agung Kedua NDP telah mengambil persetujuan dan ketetapan mendesak kerajaan supaya memberi perhatian khas kepada pembangunan SME.

Usul keempat ialah mengenai sokongan NDP kepada surat keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 14/1985 yang membawa semangat bahawa kakitangan kerajaan sebagai anggota perkhidmatan awam, hendaklah sentiasa dilihat dan bertindak tanduk dengan telus, adil dan saksama tanpa sebarang kecenderungan atau ‘bias’ demi integriti dan mengekalkan ‘impartiality’ perkhidmatan awam.

Namun demikian, Kongres Agung Kedua NDP kesal bahawa tujuan murni surat keliling tersebut telah disalah erti oleh pelbagai pihak termasuk sektor swasta.

NDP sebagai sebuah organisasi politik yang sah di sisi undang-undang, merasa bahang dari salah tafsiran tersebut.

Terdapat aduan-aduan dari kalangan ahli-ahli NDP yang mereka dinafikan hak mereka untuk berpatisipasi di dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan secara lebih aktif umpamanya melalui Majlis Perundingan Mukim / Kampung serta mendapatkan kemudahan-kemudahan tertentu semata-mata kerana mereka menjadi ahli parti politik.

Justeru itu, usul keempat yang dibahaskan itu mengambil persetujuan dan ketetapan, selaras dengan konsep ‘Al Adli Wal Ihsan’ seperti amalan KDYMM menyeru semua pihak supaya mentafsir dan melaksanakan pekeliling no 14/1985 itu mengikut semangat dan kemurnian sebenar pekeliling tersebut dikeluarkan.

Pekeliling tersebut tidak wajar dijadikan sebagai alasan dan perisai untuk berlaku tidak adil kepada mana-mana pihak disebabkan perbezaan fahaman dan politik. Ini dikhuatiri boleh menjejaskan integriti dan kewibawaan pihak kerajaan dikacamata orang awam.

Usul kelima yang dibahaskan menyentuh mengenai cadangan menaikkan taraf Pekan Bangar kepada Bandar Bangar selari dengan status pembangunan daerah dan bagi mengembang majukan daerah Temburong setara dengan pembangunan di daerah lain.

Usul ini adalah selaras dengan wawasan Manifesto NDP 2006 – 2016 agar Daerah Temburong menjadi Lembah Ilmu dengan menjadikan Pekan Bangar sebagai Kota Kampus atau Kota Ilmu.

Kongres Agung Kedua NDP menyedari bahawa Pekan Bangar adalah laluan transit pengunjung-pengunjung dari Utara Sarawak iaitu Miri, Brunei dan Limbang yang akan ke Negeri Sabah.

Begitu juga pengunjung-pengunjung dari Negeri Sabah dan Lawas yang akan ke Limbang, Brunei atau Miri.

Justeru dicadangkan kepada Kerajaan Kebawah DYMM kiranya dapat mempertimbangkan untuk menaik taraf Pekan Bangar kepada Bandar Bangar justeru membangunkan pekan ini dengan lebih pesat lagi.

USUL-USUL TANPA BAHAS

Oleh kerana struktur organisasi NDP di peringkat daerah belum berfungsi seperti sepatutnya, maka usul-usul tanpa bahas dan isu-isu yang diangkat oleh NDP peringkat daerah sekali lagi terpaksa dibawa ke Kongres Agung Tahunan Kedua ini untuk pemerhatian dan kelulusan Kongres.

Insyaallah, apabila penstrukturan Badan Perhubungan NDP di semua daerah yang sedang disusun dapat dilaksanakan, maka usul-usul dan isu-isu local dimasa-masa akan datang hanya akan diangkat dan diluluskan diperingkat Perhubungan Daerah, sementara hanya usul-usul dan isu-isu bersifat nasional akan diangkat untuk dibahas dan diluluskan di peringkat Kongres Agung Tahunan.

Usul- Usul Tanpa Bahas Daerah Brunei dan Muara

Pada Kongres Agung Tahunan Kedua ini, lebih lima puloh usul dan isu-isu telah diangkat ke Kongres Agung oleh ahli-ahli di keempat-empat daerah, Brunei Muara, Belait, Tutong dan Temburong.

Diantara usul-usul dan isu-isu yang diketengahkan oleh NDP Brunei Muara termasuklah permohonan supaya pencen pesara dalam bahagian IV ke bawah sebelum 1993 persaraan yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam dikira dengan % kenaikan tangga gaji setara dengan gaji sebelum bersara atas sebab kos sara hidup yang tinggi.

Di samping itu dicadangkan supaya umur persaraan wajib dinaikkan kepada 60 daripada 55 tahun dan umur penerima elaun warga tua diturunkan dari 60 tahun kepada 56 tahun.

Dicadangkan juga agar permohonan bagi penganugerahan geran tanah kekal bagi tapak rumah kediaman selepas tempoh pajakan tamat dipertimbangkan oleh pihak berkenaan.

Cadangan pemasangan batu-batu sempadan yang kekal di setiap lot tapak tanah yang diluluskan oleh pihak berkenaan termasuk dirumah-rumah perpindahan kerajaan.

Terdapat juga cadangan supaya pihak kerajaan mengkaji semula tatacara permohonan, penilaian dan pemilihan bakal penghuni perumahan supaya lebih mudah, cepat dan terkawal serta adil.

Pihak kerajaan disaran menyusun Pelan Induk Pembangunan yang melibatkan jalan raya, kawasan perumahan secara kesepaduan rancangan NDP Brunei Muara juga mengusulkan agar pihak berkenaan menimbangkan kadar premium yang lebih rendah bagi pembaharuan geran tanah pajakan, kerana kadar yang dikenakan sekarang bagi tujuan tersebut dianggap terlalu tinggi dan sesetengah pemohon tidak termampu untuk melunaskannya.

Cadangan supaya pihak kerajaan menyediakan grant kewangan khas yang mudah tanpa cagaran untuk memacu dan menjana pembangunan serta penyertaan rakyat tempatan dalam urus niaga usahawan kecil dan industri kotej.

Di cadangkan juga supaya pihak Bank tempatan mengadakan kadar susut baki pinjaman yang melebihi tiga tahun tempoh pinjaman.

NDP Brunei Muara juga mencadangkan agar pihak Kementerian Pendidikan menghidupkan semula kegiatan Ko-Kurikular dibidang kemahiran alat muzik, pasukan band dan kebudayaan di sekolah, maktab dan Institusi Pengajian Tinggi.

Mengenai isu belia, dicadangkan agar pihak-pihak berkenaan termasuk swasta menyediakan kemudahan-kemudahan perlu dan gaji yang bersesuaian untuk belia-belia tempatan bagi merangsang penyertaan belia dan wanita tempatan dalam sektor perkhidmatan yang mana pada masa ini dikuasai alih oleh orang asing.

Kaedah pencalunan dan pemilihan Ketua Kampung dan Penghulu dicadangkan agar diperbaiki lagi bagi menceminkan kewibawaan atau intergeriti sebenar institusi berkenaan.

Diusulkan juga agar pihak berkenaan mencari kawasan baru bagi tapak pelupusan sampah di Sg. Akar kerana kawasan tersebut dilihat tidak lagi sesuai.

Disamping itu, pihak berkenaan juga disaran agara mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah anjing- anjing liar yang berkeliaran sebagai sebahagian program mencegah penyakit berkaitan haiwan tersebut.

NDP Brunei Muara mencadangkan pihak berkenaan mengambil langkah segera menukarkan nama Panggong Hassanal Bolkiah dengan nama baru yang lebih sesuai.

Di usulkan juga agar institusi yang bertanggung jawab mengenai kawalan harga diwujudkan bagi tujuan kawalan harga barangan perlu seperti barangan segar tempatan, barangan import makanan asas, bahan industri dan binaan bagi tujuan membasmi kegiatan kurang sihat urusniaga, pemborongan dan pembinaan projek kerajaan yang boleh merugikan bukan hanya peniaga dan pengusaha tempatan tetapi juga pihak kerajaan.

Satu kajian komprehensif perlu dibuat segera bagi menilai jumlah kebankrapan / muflis yang melibatkan pinjaman dari bank-bank tempatan terutamanya yang melibatkan warga muda dan merangka strategi bagi mengurangkan fenomena tidak sihat itu.

Isu penguasaan projek pertanian di kawasan pertanian Betumpu, dan di lain-lain kawasan meliputi pengeluaran, pengurusan, pemasaran dan borong sayur mayor dikuasai oleh orang asing memerlukan kajian segera oleh pihak berkenaan kerana keadaan ini tidak menepati hasrat Kebawah DYMM seperti dalam titah Baginda Hari Keputeraan Baginda sempena Keputeraan Baginda ke 60 tahun lalu yang menegur bagai mana sayur mayor masih boleh diimpot.

Semangat titah baginda tersebut mungkin tidak hanya bermaksud Negara mengurangkan impot sayur mayor itu tetapi ianya mestilah diusahakan sepenuhnya oleh petani dan peniaga-peniaga tempatan supaya tukaran mata wang dapat dikawal sebaiknya.

Terdapat juga cadangan supaya pihak berkenaan mengadakan Klinik Kesihatan 24 jam dikawasan-kawasan tertentu mengikut kepadatan penduduk.

Usul membaik-pulih kewibawaan Kampong Ayer sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi kotej dan pelancungan.

Usul supaya diadakan kajian potensi diri (modal insan) yang terperinci bagi penduduk dan warga yang tiada kemahiran seperti ibu tunggal, anak yatim, belia dan warga tua yang menganggur dan menyusun program kemahiran bersesuaian kepada mereka bagi membolehkan mereka berdikari.

Program sedemikian hendaklah mengambil kira tanggungjawab untuk menyediakan modal secukupnya, menyediakan mekanisma pemasaran dan mentor berterusan bagi menjamin kejayaan program berkenaan.

Usul- Usul Tanpa Bahas Daerah Belait


Usul-Usul dan isu-isu tanpa bahas yang diangkat oleh NDP Belait termasuklah isu hakisan laut dari pantai Danau, Kuala Sungai Tutong dan Pantai Penanjung Tutong yang perlu diberi perhatian segera oleh pihak-pihak berkenaan.

Cadangan pemeliharaan dan pemangkasan pokok di sepanjang tepi jalan utama Sungai Liang ke Jalan Labi, cadangan penyelarasan elaun penuntut menengah 1 hingga 6 yang menerima dermasiswa kenderaan dan asrama bagi penduduk di luar bandar.

Cadangan memasukkan perkataan bangsa dan puak dalam kad pengenalan.

Usul juga diterima untuk memanjangkan permohonan menaikkan taraf jalan Long Mayan ke Merangking dan Bang Ligi.

Seperti usul yang diangkat oleh NDP Brunei Muara, NDP Belait juga mencadangkan agar pihak-pihak berkenaan lebih aggresif menganjurkan program-program latihan kemahiran dan berbagai jenis perkhidmatan kepada mereka yang menganggur dan seterusnya membimbing mereka hingga boleh berdikari.

Dicadangan juga supaya pihak berkenaan mengkaji kemungkinan membuat peraturan dan tatacara yang membolehkan tuan punya premis yang disewa oleh orang asing untuk tujuan perniagaan dan perusahaan dapat menyertainya secara aktif bukan hanya sebagai pekerja tetapi juga turut memegang sebahagian sahamnya.

Melalui pendekatan ini diharapkan akan berlaku pemindahan kemahiran, ilmu pengurusan dan teknologi kepada warga tempatan.

Cadangan supaya dipermudah temu duga dan ujian bertulis bagi jawatan IV ke bawah, dan terdapat juga cadangan bebas TOL jambatan Rasau. Ada juga usul-usul supaya diadakan pemasangan saluran paip gas ke rumah-rumah dan pili bomba dikawasan-kawasan tertentu.

Terdapat juga cadangan mengenai isu pengecualian cukai pintu di kawasan perpindahan perumahan.

Terdapat juga usul mengenai memperbaiki kebajikan ibu-ibu tunggal di Daerah Belait melalui bantuan tambahan selain menyediakan program-program kemahiran dan galakkan perusahaan kecil-kecilan bagi membolehkan mereka akhirnya boleh berdikiri.

Cadangan supaya dipasang lampu jalan dari Sungai Liang hingga ke Sungai Tujuh dan Seria bypass.

Terdapat juga usul mengenai isu penyeggaraan melibatkan keselamatan, kebersihan dan pemeliharaan taman-taman rekreasi.

Usul rayuan kepada Kementerian Pendidikan dan Hal Ehwal Agama supaya meneliti semula program menyediakan minuman pagi dan minum petang kepada pelajar-pelajar.

Usul supaya Bangunan flat dan berek yang terbiar kosong di daerah Belait dimunafaatkan sepenuhnya bagi kegunaan mereka yang memerlukannya. Dismaping itu berek-berek yang sedia ada hendaklah dibaik pulih dan disenggara secara tetap bagi mencegah sebarang kemusibahan.

Terdapat juga cadangan supaya pihak berkenaan menyediakan rumah persinggahan dan kelonggaran bagi pekerja Syarikat Brunei Gas Carrier yang kematian ahli keluarga.

Usul- Usul Tanpa Bahas Daerah Tutong

Di antara usul-usul yang diketengahkan oleh NDP Tutong termasuklah isu banjir di jalan-jalan Kg Layong dan Sungai Damit – Pemadang dan kawasan-kawasan rendah dilembah Ukong.

NDP Tutong juga menggesaan institusi-institusi kewangan supaya menyediakan tabung pinjaman mudah pertanian sehingga $5000.

Mengenai projek penanaman padi bagi pesara perajurit NDP Tutong mencadangkan supaya galakkan seperti itu dilaratkan juga kepada lain-lain persara dari perkhidmatan kerajaan dan swasta dengan pemembukaan lebih luas lagi kawasan-kawasan paya seperti di kawasan Lubuk Pulau, Wasan Bebuluh dan Perdayan-Lekiun dan lain-lain kawasan yang bersesuaian bagi membolehkan ramai lagi penyertaan mereka yang berkaan itu.

Cadangan-cadangan lain melibatkan isu pembuangan sampah di peringkat Kampung dan mukim yang perlu dibaiki.

Isu alam sekitar yang melibatkan seluruh Negara juga diangkat oleh NDP Tutong.

Terdapat juga cadangan supaya pihak berkenaan menyediakan tempat ‘barbecue’ di Pantai Seri Kenangan Tutong, cadangan untuk membina grandstand di Kompleks Sukan di Bukit Bendera.

Selain dari itu, juga disarankan juga kepada pihak-pihak berkenaan supaya membina sebuah dataran awam dan taman rekreasi di Bukit Bendera.

Satu lagi cadangan ialah mengenai pemasangan papan tanda bagi kawasan perkuburan bagi orang Tiong Hua di daerah Tutong.

Selain itu ada juga cadangan supaya pihak-pihak berkenaan membaik pulih bahu jalan di jalan-jalan di bandar Tutong dan memasang papan-panan tanda jalan yang jelas dan lengkap disimpang-simpang jalan.

NDP Tutong juga menimbulkan isu pembinaan sekolah rendah terbengkalai di kampung Bukit.

Mereka ingin tahu sebab-sebab berlaku kelewatan menuiapkan sekolah berkenaan.

Usul- Usul Tanpa Bahas Daerah Temburong

NDP Temburung pula menimbulkan isu supaya pihak berkenaan membuat kajian mengenai kurangnya % penglibatan dan penyertaan etnik-etnik minoriti Melayu dalam kegiatan perekonomian dan mencadangkan supaya mengatasinya agar pembahagian kek ekonomi itu dinikmati oleh semua yang berhak.

Keterbukaan dan Kematangan Usul-usul dan isu-isu yang dibahaskan dan tidak dibahaskan akan diteliti dan di usai lagi oleh Jawatan Kuasa Usul sebelum ianya dipanjangkan dan dikongsikan kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk pemerhatian dan tindakan mereka.

Sebaliknya, NDP akan mengongsikan pula dengan ahli-ahlinya dan orang awam akan sebarang maklum balas yang diperolehi dari agensi-agensi berkaan.

Nasihat ROS agar Kongres tidak menyentuh persoalan-persoalan sensitif yang boleh menimbulkan salah faham pelbagai pihak khususnya soal etnik dan kaum, isu agama, sejarah PRB dan pertindihan tuntutan wilayah, telah diterima baik dan diamati sepenuhnya oleh para perwakilan.

Malah, sebagai satu langkah proaktif, Dewan Harian sebelum itu telah membuat keputusan supaya hal-hal tersebut juga tidak disentuh sama sekali.

Isu-isu yang dibenarkan ialah yang menyentuh kepentingan umum iaitu kemiskinan, perumahan, SME dan penglibatan rakyat dalam politik. Kepatuhan kepada nasihat ROS dan keputusan parti itu adalah penanda aras keterbukaan dan kematangan para perwakilan demi keharmonian dan keamanan negara.

Insyallah, Jabatan Setiausaha Agung akan memanjangkan semua usul-usul dan isu-isu yang dibangkitkan didalam Kongres Agung Tahunan Kedua NDP itu kepada pihak-pihak berkenaan dan berjanji akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada agensi-agensi tersebut sesuai dengan peranan NDP sebagai rakan strategik kepada Kerajaan Kebawah DYMM.

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.