KESETIAAN DAN PERPADUAN

PEMANGKIN KESELAMATAN NEGARA

                                                                                UCAPAN PERASMIAN TIM. PRESIDEN

  Di Himpunan Tahunan Non-Muslim, Pemuda dan Wanita

8 Jamadil Akhir 1428, Bersamaan 23 Jun 007

BANGUNAN PERSEKUTUAN GURU-GURU MELAYU BRUNEI

                                                                             Bandar Seri Begawan.

 

                                               

BismillahhirraahmanNirrahim,

Assalamualaikum WBR dan salam sejahtera;

 

Yang Dihormati Pengerusi Himpunan,

 

Ketua Hal Ehwal Non Muslim Parti Pembangunan Bangsa dan barisan pimpinannya;

Ketua Himpunan Pemuda Parti Pembangunan Bangsa dan pimpinannya;

Ketua Himpunan Wanita Parti Pembangunan Bangsa dan pimpinannya;

Para perwakilan Kongres Hal Ehwal Non Muslim, Himpunan Pemuda dan Himpunan Wanita; para tetamu, para penyokong parti dan para pemerhati sekalian.

 

SEGALA puji dan puja hanya kepada Allah Semesta Alam. Selawat dan salam kepada junjungan Rasulullah SAW.

 

Kita bersyukur kehadrat Ilahi kerana pagi ini kita dapat berhimpun sekali lagi  bagi melangsungkan Himpunan Tahunan Kedua secara seretntak sayap Non Muslim, Pemuda dan Wanita Parti Pembangunan Bangsa (NDP) selepas kita mengadakan Kongres penubuhannya setahun lalu.

 

Kita bersyukur kerana kita dicipta Allah menjadi makhluk manusia; dan tidak  dijadikan kita makhluk berupa malaikat dan jin yang tidak diberi tanggungjawab mentadbirkan alam; dan tidak juga kita dijadikan makhluk berupa batu, besi, emas, berlian dan petrol.

 

Sebagai mahluk manusia yang telah ditakdirkan Allah menjadi khalifahnya di bumi, manusia dapat pula memanfaatkan segala makhluk yang ada di alam ini untuk memudahan kehidupannya.

 

Kita bersyukur kerana dijadikan penganut Islam kerana dengannya kita dapat mengabdikan kehidupan kita kepada Allah. Islam adalah untuk seluruh ummat manusia dan untuk membawa rahmat kepada seluruh umat manusia tidak kira dari suku bangsa apa, warna kulit dan dari mana datangnya.

 

Sebagai ummat Islam kita mempunyai tanggung jawab agama untuk menjadi pembela kepada ummat yang dipinggirkan dan dizalimi.

 

Kita bersyukur kerana kita menjadi bangsa Melayu Brunei dan menjadi rakyat Negara Brunei Darussalam dan menjadi rakyat yang setia Kepada Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji  Hassanal Bolkiah Mu’izaaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di Pertuan, Ulil Amri dan Mujadid bagi Negara Brunei Darussalam, seorang raja yang adil lagi berihsan.

 

Dan kita juga bersyukur kerana kita ditakdirkan menjadi pelopor pembentukan parti yang kita kasihi ini, iaitu Parti Pembangunan Bangsa (NDP) dan seterusnya kita dijadikan anggota dan pendukung setia parti ini. Saudara dan saudari sekalian adalah di antara orang-orang yang bertuah, kerana menyambut perjuangan suci bagi membela dan menegakkan amar maaruf nahi mungkar.

 

 

Saudara Saudari Sekelian,

 

Saudara/saudari telah mencipta sejarah dalam era modern pasca merdeka. Saudara / saudari telah memulakan gerakan kesedaran bagi membangunkan bangsa dan negara secara serius dari kalangan rakyat jelata dan akar umbi. Saudara saudari juga telah  menyahut segala dasar dan rancangan pembangunan yang dirangka oleh kerajaan Kebawah DYMM dari semasa ke semasa . Sejarah yang kita bentuk itu pastinya akan tersurat dengan tinta emas dalam sejarah kebangkitan Bangsa Melayu Brunei hari muka yang diharapkan tentunya cerah dan gemilang.

 

Kerana kita dijadikan manusia, tidak jin dan tidak malaikat, maka kita diberi tanggungjawab mengabdikan diri kepada Allah dengan membesarkanNya, dan mentadbirkan alam dengan peraturan dan kemudahan nikmat yang disediakanNya. Kita dituntut setia kepadaNya dan mengatur setiap kehidupan, menuju kemajuan, menjana pembangunan dan memakmurkan negara dengan niat untuk menjaga alam milik Allah yang kini kita berada didalamnya.

 

Malaikat tidak diberikan tangngungjawab mengurus pemerintahan, pembangunan, politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya. Kemajuan bumi di mana langitnya kita junjung, terserah kepada kita manusia. Kita yang mengusahakananya dan Allah jualah yang menentukan kejayaannya.

 

Maka atas kesedaran dan tanggungjawab itulah kita membentuk Parti Pembangunan Bangsa bagi menghidupkan keselesaan dan kemakmuran bumi di negara yang kita dijadikan tuan dan rakyatnya iaitu Brunei Darussalam.

 

Kiranya kita dijadikan malaikat dan jin, maka kita terlepas dari peranan memajukan kemakmuran alam yang kita  diami. Dan kalau kita dijadikan makhluk batu, besi, intan dan petrol nescaya kita juga terlepas dari tugas itu tetapi sebaliknya kita menunggu apa yang ditentukan oleh pengurus alam ke atas kita.

 

Kerana kita manusia, bukan batu dan bukan petrol, kita kena bangun dan bergerak. Sebagai manusia, kita mesti bergerak dan merancang menentukan nasib kita. Maju dan kejayaan itu adalah matlamat kehidupan manusia. Jin dan malaikat tidak berupaya merancang dan berikhtiar untuk kemajuan dan kejayaan manusia. Batu, emas dan petrol tidak dapat mengatur kejayaan manusia, sebaliknya manusia yang tahu untuk apa emas, batu dan gas diciptakan. 

 

Himpunan Hal Ehwal Non Muslim, Himpunan Pemuda dan Wanita yang berkongres hari ini mesti menyedari tanggungjawab itu dan justeru itu pembentukan NDP adalah tindakan yang tepat bagi mengisi keperluan manusia di wilayah kita pada masa ini dan masa-masa yang akan datang.

 

Saudara Saudari Sekelian,

 

Islam sudah menjadi agama penduduk di rantau ini sejak lebih 600 tahun.

 

Sekalipun Brunei pernah dijajah, tetapi majoriti  rakyatnya tetap beragama Islam. Bagaimana pun penganut agama Islam, seperti yang diajar oleh agama Islam, tidak boleh menganggu gugat penganut agama lain untuk meneruskan kepercayaan masing-masing dan mengamalkannya.

 

Islam mewajibkan umatnya berdakwah, memperkenalkan agamanya kepada semua manusia, tetapi Islam melarang memaksa orang bukan Islam menjadi Islam. Itu bukan cara Islam. Jika non Muslim terbuka hatinya untuk memeluk agama Islam, maka mereka hendaklah menerimanya secara sukarela, atas pilihan sendiri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Melayu lima enam kurun lalu, bukan kerana dipaksa tetapi mereka tertarik dengan akhlak Islam yang dipamerkan oleh pedagang-pedagang Arab dan India ketika itu.

 

Kerajaan Kebawah DYMM dan rakyat Negara Brunei Darussalam yang beragama  Islam menerima hakikat dan kehendak Allah atas kewujudan masyarakat non Muslim di tengah masyarakat muslim. Suasana demikian telah wujud sejak wujudnya Kesultanan Brunei berkurun-kurun dulu.

 

Malah telah terbukti  rakyat bukan Islam juga  telah menyumbang kepada keutuhan negara dan sebaliknya mereka juga dilayan dan diikriraf sebagai rakyat Kebawah DYMM seperti kelompok yang lain, malah mereka dianugerahkan gelaran-gelaran sebagai ketua masyarakat.

 

Semakin jauh kita mengharungi denai kehidupan ini semakin dekat kita menghampiri apa yang dikatakan kemodenan. Maka semakin kompleks dan mencabarlah kehidupan kita. Justeru ia menuntut kepada sistem pengurusan masyarakat dan negara yang baik. Landasan pengurusan manusia dan hal ehwal negara yang paling baik ialah yang  ditunjukkan oleh Allah SWT iaitu melalui perundingan dan konsesnsus atau “syura”.

 

Betapa kewujudan masyarakat majmuk di tengah sebuah masyarakat bangsa dan negara telah Allah rakamkan dalam Al-Quran 15 abad lalu. Akan ada suku-suku  dan kaum yang berbeza-beza dalam sebuah masyarakat. Dan akan ada juga agama dan budaya yang berbeza dalam masyarakat itu;  baik di peringkat lokal mahu pun global.

Ada masyarakat bukan Islam dalam masyarakat Islam dan ada juga masyarakat Islam menjadi minoriti di tengah masyarakat bukan Islam. Ia adalah tanda kebesaran Allah. Perbezaan ini bukannya menjadi alasan untuk bersengketa, tetapi sebaliknya untuk saling berhubung dan berbaik-baik.

 

Islam telah menggariskan hak-hak yang wajar bagi kaum minoriti dan bukan Islam yang pemerintah dan masyarakat Islam wajib tunaikan.

 

Mereka hendaklah diberi layanan yang sepautnya sebagai rakyat dari segi undang-undang, pendidikan, ekonomi dan lain-lain. Mereka diberi jaminan dan hak untuk menganut dan mengamalkan kepercayaan agama dan kebudayaan masing-masing, hak bersuara dan menyatakan pendapat, rumah ibadatnya dan berhak mendapat perlindungan undang-undang.

 

Saudara Saudari,

Islam meletakkan masyarakat bukan Islam dalam dua kelompok iaitu zimmi dan harbi. Harbi ialah golongan yang membenci, memusuhi dan mengancam agama Islam, umat Islam dan pemerintahan Islam. Ia berpotensi mengkhianati dan mengancam keselamatan. Puak-puak yang melabelkan Islam itu pengganas dan mencerca Rasulullah SAW adalah contoh  Harbi.

 

Manakala zimmi adalah mereka yang bersangka baik, menghormati dan setia kepada peraturan yang terdapat dalam masyarakat, pemerintahan dan agama Islam.

 

Di atas prinsip ini, NDP membuka keanggotaannya kepada rakyat bukan Islam dan memperuntukkan satu sayap khas iaitu Himpunan Hal Ehwal Non Muslim. Ketua Himpunan Non Muslim secara automatis menjadi salah seorang Ahli Majlis Tertinggi dan menikmati kedudukan dan hak yang sama dengan ahli-ahli Muslim yang lain.

 

Sayap ini adalah bagi memastikan anggota bukan Islam mendapat tempat dan kedudukan dalam parti. Anggota Non Muslim juga boleh bersaing secara terbuka bagi mendapat kedudukan dalam parti bersama dengan ahli-ahli yang lainnya dalam arus perdana parti seperti yang dimaktubkan di dalam perlembagaan parti.

 

Anggota Non Muslim boleh menyertai persaingan terbuka dalam Himpunan Pemuda dan Himpunan Wanita.

 

Bagi menjamin kedudukan Non Muslim dan suara mereka didengari, maka Himpunan Hal Ehwal Non Muslim membuka ruang yang seluasnya untuk anggota Non Muslim berperanan dalam parti.

 

Himpunan Hal Ehwal Non Muslim juga boleh menjadi tapak mewujudkan masyarakat zimmi yang menyeluruh di kalangan masyarakat Non Muslim di Negara Brunei Darussalam. Kita beranggapan bahawa masyarakat zimmi tidak mungkin wujud dengan sendirinya tetapi ianya perlu kepada perancangan yang rapi.

 

Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab itu parti berpendapat bahawa usaha bersungguh-sungguh perlu dijalankan oleh seluruh ahli parti bagi mewujudkan sebuah masyarakat zimmi di kalangan seluruh masyarakat Non Muslim.

 

Penyertaan masyarakat bukan Islam beramai-ramai dalam parti adalah pendekatan penting kerana ia dapat mendekatkan mereka kepada masyarakat majoriti dan berinteraksi secara bebas dan  demokratis.

 

Bagi merapatkan lagi hubungan antara masyarakat berbeza agama dan kepercayaan dalam sebuah parti yang mewakili masyarakat terbesar di negara ini, maka sayap Hal Ehwal Non Muslim perlu diperkukuhkan supaya dapat menjadi wadah yang berkesan bagi memupuk rasa baik sangka yang berkekalan di kalangan masyarakat bukan Islam.

 

 

Pendekatan NDP bagi memperkasa status zimmi di kalangan masyarakat Non Muslim, tidak sama sekali membawa maksud meragui kesetiaan rakyat bukan Islam kepada negara dan kepada Kebawah DYMM sebagai Raja dan Ketua Negara.

 

Tidak ada bak sebesar hama melayang pun kita mempersoal kesetiaan tersebut. Kita yakin sebesar dan setinggi mana cinta dan setianya rakyat seluruhnya kepada Raja dan  Negara, maka sebesar dan setinggi itu jugalah kesetiaan dan cinta rakyat bukan Islam kepada Raja dan negara. Apa yang perlu dilakukan ialah  status zimmi itu diperkasakan kerana kedudukan zimmi dengan Islam begitu erat.

 

Kita akan berbuat apa saja bagi memperkasakan kesetiaan dan rasa kasih setiap rakyat kepada Raja dan negara,. Bagi masyarakat bukan Islam yang sudah sedia cintakan negara dan setia kepada Raja,  kewujudannya sebagai masyarakat zimmi dapat meransang kehidupan yang rukun kerana Islam tidak lagi dilihat sebagai halangan. Malah sebaliknya, bukan Islam juga tidak pula melihat Islam sebagai masalah  dan ancaman.

 

Oleh itu Himpunan Hal Ehwal Non Muslim wajar mengambil langkah dan menyusun program menjadikan setiap Non Muslim melayakkan diri sebagai zimmi dan menjadikan Himpunan Hal Ehwal Non Muslim sebagai medan penting memperjuangkan hak-hak yang patut dinikmati oleh masyarakat Non Muslim seperti yang dijamin oleh Syariat Islam dan dalam batas undang-undang dan perlembagaan negara.

 

Saudara Saudari Sekelian,

Dalam menghadapi cabaran kemodenan dan globalisasi, persediaan mantap yang bersifat menyeluruh adalah amat penting. Ini adalah kerana dalam era globalisasi, persoalan yang ditimbulkan bukan sahaja soal survivaliti sebuah negara, tetapi juga survivaliti setiap individu.

 

Selain dari keperluan asas berbentuk tempat tinggal, makan minum dan keselamatan, setiap individu juga berhak untuk mendapat pendidikan, kualiti hidup yang baik dan perlindungan dari sudut undang-undang yang  mempertahankan hak-hak mereka.

Dalam konteks Negara kita yang kecil ini, tanggungjawab pemerintah bukan setakat menjamin survivaliti dan keselesaan individu, tetapi lebih jauh ialah  Negara hendaklah mempunyai perancangan strategik untuk mengarah kesetiaan seluruh rakyat dan penduduk Negara ini  yang setulusnya kepada Raja, Negara dan bangsa.

 

Tanpa penduduk, negara tidak akan wujud. Justeru, aspek “human security” dan perancangan strategik seperti yang disebutkan itu wajar untuk diberikan perhatian oleh semua pihak.

Barangkali kerana menyedari hakikat ini, tidak hairanlah di kebanyakan Negara membangun hari ini dicipta berbagai istilah mengenai pembangunan penduduk. Antaranya modal insan, pembangunan insan dan sebagainya. Istilah-istilah ini dicipta untuk memberi gambaran tentang keperluan meraikan aspek keperluan dan hak individu yang menjadi sebahagian ciri penting konsep ‘human security’ di alaf ke 21 ini.

Dalam konteks Brunei, barangkali inilah yang perlu ditekankan. Selain dari sistem pertahanan tradisi yang baik, pembangunan ekonomi yang mapan, isu-isu berkaitan dengan keperluan masyarakat juga perlu ditangani dengan cekap dan bijaksana. Ianya bukan sahaja menjadi sebahagian daripada  keperluan dan hak masyarakat di Brunei tetapi ia juga adalah resipi utama ke arah perpaduan nasional.

 

Perpaduan nasional itu adalah sebaik-baik sistem pertahanan, dan sistem pertahanan yang berkesan ialah sistem yang boleh menjamin survival paksi-paksi negara bangsa iaitu rakyat, wilayah, kedaulatan dan kerajaan.

 

Negara dan bangsa yang cemerlang berhajat kepada masyarakat yang kuat untuk mempertahankan diri dan negara dari pengkhianatan dan pencerobohan. Kekuatan pertahanan dan masyarakat yang berjiwa besar dan mempunyai jati diri yang kuat akan menjamin kestabilan, keamanan dan keselamatan negara yang membolehkan proses pembangunan dilakukan secara berterusan.

 

Saudara Saudari Sekelian,

Kita bersyukur kerana ditakdirkan menjadi penduduk dan rakyat Negara Brunei Darussalam.  Di negara ini saja rakyat yang berdarah  Melayu dikenali dengan Bangsa Melayu.

 

Rumpun bangsa Melayu itu sesungguhnya  tersebar luas di seluruh pelosok Nusantara yang meliputi kawasan lebih luas dari benua Eropah dan meliputi sekitar 300 juta jiwa. Tetapi yang dimeteraikan di dalam perlembagaan sebagai Bangsa Melayu hanya yang menjadi   rakyat Brunei Darussalam ini saja.

 

Rumpun Melayu itu telah wujud lebih dari seribu tahun dan menjadi satu dari  rumpun bangsa yang besar di dunia. Sejarahnya amat gemilang. Ia kaya dengan kebudayaan yang bernilai, seni dan halus.

 

Bahasa Melayu menjadi satu ‘lingua franca’ yang menyatukan penduduk Asia Tenggara. Tetapi yang ada pada hari ini dan mengaku Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negaranya hanya di Brunei Darussalam.

 

Kita berbangga dan seluruh rakyat rasa bertuah, walau pun saiz Brunei Darussalam itu jauh lebih  kecil dari kesultanan Brunei yang ditegakkan sekitar 600 tahun lalu, tetapi Brunei Darussalam yang merdeka ini dapat mengekalkan nama asal bangsa itu sebagai Bangsa Melayu dan mengekalkan nama bahasanya sebagai Bahasa Melayu dan mengekalkan kebudayaannya yang dikenali sebagai kebudayaan Melayu.

 

Keupayaan negara dan bangsa kita mengekalkan nama Melayu yang keramat itu adalah tanda persafahaman dan kesatuan cita-cita antara raja dan rakyat. Biarlah Bangsa Babylon yang agung satu masa dulu  sudah tiada berbaka lagi. Bangsa Qibti yang gagah pada zaman Firaun telah lenyap dari sejarahnya. Akan tetapi bangsa dan Bahasa Melayu masih bertapak kukuh di dalam negara yang kita cintai ini.

 

 Apa jua yang melanda rantau Nunsatara ini, penjajah datang dan pergi silih berganti, tetapi kita – penduduk moden Brunei Darussalam - berupaya mengekalkan cita-cita menjadikan bangsa Melayu sebagai bangsa yang bermaruah dan bersejarah dan bangsa yang terus mengekalkan rajanya selagi ada bulan dan matahari.

 

Kekalnya bangsa Melayu sebagai rupa bangsa Brunai Darussalam,  dan kekalnya Bahasa Melayu sebagai bahasa negara tidak terjadi begitu saja. Tetapi ianya diperjuangkan oleh para pemimpin dan pejuang kemerdekaan yang disokong oleh rakyat segenap lapisan sejak bumi Brunei yang bertuah itu jatuh ke tangan penjajah.

 

Perjuangan membebaskan Brunei dari penjajah tidak pernah putus, bersambung dari semasa ke semasa dan berakhir dengan permsyhoran kemerdekakan yang dilafazkan oleh Kebawah DYMM  Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzadin Waddaulah pada 1hb Januari 1984.

 

Saudara Saudari Sekelian,

Dalam sistem antarabangsa global kini, setiap negara wajib menjaga kepentingan masing-masing bagi menjamin kelangsungan kedaulatan dan kepentingan nasional tercapai.

 

Negara yang gagal bertindak dengan sewajarnya akan berdepan kemungkinan kehilangan kuasa malah mungkin saja akan kehilangan wilayah. Dalam konteks inilah relevannya kewujudan NDP sebagai parti siasah yang berwibawa sebagai pelengkap, yang menutupi apa jua lompongan di dalam sistem penyampaian Negara.

 

Suasana negara hari ini mendesak NDP untuk menjadikan agenda mentransformasi bangsa Melayu Brunei sebagai agenda teratas dalam perjuangan kita. Kita mesti menggerakkan bangsa kita yang  pasif kepada yang proaktif, bangsa yang takut bersaIing kepada berani, yang malas menjadi rajin,  yang lembik menjadi gagah,  yang tidak ingau kepada peka.

 

Pemikiran bangsa Melayu Brunei memerlukan rombakan besar-besaran agar mereka melihat ke hadapan dengan rasa khuatir bahawa hari esok mungkin anak-anak mereka tinggal di polong jembatan atau membawa tempurung meminta sedekah di tanah air sendiri jika hari ini mereka terus lalai dan khayal.

 

Himpunan Hal Ehwal Non Muslim, Himpunan Pemuda dan Himpunan Wanita, mulai sekarang hendaklah merangka rancangan dan program membantu kerajaan mengisi kemerdekaan yang dicapai itu. Biarlah makna kemakmuran dan kesejahteraan itu dikecapi seluruh rakyat hari ini dan sampai bila-bila. Pusatkanlah segala pemikiran dan gerak kerja ke arah itu. 

 

Saudara Saudari Sekelian,

Di bawah falsafah Melayu Islam Beraja, NDP sebagai wadah politik dan wadah dakwah rakyat yang terpenting, dengan iltizam penuh tanggungjawab, mencurah bakti bagi memperkasa bangsa Melayu supaya tegak sebagai bangsa yang berdaulat dan disegani di dunia.

 

Di bawah pemerintahan yang berpandangan jauh ke depan ini, masa depan negara akan menjanjikan pelaksanaan keadilan yang saksama dan berihsan mengikut cita-cita membangunkan Negara Brunei Darussalam ke arah negara Baldatun Thayibantun Wa Rabbun Ghafuur, di dalamnya demokrasi berkembang subur, rancak dan berkesan, sambutan dan penyertaan rakyat jelata yang menyeluruh dalam semua bidang pembangunan, dan pengisian kemerdekaan yang menyeluruh dan lebih bermakna.

 

Kalau gunung itu tinggi dan awan pula lebih tinggi. Maka kesetiaan dan pengabidian parti kita adalah lebih tinggi dari gunung dan awan. Inilah semangat yang mesti  dipikul oleh setiap sayap dalam Parti Pembangunan Bangsa bagi menjamin kelaksanaan dan kelangsungan idealisma  murni ini.

 

 

 

Saudara Saudari Sekelian,

Insyaallah, kita adalah di antara orang yang beruntung kerana kita dipilih menjadi anggota NDP ketika mana NDP dalam keadaan yang lemah. Tuhan Yang Maha Esa telah meletakkan kita menjadi anggota dan aktivis gerakan dakwah dan gerakan politik yang kita cintai ini.

Ramai tokoh bangsa yang tahu politik dan berpolitik, tetapi Allah tidak meletakkan mereka menjadi anggota parti ini. Ramai yang mengaji dan berpelajaran tinggi, tetapi Allah belum mendorongkan mereka menyertai wadah yang kita sertai ini.

 

Bukanlah suatu yang mudah bagi mewujudkan wadah yang kita tatang ini. Cita-cita perjuangan membangun bangsa ini mungkin telah terpendam lama, tetapi membentuk wadah perjuangan seringkali menuntut kesabaran dan masa yang lama.

 

Sesudah kemerdekaan memakan masa lebih 20 tahun, maka baru kita dapat melahirkan satu wadah bagi menyatukan rakyat yang sama-sama berkongsi satu cita-cita. Terlalu banyak rintangan dan halangan bagi mewujudkan organisasi ini. Bukannya mudah membina sebuah keyakinan dan keyakinan itu tidak dapat dibina sekelip mata tanpa pengorbanan.

 

Segala rintangan dan halangan itu adalah ujian dan cabaran yang terpaksa dilalui. Ia menguji tahap kesabaran dan ketahanan para pemimpin yang hendak memulakan perjuangan. Tiada perjuangan yang senang dan mudah. Tiada dinamakan perjuangan bagi sesuatu yang senang. Tiada sebarang ujian atas segala yang senang dan tidak akan dinamakan yang senang itu sebagai perjuangan.

 

Saudara Saudari Sekelian,

Ketika pelopor perjuangan mengasaskan parti yang disayangi ini dua  tahun lalu, tidak terlintas di hati masing-masing untuk membentuk dan menggantikan kerajaan yang ada. Mungkin parti kita inilah satu-satunya parti politik di dunia yang tidak bercita-cita untuk membentuk kerajaan dan mengambil alih kerajaan.

 

Cita-cita kita hanya satu iaitu untuk menyokong dan membantu Kebawah DYMM dan zuriat Baginda dan Kerajaan Baginda memacu negara ke arah Brunei Darussalam yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah SWT.

 

Perlu diingat bahawa parti kita adalah berfungsi serampang dua mata. Sebagai wadah politik dan ianya juga adalah wadah dakwah. Kita tidak  sekadar berpolitik, tetapi kita juga berdakwah.

 

Sasaran dakwah kita ke dalam dan keluar. Sasaran ke dalam adalah terhadap umat Islam seluruhnya bagi mengajak mereka kepada yang maaruf dan mencegah kemungkaran.

 

Sasaran keluar adalah mengongsikan pemikiran dan kemurnian Islam dengan semua orang. Hati orang bukan Islam yang berfikiran Islam adalah lebih dekat dengan orang Islam dibandingkan dengan hati orang Islam yang tidak berfikiran Islam. Dakwah seumpama ini kepada warga bukan Islam  adalah sebagai ikhtiar mewujudkan masyarakat zimmi di kalangan mereka.

 

Harapan parti

Saudara Saudari Sekelian,

Setiap sayap parti khususnya Himpunan Pemuda dan Himpunan Wanita mestilah bersedia menyusun organisasi masing-masing supaya bersiap sedia sebagai jentera parti yang berkesan bagi menjalankan perintah yang diputuskan oleh pimpinan parti bila-bila masa dari semasa ke semasa.

 

Di tangan pemuda dan wanitalah terletaknya harapan mengawal akhlak dan arah tuju generasi muda. Parti menaruh harapan penuh kepada Pemuda bagi memastikan seluruh generasi muda dapat bersama kita supaya negara dapat menuju jalan lurus yang selamat tanpa ada kelompok masyarakat yang tercicir.

 

Parti menaruh harapan besar kepada Wanita supaya masyarakat wanita dapat mengekalkan budaya timur yang seni dan murni. Wanita perlu berperanan supaya kaum wanita dapat bersama kita. Sebagai guru yang pertama kepada anak-anak, mudahlah kita merancang masa depan anak-anak kiranya wanita seluruhnya dapat diajak bersama kita.

 

Ketiga-tiga sayap dalam Kongres ini diamanahkan menggembeleng kesetiaan dan perpaduan anggota parti di  semua peringkat terhadap kepimpinan parti di semua peringkat.

 

Perpadun dan kesetiaan kepada parti yang padu amat penting bagi menjurus parti membawa rakyat melempahkan kesetiaan Kebawah DYMM dan membulatkan perpaduan bangsa. Keutuhan Institusi Kesulatan Brunei Darussalam dan keselamatan negara membawa masa depan yang cerah untuk  rakyat dan parti kita.

 

Kekuatan parti perlu dipupuk, parti perlu dijaga bukannya semudah yang kalian fikirkan untuk menubuhkan NDP ini.

 

Selama 43 tahun Ayahanda Presiden terpaksa melalui proses saringan dengan segala macam tanjakan sebelum sebuah keyakinan dapat dijelmakan. Beliau terpaksa mengutip dan menyambung kembali butir-butir perjuangan yang berciciran, mengubah jambangan perjuangan baru menjunjung titah membangun bangsa melalui NDP.

 

Kini gemala yang bernama “keyakinan” itu telah dijelmakan Allah melalui NDP di bawah pimpinan Ayahanda Presiden. Justeru setelah kita memiliki gemala itu,  ia mesti dipelihara dan sentiasa digilap agar cahayanya tetap gemerlapan. Gemala yang tulen itu akan tetap bersinar berkilau walau di mana jua ia di letakkan. Lagi gelap lagi hebat pancar sinarnya.

 

Mudahan NDP akan dapat terus berkhidmat dan menabur jasa, hingga tiba masanya seluruh bangsa Melayu mendapati parti kita ini diperlukan oleh semua – ia ditagih oleh rakyat, ia ditagih oleh negara, ia ditagih oleh kerajaan dan lebih-lebih lagi ia ditagih oleh bangsa Melayu.

 

Akhirnya saya mengucapkan selamat bersidang. Yang baik itu  dari Allah dan yang lemah adalah dari saya. Dan mari kita sama-sama rasmikan Kongres ini dengan sama-sama membaca surah Al-Fatihah.

 

Sekian

 

Allahhu Akbar! Allahhu Akbar! Allahhu Aklbar!