UCAPAN PERASMIAN HIMPUNAN TAHUNAN

PEMUDA, WANITA DAN NON-MUSLIM

OLEH TIMBALAN PRESIDEN

PARTI PEMBANGUNAN BANGSA

PADA 29HB APRIL 2006 BERSAMAAN 1HB RABBIUULAWAL 1427

Sdra Morshidi, Timbalan Presiden NDP memberikan ucapan di perasmian Perhimpunan Tahunan pertama Himpunan Wanita, Pemuda dan Non Muslim

.

Yang Dikasihi Saudara Pengerusi Majlis,

Naib-Naib Presiden,

Ketua Hal Ehwal Non Muslim dan ahli-ahli Jawatankuasanya

Ketua Himpunan Pemuda dan ahli-ahli Jawatankuasanya,

Ketua Himpunan Wanita dan ahli-ahli Jawatankuasanya,

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,

Saudara Saudari Ahli-Ahli Parti Sekalian

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan seru sekalian ‘alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi dan Rasul kita Muhammad s.a.w., para sahabat dan pendukung perjuangan Islam bagi menegakkan hak dan kebenaran hingga ke akhir zaman.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan pertolongan-Nya, parti kita nampaknya telah berjalan dengan lancar. Hari ini kita sekali lagi berhimpun dan berkumpul di dewan yang indah ini untuk bersama-sama menyemarakkan lagi perjuangan Parti Pembangunan Bangsa ini. Bagi pihak Jawatankuasa Penaja Parti Pembangunan Bangsa, saya rakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas kehadiran saudara saudari sekalian.

Sesungguhnya, kita berhimpun pada hari ini adalah semata-mata untuk menunaikan tuntutan berorganisasi, memperbaharui tekad dan semangat, berkongsi aspirasi dan harapan serta merintis arah dan hala tuju perjuangan dalam wadah parti yang kita dukungi ini.

Sebelum itu, sama-samalah kita mengucapkan tahniah sesama kita kerana berjaya menyempurnakan beberapa events yang besar dan penting dalam parti sebelum ini. Hari ini, sekali lagi kita mengukir sejarah parti sempena himpunan tahunan Pemuda, Wanita dan Non-Muslim NDP yang pertama.

Percayalah, di suatu hari kelak, sumbangan saudara saudari kepada parti pada hari ini pasti akan menjadi cemeti pemacu kekuatan pemimpin pelapis dari kalangan anak-anak generasi mendatang, insya-Allah. Berbanggalah bahawa saudara saudari merupakan pioneers yang merintis ke arah itu.

Kita amat berharap hasil dari tuntutan berorganisasi ini akan membawa perubahan yang baik dalam kehidupan kita, keluarga, masyarakat, bangsa dan seterusnya kepada negara yang kita cintai ini.

PEMUDA HARAPAN BANGSA PEMUDI TIANG NEGARA

Izinkan saya petik kata-kata warisan bangsa yang masyhur bagi menggambarkan kedudukan pemuda dan wanita dalam masyarakat, iaitu “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.” Tidaklah perlu saya huraikan dengan lanjut kerana setiap dari kita saya kira faham dengan maksud kata-kata tersebut.

Apa yang ingin saya sentuh ialah kaitan kata-kata tersebut dengan tamsilan sayap yang sering digunakan bagi menggambarkan barisan pemuda dan wanita dalam sesuatu organisasi.

Apabila kita melihat burung terbang di awan, tinggi, dan sayup-sayup kelihatan, terdetik jua di hati kita: Alangkah bagusnya jika kita juga dapat terbang bebas tinggi di awan bak burung? Dari ketinggian, pandangan bumi nampak begitu indah dan kita bagaikan menguasai alam sejagat. Tingginya burung di awan berlegar bebas adalah kerana kekuatan kedua-dua sayapnya.

Justeru, sesebuah organisasi itu juga mampu kita terbangkan ke suatu tahap yang tinggi jikalau kedua-dua sayapnya, iaitu pemuda dan wanita adalah kuat. Setiap kali burung mengibas sayapnya, setiap kali itu jugalah burung itu melonjak dan menerjah awan. Maka kita pun, dalam berpolitik dan berorganisasi ini, hendaklah begitu juga.

Hendaknya parti kita ini melonjak dan menerjah kesedaran rakyat, mengangkat martabat mereka dan membawa kesedaran baru. Setiap kali pemuda dan wanita bersuara, setiap kali pemuda dan wanita mengorak langkah dan setiap kali pemuda dan wanita bertindak, maka setiap kali itu jugalah sepatutnya prestasi parti melonjak dan terangkat.

Pemuda dan wanita sebagai sayap parti perlulah mempunyai kekuatan; kekuatan untuk mengangkat parti ke persada yang tinggi. Kita tidak mahu sayap pemuda dan wanita lesu dan tidak bermaya.

Saya bukan mengajak saudara-saudari jadi burung, tetapi saya mahu parti ini dapat terbang tinggi seperti burung, gagah dan megah di angkasa dengan kedua sayapnya pemuda dan wanita yang kuat dan hebat. Dengan kekuatan kedua sayap parti ini saya yakin parti kita akan dapat pergi lebih jauh memenuhi aspirasi serta hasrat bersepadu yang murni di antara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah dan rakyat Baginda untuk membangun, menjana kekuatan negara dan sahsiah rakyat.

Kalau begitulah gambarannya, maka tidaklah salah untuk kita amanahkan harapan bangsa kepada pemuda dan kita tegakkan negara dengan tiang pemudinya.

RAKYAT SUDAH BERSEDIA MAINKAN PERANAN POLITIK

Dalam tempoh delapan bulan setelah parti kita didaftarkan, bilangan keahlian hampir mencapai angka 1000 orang. Di sana-sini, khalayak telah menyebut-nyebut keindahan NDP. Dengan mengambil kira hambatan-hambatan yang kita depani dan halangan psikologi dan ketakutan rakyat terhadap politik dan hal-hal kepartian, sudah tentu angka ini adalah suatu pencapaian yang membanggakan.

Saya bangkitkan hal ini bukan untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk kekuatan kita. Tetapi apa yang hendak saya sampaikan ialah: Apakah isyarat dan tafsiran di sebalik sambutan rakyat yang memberangsangkan itu? Pernahkah kita bertanya kepada diri kita: Mengapa rakyat dalam keadaan tidak pernah menunjukkan minat terhadap politik tiba-tiba sahaja berani untuk menyokong dan menjadi ahli NDP?

Tafsiran saya mudah sahaja. Rakyat sebetulnya kini telah menemui sebuah landasan yang pada penilaian mereka akan dapat memberikan peluang dan kaedah yang amat baik untuk berganding bahu menyokong dan membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan mengangkat martabat bangsa dan negara. Mereka menilai sendiri visi, misi dan objektif utama parti, justeru melihat inilah parti yang boleh mereka harapkan, yang boleh memikul amanah bagi memenuhi jangkaan dan harapan mereka. Mereka sebenarnya meletakkan jangkaan dan harapan yang tinggi kepada parti kita.

KEARAH NDP YANG 'ACTION ORIENTED'

Harapan dan jangkaan rakyat yang tinggi tidak mampu untuk kita sekat dan bendung. Sebagai sebuah organisasi politik yang berjuang untuk rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, kita mestilah berusaha untuk membantu mereka bagi mencapai harapan dan jangkaan mereka itu.

Ini tidak boleh dibuat dengan kata-kata, tetapi hendaklah dizahirkan dengan tindakan. Jadinya, kita mesti menjadikan NDP sebagai organisasi yang action oriented , yang berkeupayaan dan berdaya tinggi untuk mengetengahkan segala permasalahan mereka, agar mereka-mereka yang diamanahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka dapat memberikannya perhatian yang sewajarnya, sebagai mana jua yang dinilai dimahukan oleh Baginda.

Kita mesti menjadikan diri kita pada setiap masa sebagai ahli NDP yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan. Kita mesti menjadikan diri kita sebagai ahli NDP yang rajin dan kuat bekerja. Kita mesti menjadikan diri kita sebagai ahli NDP yang pada setiap masa siap siaga untuk turun ke padang berbasah berkering bersama rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Kita mesti menjadikan diri kita sebagai ahli NDP yang pada setiap masa siap siaga berada di barisan hadapan untuk sentiasa bersama Sultan kita yang tercinta. Dan pada setiap saat, ahli NDP hendaklah siap siaga menunggu panggilan ibu pertiwi untuk berada di barisan hadapan mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan Sultan, bangsa dan negara.

NDP MENARUH HARAPAN KEPADA PEMUDA DAN WANITA

Di peringkat parti, kita meletak harapan dan jangkaan yang tinggi kepada pemuda dan wanita. Kita mahu pemuda dan wanita membawa parti ke tahap yang disegani dan disenangi rakyat. Kita mahu pemuda dan wanita NDP tersohor kerana tindakan-tindakan yang berhemah dan bijaksana, bukan sekadar petah berbicara lunak berbahasa.

Ini bermakna pemuda dan wanita perlu memikul dua bebanan serentak, iaitu menanai harapan dan jangkaan pimpinan parti dan dalam pada masa yang sama menanai harapan dan jangkaan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang menggunung. Bagi memenuhi harapan dan jangkaan yang tinggi itu, barisan pemuda dan wanita perlulah berganding bahu dengan saf pimpinan di peringkat pusat. Setiap dari kita mestilah bersedia menjadi team player , bekerja sebagai satu team , dan bertindak sebagai satu team .

Kalau kita kembali kepada tamsilan sayap, kita lihat burung terbang dengan penuh perimbangan justeru kerana kekuatan kedua-dua sayapnya adalah sama. Daya serta rentak kibasannya juga sama. Dalam kata-kata yang ringkas, kedua-dua sayap itu digerakkan dengan penuh bertenaga, harmonis dan concerted .

Jadi pemuda dan wanita juga perlu mengambil iktibar darinya. Kita tidak mahu salah satu sayap yang patah kerana parti kita tidak punyai masa untuk membawa slogan “patah sayap terbang jua”. Kita juga tidak mahu kedua-dua sayap yang patah kerana kita tidak mahu bergerak dengan hanya “bertongkat paruh” sahaja. Mana mungkin kita mampu membawa dan mengetengahkan harapan dan jangkaan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia kalau begitu keadaannya.

PERLU SIKAP PROGRESIF BUKAN REGRESIF

Putaran masa, kemajuan, harapan dan jangkaan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia tidak akan menunggu kita. Tetapi kitalah yang perlu mengejar masa dan kemajuan. Kitalah yang perlu pergi kepada masyarakat untuk menyelami dan menjiwai harapan dan jangkaan mereka dan bukan sebaliknya. Kita hendaklah bersikap progresif, bukannya regresif. Kita perlu kepada pendekatan centrifugal dan bukannya centripetal . Jadi di atas bahu saudara saudarilah terpikul beban untuk mengolah dan menggubah apakah bentuk pendekatan centrifugal yang paling mampan dan efektif.

CAPACITY BUILDING

Apa yang saya sebutkan ini menuntut kepada pembinaan keupayaan atau capacity building . Pemuda dan wanita perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran politik yang terkini, sentiasa meletakkan diri pada suatu titik perimbangan atau equilibrium supaya dapat kita rasai dan menilai harapan dan jangkaan yang diberikan dengan jiwa dan raga kita.

Sebagai agen pembaharuan, kita harus menyingkir pemikiran konservatif yang menghambat kemajuan. Dalam masa yang sama, perlu kita cetuskan pemikiran-pemikiran baru selaras dengan falsafah perjuangan parti. Jadilah kita pemuda dan wanita yang sanggup “berputih tulang dan jangan berputih mata” demi mengejar keredaan Ilahi.

NDP BERI RUANG KEPADA NON MUSLIMS

Sudah banyak yang saya sentuh tentang pemuda dan wanita. Sekarang izinkan saya menyentuh soal Non-Muslim pula.

Mungkin ada orang yang bertanya: Mengapa Parti Pembangunan Bangsa, sebagai sebuah gerakan Islam, memberi tempat kepada golongan Non-Muslim? Jawapan kita ringkas sahaja. Islam itu adil dan keadilan Islam itu adalah sejagat dan untuk semua.

Di dalam Al-Quran terdapat banyak suruhan supaya kita berlaku adil. Antaranya maksud ayat 8, Surah Al-Maidah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak berlaku adil. Hendaklah kamu berlaku adil, kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu kerjakan”.

Islam mengajar penganutnya supaya wajib berlaku adil secara mutlak, tanpa diskriminasi. Ia hendaklah dilaksanakan tanpa mengira agama, kaum, pangkat dan kedudukan.

Sementara dalam surah Al-Hujurat ayat 13, dinyatakan hikmah manusia dicipta berbilang bangsa, iaitu :

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan….”

Dalam konteks kepelbagaian ini, Islam menganjurkan umatnya untuk bertolong-tolongan dalam melakukan kebaikan dan takwa dan kita dilarang tolong-menolong dalam melakukan perkara dosa dan permusuhan. Ini dirakamkan oleh Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 2 :

“Dan tolong menolonglah kamu dalam kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan”

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. menegaskan :

“Barang siapa yang menyakiti orang zimmi, maka akulah lawannya, dan barang siapa yang menjadi aku lawannya nescaya akan aku kalahkan dia di Hari Kiamat kelak”.

Atas dasar tuntutan seperti yang telah saya nyatakan itu, maka lahirlah pendapat fuqaha' yang dengan jelas mewajibkan untuk melindungi keselamatan mereka dan haram menyakiti mereka. Para fuqaha' lalu menentukan kaedah.

“Bagi mereka hak yang sama seperti hak kita dan atas mereka tanggungjawab yang sama seperti tanggungjawab kita”.

Mungkin saudara saudari Non-Muslim tertanya-tanya mengapa saya petik banyak ayat Al-Quran dan Hadis? Ini adalah untuk menjelas dan menegaskan kepada saudara saudari Non-Muslim seluruhnya bahawa pendirian Parti Pembangunan Bangsa menyediakan ruang dan kedudukan kepada Non-Muslim adalah sebahagian daripada tuntutan Islam.

Percayalah, kecintaan NDP kepada Non Muslim adalah didasarkan kerana ia adalah suruhan Agama Islam. Kecintaan NDP kepada kalian yang kami pamerkan ini terbit dari segala ketulusan. Kami bercakap dengan hati nurani kami, kerana kami takut dimurkai Allah semata-mata kerana kami tidak berlaku adil, hanya disebabkan kita berlainan agama, warna kulit atau suku bangsa.

Sebagai gerakan Islam, kami berpegang teguh kepada Al-Quran dan Hadis. Ini demi menegakkan keadilan untuk semua.

Demi keadilan, saudara saudari juga mempunyai tempat dan landasan untuk berbakti kepada negara. Saudara-saudari tidak perlu berasa tersisih, terbuang, terpinggir atau tidak dihiraukan. Kita punya negara yang satu, iaitu Negara Brunei Darussalam. Kita punya Sultan yang satu, hanya satu, iaitu Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah dan pengganti-pengganti Baginda dari zuriat Baginda. Kita punya bahasa yang satu, iaitu Bahasa Melayu. Dan kita punya wadah politik yang satu, iaitu Parti Pembangunan Bangsa.

Saudara saudari adalah aset yang tidak ternilai. Semua ini boleh kita garap dan gemblengkan untuk mewujudkan sebuah gerakan yang benar-benar menjiwai dan dijiwai oleh segenap lapisan masyarakat dalam negara. Dalam hubungan ini, saya berseru kepada saudara saudari Non-Muslim yang hadir pada hari ini supaya meningkatkan usaha untuk mengajak dan memujuk kawan-kawan kita di luar sana supaya beramai-ramai menyertai Parti Pembangunan Bangsa. Katakan kepada mereka: Dalam parti ini mereka dihargai dan dihormati. Katakan pada mereka: Pimpinan NDP tetap cinta kepada semua ahlinya tanpa diskriminasi.

Hak mereka adalah terjamin di bawah keadilan Islam . Sahifah Madinah misalnya memberikan asas yang cukup kuat tentang hak Non-Muslim. Hak mereka sebagai kumpulan minoriti dijamin selagi asas ketaatan terhadap yang baik tidak berubah. Maka peranan kaum Non-Muslim turut mendapat perhatian. Dalam semangat yang sama, hak-hak itu juga telah kita nukilkan di dalam perlembagaan parti.

Mengikut Artikel 10 perlembagaan parti, syarat-syarat keahlian adalah terbuka kepada semua kaum sama ada Melayu atau Bukan Melayu, Muslim atau Non-Muslim. Walaupun dari dasar perjuangan Parti Pembangunan Bangsa adalah harakah Islamiyah, namun hak yang sama disediakan bagi mereka yang Non-Muslim. Tafsiran ini diperkukuhkan dengan Artikel 16 (1) (d) (iv) yang menyediakan tempat untuk Non-Muslim sebagai Ketua Hal Ehwal Non-Muslim yang antara lain bertanggungjawab menyatupadukan rakyat Non-Muslim dan mengajak mereka menganggotai Parti Pembangunan Bangsa seperti yang digariskan dalam Artikel 18 (7) (a). Sementara Artikel 18 (7) (d) memperuntukkan sebuah Jawatankuasa Hal Ehwal Non-Muslim pada peringkat pusat serta melantik keahlian dari kalangan ahli-ahli Non-Muslim dalam Parti Pembangunan Bangsa yang berkelayakan .

Artikel 16 (1) (d) (iv) dan 18 (7) (a) dan 18 (7) (d) yang disebutkan memperlihatkan keterbukaan Parti Pembangunan Bangsa untuk mengiktiraf dan menghargai suara dan dukungan Non-Muslim untuk sama-sama menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.

ILTIZAM YANG KUAT PERLU DALAM PERJUANGAN

Fenomena duniawi yang paling kekal ialah perubahan. Keyakinan untuk memimpin perubahan berputik dari citra perjuangan yang suci. Perubahan adalah umpama aliran alur gunung yang menyegarkan. Airnya jernih dan baunya terbit dari fitrah alam. Tanpa dinamika aliran dan perubahan tempat ia mengalir, alur akan menjadi jumud. Malah ia bukan lagi alur tetapi merupakan satu sumur yang statik serta airnya berbau busuk.

Oleh kerana perubahan juga bercirikan satu gerakan masa dan ruang , maka ia juga boleh dicerminkan atau direfleksikan melalui suatu wadah dan organisasi. Hanya mereka yang bergerak berpaksikan kepada prinsip-prinsip yang hakiki dalam perjuangan sajalah yang mampu bertahan dan seterusnya beriltizam pula untuk terus menangani pelbagai cabaran perjuangan; tidak kira yang wujud di pentas politik mahupun di dalam persada hati. Kegagalan untuk kekal dalam iltizam inilah yang akan mengakibatkan layunya perjuangan seperti mana yang boleh kita amati dari peristiwa-peristiwa dan catatan-catatan sejarah.

Maka, marilah kita mengamalkan cara hidup yang berterusan menuju ke arah kebaikan sehinggakan wujud sifat pembaikan kendiri yang berusaha ke arah menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan seterusnya hari esok lebih baik dari hari ini. Sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud:

“…Aku hanya mahu pembaikan (al Islah) sedaya upayaku, dan tidaklah aku akan beroleh taufik melainkan dengan pertolongan Allah; kepada Allah jualah aku bertawakkal dan kepada-Nya aku kembali”

(Hud : 88)

Amalan harian harus disusun seiring dengan kehendak semasa. Dalam menongkah arus globalisasi ini, kita perlu lebih peka akan keperluan-keperluan untuk memenuhi tuntutan semasa ini. Keperluan utama dan penting ialah ilmu pengetahuan. Sebagai perantaraan antara rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan, setiap dari kita, kakitangan awam mahupun swasta, kaum ibu dan kaum bapa, pemuda dan pemudi, lelaki dan perempuan, adik-adik, abang dan kakak dan semua ahli-ahli NDP, hendaklah menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai amalan harian bagi usaha memastikan parti kita boleh memberikan sumbangan bermakna kepada bangsa dan negara yang tercinta ini, agar bukan sahaja boleh bersaing pada peringkat antarabangsa, tetapi misi kita ialah untuk mengunggulkan Negara Brunei Darussalam yang tercinta ini berada di tengah-tengah masyarakat dunia yang dihormati dan digalati.

Proses pembelajaran tidak bermula hanya ketika memasuki alam persekolahan dan berakhir ketika menerima segulung ijazah. Tetapi tuntutan ini sebenarnya bermula sejak kita di alam rahim ibu lagi sehinggalah ke akhir hayat kita. Para hukama' pernah berkata: “ tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad

POLITIK YANG BERDAKWAH DAN DAKWAH MELALUI POLITIK

Sebagai sebuah parti berstrategi serampang dua mata, iaitu sebuah wadah politik yang berdakwah dan berdakwah melalui parti politik, maka penyertaan pemuda dan wanita amat dialu-alukan untuk berjuang dan berdakwah demi memartabatkan generasi kita pada hari ini dan di hari muka.

Saya menyeru golongan Pemuda, Wanita dan Non-Muslim semua supaya serius memikul tanggungjawab yang berat di hadapan kita dengan penuh semangat untuk berubah dan membawa perubahan. Saya sering kali mengingatkan, jangan sekali-kali kita mengecewakan harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan rakyat Baginda yang telah meletakkan kepercayaan kepada NDP sebagai gandingan strategik di dalam pembangunan bangsa dan negara.

“Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia.”

(Surah Ar Ra'd :11)

Jadikanlah perhimpunan pada hari ini sebagai pertemuan untuk meletakkan perjuangan kita pada jajaran yang betul dan mencungkil pendekatan dan gerak kerja yang berupaya memberi kuasa pacuan yang lebih kepada parti kita untuk memikul komitmen kita menjunjung titah membangun bangsa.

JANGAN CUBA UBAH VISI, MISI DAN OBJEKTIF NDP

Saya memberi peringatan kepada saudara saudari sekalian, jangan ada sebarang percubaan dari mana-mana pihak jua pun yang cuba-cuba untuk merubah, merabak dan mencarik walau sepatah kata pun, apatah lagi sepotong ayat, di dalam visi, misi dan objektif utama Parti Pembangunan Bangsa. Kalau ada yang terniat untuk melakukannya, maaf saya katakan, tidak adalah tempat untuk mereka itu di dalam NDP.

Akhirnya, selamat bersidang, selamat memilih pimpinan yang akan menerajui institusi masing-masing. Kita adalah dalam satu pasukan yang setiap dari kita adalah penting dan mempunyai peranan. Justeru tidak ada istilah kalah atau menang di dalam NDP.

Dan dengan lafaz “Bismillahirrahmanirahim”, saya merasmikan perhimpunan Pemuda, Wanita dan Non-Muslim yang diadakan secara serentak pada pagi yang harmonis ini.

 

Sekian, wabillahi taufik walhidayah assalamuailaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Allah Hu Akbar! Allah Hu Akbar! Allah Hu Akbar!

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.