UCAPAN ALU-ALUAN
PENGERUSI PANITIA KONGRES PERTAMA
PARTI PEMBANGUNAN BANGSA
PADA 30 APRIL 2006
|
P engerusi Tetap NDP, Awang Haji Md Zain Haji Omar |
.
Saudara Pengerusi Majlis,
Presiden Jawatankuasa Penaja,
Timbalan Presiden Jawatankuasa Penaja,
Ahli-ahli Jawatankuasa Penaja,
Dif-Dif Kehormat
Tetamu-Tetamu Jemputan
Saudara Saudari Sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Saya panjatkan syukur ke hadrat Allah s.w.t yang dengan izin dan kurnia-Nya kita diberi kesempatan berada dalam satu majlis yang gilang-gemilang ini.
Bagi pihak Panitia Kongres Pertama Parti Pembangunan Bangsa (NDP), saya dengan penuh takzim mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan sekalian untuk bersama-sama sebagai pelaku atau players dalam satu lagi catatan sejarah yang penting di era pembangunan politik Negara Brunei Darussalam moden seperti yang digagasankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk membawa negara ke arah perubahan politik yang bersesuaian dengan iklim dan calak politik negara sendiri.
Kehadiran saudara saudari sekalian dalam jumlah yang begini ramai adalah isyarat bahawa rakyat negara ini walaupun sudah begitu lama kelihatan seperti tidak berminat dengan hal ehwal politik, namun pada hakikatnya kelahiran NDP ini telah menyingkap minat dan kecenderungan sebenar khalayak bahawa sebilangan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebenarnya masih mempunyai deria yang peka dengan panggilan perjuangan untuk menjunjung titah membangun bangsa.
Kita sama-sama menaruh harapan agar gelombang kecenderungan khalayak itu tetap konsisten dan tidak akan cair dek zaman kerana tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang akhirnya turut melenakan kita di dalam buaian mimpi. Dalam masa yang sama, kita juga tidak meminta gelombang kecenderungan itu bertukar pula menjadi badai dan taufan, lalu mendatangkan kemusnahan.
Kita mahukan mesej dari gelombang kecenderungan ahli-ahli untuk berjuang mendaulatkan Sultan, nusa dan bangsa di dalam parti ini akan kita sebar luaskan seluas-luasnya ke setiap pelusuk tanah air dan kita pupuk agar ianya tetap konsisten. Tegur dan sapalah setiap rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, sedarkanlah jika ada di antara mereka yang masih dilamun mimpi dan khayal. Lalu, di sanalah kita sedia menunggu mereka, menghulur tangan kepada mereka dan menyambut kedatangan mereka dengan titian emas untuk sama-sama berada di dalam saf perjuangan membawa Negara Brunei Darussalam menuju visi kita, “Melayu Islam Beraja, Aman Makmur dan Mendapat Keampunan Allah SWT”.
Saudara saudari sekalian,
Kami, ahli-ahli panitia kongres sejak beberapa lama telah berusaha keras untuk menjadikan kongres agung parti kita yang pertama ini menjadi satu kongres yang benar-benar bersejarah yang diwarnai dengan catatan-catatan yang indah. Justeru sama-samalah kita jaga dan awasi ketertiban sepanjang kongres ini.
Kita tidak mahu kongres ini penuh dengan ‘hype' dan gembar-gembur tanpa menghasilkan impak yang besar kepada parti dan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada amnya. Kita mahukan setiap ahli yang hadir akan berada dalam keadaan yang selesa. Ini pastinya akan membantu saudara saudari sekalian memberi tumpuan yang lebih kepada proses dan perjalanan kongres.
Ambillah kesempatan ini untuk menjadikan kita lebih bijaksana melalui pengamatan dan penglibatan kita yang aktif sambil-sambil kita belajar membiasakan diri dengan kehendak dan disiplin sebuah organisasi politik yang matang.
Saudara Saudari Sekalian,
Secara ringkas, sukalah saya galurkan perjalanan kongres kita pada hari ini. Kongres ini akan dimulai dengan ucapan perasmian ayahanda Presiden Jawatankuasa Penaja sebentar nanti. Selepas perasmian Kongres Agung, diikuti pula dengan pemilihan Pengerusi Tetap dan Timbalannya. Selepas itu, perjalanan kongres akan diserah dan dikendalikan oleh Pengerusi Tetap atau Timbalannya. Pengerusi Tetap akan mengisytiharkan pembubaran Jawatankuasa Penaja dan seterusnya membuka peluang bagi pemilihan saf kepimpinan baru yang akan menerajui kepimpinan parti untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Selepas proses pemilihan disempurnakan, agenda pembentangan usul akan menyusul. Beberapa usul telah pun ditapis dan diputuskan oleh Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Saudara Hj Antin Ahad dan Hjh Rayah Ali untuk dibahaskan dalam kongres ini. Saya berharap agar setiap ahli yang hadir akan memberi perhatian yang serius berhubung perkara ini.
Saya percaya banyak pandangan dan hujah-hujah yang boleh kita kutip dari perbahasan usul-usul ini yang boleh menjadi modal kita berdepan dengan rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan masyarakat selepas ini.
Agenda terakhir ialah ucapan penangguhan. Seperti mana lazimnya dilakukan oleh parti-parti politik di negara-negara membangun, para hadirin boleh bercakap, membincang dan menyentuh apa jua isu yang ingin disuarakan. Ini adalah period di mana para ahli mengamalkan hak-hak kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat.
Suatu hal yang ingin saya peringatkan kepada saudara-saudara sekalian ialah format Kongres Agung kita ini tidaklah seratus peratus mengikuti prosedur-prosedur Kongres atau Muktamar sebuah parti yang sudah “ well-established ”. Suatu hakikat yang jelas ialah, Kongres Agung kita kali pertama ini lebih kepada kongres untuk memilih kepimpinan Parti untuk penggal pertama penubuhannya.
Kongres ini bukanlah Kongres Perwakilan, kerana kita belum mempunyai ranting-ranting dan cabang-cabang yang sudah disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Laporan kewangan juga tidak dapat dipersembahkan mengikut kehendak perlembagaan kerana juruaudit dalaman dan juruaudit luar belum dilantik secara rasmi kerana mereka ini hendaklah terdiri dari kalangan ahli yang dipilih di dalam Kongres atau ditentukan melaluinya . Insya-Allah, Kongres Agung kita pada hari ini akan memilih juruaudit-juruaudit yang berkelayakan untuk memberikan khidmat kepada parti untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Saudara Saudari sekalian,
Suka saya ingatkan kebebasan bersuara itu tidak mutlak. Ia tunduk kepada beberapa batasan iaitu :
Pertama: Jangan sekali-kali menyentuh dan mengaitkan nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kerabat Diraja di dalam hujah dan perbahasan yang memberi sebarang gambaran negatif kepada Baginda dan Kerabat Baginda.
Kedua: Jangan sekali-kali mengaitkan nama “Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia” di dalam hujah dan perbahasan. Jika hujah berkaitan dengan sesebuah jabatan, hujah hendaklah ditujukan terus kepada jabatan berkaitan sahaja. Ini sebenarnya boleh membantu jabatan-jabatan yang berkaitan untuk mengambil perhatian khusus mengenai perkara-perkara yang dibangkitkan.
Ketiga: Pasanglah niat yang baik dan tulus. Kebebasan bersuara itu haruslah digunakan untuk mencari kebaikan dan kemaslahatan masyarakat, mengecilkan perbezaan dan bukannya menjarakkan lagi sebarang perbezaan atau perselisihan.
Keempat: Kebebasan itu tidak digunakan untuk bermegah-megah, menunjuk-nunjuk seolah-olah hanya kita saja yang pandai dan tahu, mencaci orang lain, menghina mereka di khalayak ramai dan membesarkan keaiban orang lain.
Kelima : Hendaklah mengemukakan pendapat dan berhujah dengan tertib dan berhemah. Tidak boleh mencaci nama baik, memaki dan menuduh orang dengan tuduhan yang menyinggung perasaan mereka.
Kebebasan yang kita perjuangkan itu akan hilang dan berakhir apabila ia menjadi sebab dan punca untuk berlakunya ketegangan dan kerosakan.
Saya sebutkan ini dengan terperinci kerana kita tidak mahu timbulnya insiden-insiden yang boleh mencemarkan perjalanan kongres dan nama baik parti. Kita tidak mahu kerana “nila setitik rosak susu sebelanga” dan “seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit.” Elakkanlah diri kita dari terperangkap oleh emosi dan provokasi orang lain.
Sebelum saya akhiri ucapan ini, sekali lagi saya sampaikan ucapan penghargaan kepada semua seluruh jentera yang menggerakkan Kongres ini dan hadirin hadirat sekalian. Kepada ahli-ahli parti, selamat berkongres.
Saya akhiri ucapan ini dengan pantun :
Jika ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Jika ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah assalamuailaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Allahhu Akbar ! Allahhu Akbar! Allahhu Akbar!
|