| |
BANDAR SERI BEGAWAN NOVEMBER 17, 2006 : Timbalan Presiden Parti Pembangunan Bangsa (NDP), Sdra. Mahmud Morshidi Othman menyatakan sokongan penuhnya terhadap titah Kebawah DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di Pertuan dan Ulil Amri Negara Brunei Darussalam, bahawa jati diri bangsa Brunei perlu dipelihara sambil memperelokkannya.
Kebawah DYMM Sultan yang bertitah dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini menyeru supaya semua pihak mengambil berat dan bergerak menghalang unsur-unsur yang tidak sesuai dengan jati diri bangsa daripada meresap dan mencemar budaya bangsa Brunei.
Baginda bertitah, bangsa yang maju ialah bangsa yang dapat mengekalkan jati dirinya kerana bangsa yang mempunyai jati diri akan dihargai dan dihormati semua orang.
“….sebagai bangsa yang memang sedia mempunyai jati diri hendaklah tidak mengabaikan aspek-aspek jati diri kita, sebaliknya hendaklah bersikap memelihara, sambil memperelok jati diri kita yang ada, bukan dengan sewenang-wenang mengubahnya dengan alasan menyesuaikannya dengan zaman," tiah baginda.
Menurut kamus Dewan, 'jati' bermaksud asli, murni, tulen dan tidak bercampur. Jati diri membawa maksud identiti yang memisahkan suatu peribadi dengan peribadi yang lain. Jati diri merujuk kepada ciri-ciri sejati yang dimiliki oleh seseorang bukan sahaja yang terlihat secara lahiriah, tetapi termasuk juga nilai-nilai yang menjadi pegangannya.
Dalam konteks Brunei misalnya, kita mempunyai tiga jati diri yang saling berkaitan, iaitu jati diri sebagai orang Melayu, jati diri sebagai rakyat sebuah negara Beraja dan jati diri sebagai penganut agama Islam.
“Persoalan jati diri yang dilontarkan oleh Kebawah DYMM sememangnya isu penting ketika ini kerana ia berkaitan dengan survival bangsa. Kita amat terdedah kepada ancaman globalisasi yang pada adatnya berkuasa menggerakkan, merebah dan merobah bukan sahaja modal, barangan dan manusia, malah mampu menggerakkan, merebah dan merobah nilai, falsafah dan budaya secara transnasional pada kadar yang amat pantas” tegas Tim. Presiden NDP itu.
Tambah beliau lagi, bila-bila masa sahaja globalisasi boleh ‘menelan’ jati diri sesebuah bangsa sekiranya bangsa tersebut, terutama sekali para pemimpinnya lalai dengan urusan dan kepentingan peribadi semata-mata, tiada perancangan strategik berkesan untuk menolak nilai-nilai negatif yang dibawa oleh globalisasi, lebih-lebih lagi jika kita hanya menerima apa sahaja yang ‘disuapkan’ oleh globalisasi.
Apakah bentuk tuntutan jati diri rakyat Brunei sebenarnya?
Pada pandangan kita, jati diri yang mesti diunggulkan pada setiap saat oleh rakyat Kebawah DYMM ialah falsafah Negara itu sendiri.
Persoalannya, ialah bagaimana kita boleh mengisi falsafah Melayu Islam Beraja yang ditanai hari ini supaya ia ‘sustainable’ hidup, dan tetap releven untuk selama-lamanya?
Di peringkat Parti, Perlembagaan dan Manifesto Parti Pembangnan Bangsa (NDP) 2006 -2016 telah dengan jelas menggariskan dan mentafsirkan Misi dan Objektif Utama agenda perjuangannya untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Melayu Islam Beraja yang mendapat keampunan Allah SWT (Baldatun Thyibatun Warabun Ghafur).
"Perlembagan dan Manifesto NDP telah berusaha melakarkan pandangan dan hasratnya untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri; maju dari segi dakwah, politik, ekonomi, pendidikan, maju dari segala segi, tanpa perlu mengikut jejak langkah negara maju lain yang keliru dalam persoalan nilai dan budaya sehingga meruntuhkan masyarakatnya", jelas sdra Morshidi.
Beliau seterusnya mengingatkan, dalam menghadapi ancaman globalisasi dan order baru dunia, kita tidak lagi bersaing sesama kita di negara ini, sebaliknya bersaing dengan seluruh bangsa di dunia.
"
Unggulkanlah unsur taat setia kepada Kebawah DYMM sebagai Ulul Amri dan Mujaddid, sebagai jati diri yang menjadi cemeti memacu seluruh rakyat dan Negara kearah kecemerlangan".
"Dengannya, kita bukan sahaja akan dapat mengisi kemerdekaan negara seperti yang dihasratkan oleh Kebawah DYMM dan rakyat baginda, malah, hikmah disebalik taat setia yang setulus-tulusnya terhadap baginda itu, Insyaallah akan dapat dijadikan benteng utama ketahanan nasional, kemerdekaan dan keselamatan negara dan bangsa", tegas beliau lagi yang dihubungi oleh Aspirasi-NDP kemarin.
Apabila persoalan jati diri ini dikaitkan dengan Islam, maka perlu kita sedari, tanpa memahami tuntutan taat kepada Allah, Rasul dan Ulil Amri serta tuntutan berlaku adil dan berihsan ‘Aladli Wal Ihsan’ nescaya umat Islam hanya boleh dilihat maju melalui pemilikan gedung-gedung dan kediaman-kediaman mewah didiami oleh insan-insan yang pada hakikatnya mati mata hati, tersekat minda, serta pudar nilai keinsanannya.
Sdra. Morshidi menambah, menginsafi akan apa yang tersurat disamping coba menyelami apa yang tersirat disebalik titah Kebawah DYMM itu, maka, pada hemat NDP, telah sampailah masanya Majlis Tertinggi Kebangsaan Melayu Islam Beraja yang bersifat bebas dengan ahli-ahlinya lantikan peribadi, dan sifatnya sekadar sebagai penasihat dan bukan sebagai sebuah badan yang rasmi seperti jabatan kerajaan dalam mana-mana kementerian diangkat, dilembagakan dan didarajatkan menjadi sebuah institusi yang setara dengan status sebuah kementerian yang mempunyai ketua pentadbir bertaraf menteri, para pentadbir, penyelidik dan penguat kuasa yang bertanggung jawab terus kepada Kebawah DYMM dan Kabinet baginda.
Insyaallah, dengan wujudnya institusi yang diperelok dan berwibawa itu kelak, tidak syak lagi ia akan berupaya berperanan mengembangkan pemahaman dan syiar Islam dan melindungi Islam, memantapkan lagi institusi kesultan Brunei Darussalam dan menjana ketaat setiaan rakyat terhadap Baginda dan zuriat-zuriat baginda, menjamin hak-hak orang Melayu dan berterusan menjamin kesejahteraan, keamanan dan keharmonian hidup seluruh rakyat yang bernaung dibawah payong daulat Kebawah DYMM sebagai Sultan dan Yang Di Pertuan dan Ulil Amri bagi Negara Brunei Darussalam, harapan sdra Morshidi lagi.
|
|