Pada hari Rabu, 17hb Rejab, 1428 bersamaan 1hb Ogos 2007
Bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Negara Brunei Darussalam
Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Bismillahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Aalaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du
Beta bersyukur kerana dapat pula menghadiri perhimpunan Hari Belia Kebangsaan. Hari Belia Kebangsaan dapat dilihat sebagai tanda pengiktirafan negara terhadap sumbangan masyarakat belia. Oleh itu, Beta mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para belia diatas sumbangan mereka selama ini dalam pelbagau kegiatan sosial dan negara. Beta berharap supaya sumbangan tersebut akan terus ditingkatkan dari masa kesemasa.
Belia yang sihat dan bertanggungjawab akan terus memberi sumbangan, dan malah meningkatkan pencapaian prestasi mereka. Inilah yang kita mahukan daripada para belia kita supaya terus aktif dan membantng tulang demi kebaikan.
Dalam wadah pembangunan, para belia itu menjadi komponen terpenting didalam apa saja usaha bagi kesejahteraan bersama. Para belia perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah stakeholder yang dinamik untuk survival bangsa dan negara.
Pada lazimnya, mereka ini adalah gologngan pemikir, berdasarkan pendidikan formal dan sempurna ada kepada mereka. Kerana itu tidak diragui lagi yang mereka itu mampu untuk memikirkan “perkara-prkara besar” yang dihajati oleh masyarakat.
Namun, melalui pendidikan juga orang boleh berkeadaan sebaliknya, kalau pendidikan yang diterima itu tidak digunakan untuk tujuan-tujuan yang membina.
Pendidikan sempurna, tidak boleh tidak, mampu melahirkan belia yang matang, dimana identiti belia matang itu ialah mereka yang sentiasa bergiat untuk kebaikan dan menolak mungkar.
Ini bersesuaian dengan maksud firman Allah dalam surah Ali-’Imaran, ayat-104: “Dan hendaklah ada diantara kamu satu golongan yang mengajak kepada kebaikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada sehala yang mungkar (keji). Dan adapun mereka yang bersifat demikian itu, ialah orang-orang yang berjaya.”
Golongan yang kita harapkan lebih aktif untuk menggarap kebaikan dan menolak keburukan itu ialah golongan belia. Mereka ini mempunyai potensi serba istimewa, baik dari segi umur, fizikal mahupun mental. Jika semua kelebihan-kelebihan ini digunakan dengan sewajarnya, maka sudah barang tentu masyarakat dan negara akan beruntung.
Dalam pada itu, jangan pula diabaikan pandangan orang cerdik pandai, bahawa sekalipun para belia itu sedia memiliki kebolehan-kebolehan luar biasa, seperti kebolehan berfikir dan mencipta, namun belum tentu mereka juga mempunyai kebolehan menilai dalam segala perkara. Sama halnya, mereka memiliki kebolehan melaksana, tetapi belum tentu mempunyai kebolehan menasihat.
Ini perlu diambil ingatan oleh semua pihak, supaya sama-sama didalam muafakat, dan sama-sama berganding bahu antara golongan belia dan golongan yang lebih kaya dengan pengalaman.
Jika wujud sikap yang seumpama ini, maka semua kita akan merasa terhormat, dan tidak akan ada lagi satu individu pun yang menganggap diri mereka tidak dihargai.
Itulah pendekatan terbaik. Kita labelkan golongan belia sebagai golongan progresif dan aktif, dosamping dalam pada itu, ada pula golongan lain yang tidak diremehkan peranan mereka.
Beta berharap, negara Brunei Darussalam akan lebih gemilang dan berjaya dengan pendekatan yang indah ini. Hidup dan majulah belia, dan majulah kita semua.
Sekian, Wabillahit Taugeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.