Titah KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

(Program NGO atasi Kemiskinan: YSHHB sedia timbang sokongan kewangan)

 
 

 

Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim ALHAMDULLILLAHI Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdullillah, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, buat kali ketiganya menganjurkan pula Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Sambutan seumpama ini memang wajar, sebagai tanda bersyukur kita merayakan ‘kemenangan besar’ dalam menjalani ujian Allah iaitu ujian berpuasa di dalam bulan Ramadhan.

Sesungguhnya perjumpaan Hari Raya tentu saja akan berlangsung dalam suasana meriah dan mesra. Dari namanya sahaja iaitu Hari Raya adalah mendorong orang untuk menyambutnya dengan gembira.

Ia jua kita meriahkan dengan pelbagai acara, sesuai dengan namanya kemenangan besar itu.

Corak dan bentuk kemeriahan adalah terpulang kepada kita menentukannya. Namun begitu, ia mestilah selari dengan pegangan agama.

Jelasnya, intisari sambutan adalah ketaatan kepada Allah.

Kerana ia berpunca daripada nikmat-Nya dimana nikmat itu telah mewajibkan kita supaya melakukan ketaatan.

Dan adapun ketaatan pula terdiri dari pelbagai jenis, diantaranya berupa khidmat-khidmat kebajikan kepada masyarakat, seperti khidmat membela orang-orang susah, fakir miskin dan orang-orang yang tidak berupaya. Ini juga adalah satu bentuk perayaan, kerana ia dapat menyukakan mereka yang berkenaan itu.

Begitulah, kita mesti rai dan meriahkan Hari Besar ini dengan ketaatan kepada Alla Subhanahu Wataala.

Oleh itu, beta amatlah bergembira kerana perjumpaan Hari Raya anjuran Yayasan ini tidak terlepas dari ciri-ciri ketaatan kepada Allah itu. Ia pada kali ini telah menghimpunkan kumpulan-kumpulan yang diyakini boleh menyumbangkan dan memberikan khidmat yang berkesan kepada masyarakat yang memerlukannya.

Beta secara peribadi, amatlah menyambut baik kehadiran kumpulan-kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan akar umbi yang dinamakan NGO sebagai peserta pada tahun ini.

Kumpulan-kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan akar umbi, tidak syak lagi, adalah komponen yang penting dalam struktur kepimpinan sesuatu masyarakat.

Mereka boleh memperanan menciptakan kesejahteraan di kalangan rakyat dan penduduk, khasnya siapa-siapa yang sememangnya menjadi sasaran khidmat yang terdiri daripada orang-orang susah atau yang bermasalah.

Kewujudan pertubuhan-pertubuhan akar umbi ini boleh menangani isu-isu sosial secara khusus dengan program-program mereka yang tertentu.

Jika mereka berhasil bermakna satu kejayaan besar telah dicapai.

Bagaimanapun, kita juga mengakui bahawa belum banyak pertubuhan akar umbi ini yang berjaya sepenuhnya mencapai matlamat mereka yang luhur banyak faktor yang menyebabkan kegagalan tersebut.

Di antara yang sering dikaitkan dengan kelemahan atau kegagalan sesebuah pertubuhan ialah faktor kepimpinan.

Tetapi faktor-faktor yang lain juga, khususnya faktor kewangan, tidak kurang menentukan semua itu.

Misalnya, kita sedia memahami betapa sukarnya untuk menangani gejala-gejala penyalahgunaan dadah dan jangkitan HIV.

Namun bagi kedua-dua isu ini terdapat pertubuhan NGO yang terus-menerus merangka dan melaksakan program-program mereka untuk mengatasinya.

Jadi disini ternyata bukan lagi masalah kepimpinan yang timbul, tetapi mungkin ada masalah lain yang belum ditemui punca dan sebabnya yang membawa kepada kegagalan itu.

Sementara disudut lain pula, usaha menangani penyalahgunaan dadah dan jangkitan HIV, adalah tidak sama dengan usaha mengatasi kemiskinan atau membantu orang-orang cacat dan bermasalah.

Masing-masing itu memerlukan pendekatan yang berbeza-beza.

Sekalipun betapa sukar atau susahnya menangani kepjncangan-kepincangan yang berlaku didalam masyarakat, namun usaha tidak lah pernah berhenti dari terus dibuat atau difikirkan untuk mengatasinya.

Ini adalah satu petanda baik kepada masa depan dunia dan juga sejarah ketamadunan manusia.

Demikian itulah hakikat yang ada, bahawa kita tidak jemu-jemu untuk terus berusaha menangani isu-isu sosial dengan gigih dan ikhlas.

Maka kerana itu, kehadiran kumpulan-kumpulan atau pertubuhan-pertubuhan akar umbi pada tahun ini menjadikan kita bertambah insaf, betapa perlunya usaha-usaha kebajikan itu diteruskan, sementara majlis hari ini, turut juga merakamkan penghargaan terhadap khidmat bakti mereka yang selama ini disumbangkan.

Kita mengharapkan perhimpunan hari ini akan dapat mencetuskan idea-idea segar untuk memikirkan inisiatif-inisiatif baru yang berkaitan.

Kerana ternyata sekarang, isu-isu sosial sudah semakin rumit, ibarat jalan yang berliku-liku, yang memerlukan lebih kepada pomitmen dan penumpuan.

Misalnya sahaja orang-orang susah yang bergantung kepada bantuan kebajikan dan wang zakat, mereka itu dahulunya ialah fakir miskin yang kebanyakannya terdiri daripada orang-orang tua, penghidap-penghidap penyakit atau mereka yang cacat anggota dan akal.

Tetapi sekarang tidak lagi semestinya begitu, di mana sudah ramai mereka yang menerima itu terdiri daripada orang-orang dalam lingkungan umur yang boleh bekerja, tetapi mereka bermasalah.

Ada yang disebabkan terlibat dengan jenayah atau gejala sosial yang menjadikan mereka penganggur, sedang dari sudut tanggungjawab, mereka adalah menanggung isteri dan anak-anak.

Sementara bagi mereka yang terdiri daripada wanita-wanita pula ada yang disebabkan penceraian atau suami bermasalah, dimana beban menyarai anak-anak terpaksalah dipikul oleh mereka.

Tetapi mereka ini tidak mempunyai mata pencarian yang sudah barang tentu menyebabkan mereka mesti bergantung kepada bantuan kebajikan atau zakat.

Di samping itu, ada pula sebahagiannya terdiri daripada anak-anak muda dan murid-murid sekolah yang juga turut bergantung kepada bantuan jenis ini.

Masalah kita sekarang, sampai bilakah golongan-golongan tersebut terus-menerus bergantung kepada bantuan-bantuan?

Tidakkah kita ingin melangkah setapak lagi untuk melepaskan mereka daripada belenggu pergantungan?

Dalam keadaan hidup tersepit oleh kesukaran, sudah barang tentu mereka susah untuk mencari jalan keluar sendiri.

Dan didalam situasi begini, kita mungkin sahaja menyesali akan sikap yang tidak berubah itu. Tetapi dalam masa yang sama, adalah pula adil jika kita berani bertanya kepada diri kita; Sejauh manakah skim-skim bantuan itu telah diprogramkan untuk mengatasi kemiskinan?

Di samping dengan bantuan, barangkali juga kita perlu kepada satu skim dan program sokongan untuk memandu, membantu, membimbing dan melatih mereka yang menerima bantuan tersebut khusus dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan usaha dan kreativiti meningkatkan taraf hidup.

Dalam hubungan ini, agensi-agensi yang berkaitan dan juga para peserta sambutan yang terdiri daripada kalangan NGO, sewajarnya sama-sama memikirkan perkara ini.

Ambillah langkah yang bersesuaian.

Beta menyedari, sebarang inisiatif besar dan baru adalah memerlukan sokongan kewangan. Ianya bolehlah ditimbangkan.

Oleh itu, Yayasan beta sendiri, Insya Allah bersedia menimbangkan sokongan kewangan kepada badan-badan NGO yang bersungguh-sungguh mengadakan program mereka mengatasi kemiskinan. Namun begitu, program tersebut hendaklah selaras dengan kehendak dan ajaran agama Islam.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.