1 Syawal adalah "Hari Besar", yang disambut dengan segala kemeriahan dan keriangan. Pada hari ini kita bebas makan dan minum. Sebelum ke masjid untuk menunaikan Sembahyang Hari Raya, kita lebih dahulu disunatkan untuk merasa atau menikmati sedikit juadah yang ada. Bahkan pada hari ini, kita adalah dilarang berpuasa.
Hari Raya adalah hari bersuka ria, hari kita memakai pakaian yang elok-elok serta baru. Namun ini, bukanlah bermakna kita disuruh untuk berlebih-lebihan atau membazir. Buatlah apa yang layak, sesuai dengan kemampuan masing-masing.
Di dalam perkara pakaian, makanan dan minuman, kita tidaklah wajar berlumba bagi mengatasi antara satu dengan yang lain. Perlumbaan disini sangatlah dilarang, kecuali berlumba untuk mendapatkan seberapa banyak kebajikan.
Oleh itu,carilah kebahagiaan melalui "gaya hidup" sederhana. Jimatkan wang untuk masa depan keluarga. Jalan kita dan anak-anak adalah masih panjang. Ianya meminta perancangan yang bijak daripada kita. Masa depan itu, tidak siapapun yang tahu. Dan anak-anak pula adalah pelaburan masa depan tersebut. Maka oleh itu, utamakanlah asuhan dan didikan untuk mereka, sambil berusaha menggelakkan kesilapan-kesilapan yang mungkin terjadi.
Begitu juga perlumbaan bagi mempelbagaikan kemudahan dan perhiasan sehingga membawa orang berhutang, adalah juga satu amalan yang perlu dihindari. Kerana risiko hutang itu sungguh membebankan, baik di dunia mahupun di akhirat. Di dunia, jika kita sarat dengan hutang, ia boleh mendatangkan bermacam-macam ketidaktenteraman, sementara di akhirat pula,jika hutang itu tidak dibayar, ia akan membawa kepada keperitan dan kesusahan.
Hari ini kita bolehlah berkata, bahawa kita selamat dan makmur. Tetapi hari esok bukan kita lagi yang mengucapkan ungkapan itu, melainkan sekadar turut ketawa ataupun menangis. Itulah gambaran hari muka yang penuh dengan teka-teki. Oleh itu, janganlah tanya apa yang akan berlaku esok, tetapi berfikir dan merancanglah untuk hari esok yang lebih baik.
Jika ibadat puasa boleh menimbulkan kesedaran tentang betapa peritnya lapar dan dahaga yang dialami oleh orang-orang susah dan melarat, maka Hari Raya juga boleh mendatangkan keinsafan serupa, betapa kita adalah dituntut untuk mensyukuri nikmat kemewahan yang ada pada kita, disamping juga tidak melupakan, bahawa di serata dunia, masih terdapat golongan yang tidak mampu untuk membeli pakaian baru dan juga yang tidak cukup makan.
Fenomina ini, segera pula mengingatkan kita kepada rahasia zakat, yang bertujuan bagi melepaskan golongan yang berhak menerimanya dari kesusahan-kesusahan yang menekan atau menghimpit mereka. Kerana itu, Baginda berharap,supaya pihak yang berkenaan dengan pengendalian zakat, akan dapat benar-benar menunaikan tanggungjawabnya sebaik mungkin.
Baginda yakin, kutipan zakat kita adalah mampu untuk mengatasi permasalahan yang patut ditangani. Inilah kelebihan kita. Pengagihan yang teratur lagi sempurna, tentu saja akan membawa imej yang baik serta keberkatan kepada negara.
Akhirnya, Baginda serta keluarga ingin mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya 'Idil Fitri kepada semua golongan rakyat dan penduduk yang berugama Islam dimana juga mereka berada. Semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepada kita semua dengan beroleh petunjuk serta pemeliharaan-Nya yang berpanjangan. Amin