Oleh kerana komitmen terhadap gagasan pengecualian Asia Tenggara begitu tinggi, ia menjadi projek antarabangsa yang utama bagi Asean-5 menjadikan ZOPFAN satu realiti.
Merealisasikan ZOPFAN merupakan langkah penting bagi Asean memandangkan kedudukan Asia Tenggara yang agak strategik kepada kuasa-kuasa besar dalam konteks ketegangan politik Timur-Barat ketika itu, pergolakan politik di Vietnam serta keputusan pengunduran tentera-tentera British dari Asia Tenggara dan Amerika dari Vietnam pada awal 70an.
Perkembangan-perkembangan tersebut telah menimbulkan kecurigaan di kalangan negara-negara Asean kerana ianya mungkin menjejaskan kestabilan serantau.
Juga turut merisaukan Asean ketika itu ialah peperangan-peperangan di Korea dan di Vietnam. Ia telah menyakinkan Asean bahawa campurtangan dan sokongan tentera kuasa-kuasa besar dalam pertelingkahan negara-negara kecil Asia Tenggara sering menjejaskan kestabilan di-rantau ini.
Semangat 'regionalisma' masa itu juga telah menghasilkan pertubuhan kerjasama ekonomi serantau Asean yang dapat digunakan sebagai jentera untuk mencapai tujuan ZOPFAN.
Objektif ZOPFAN adalah untuk menjadikan Asia Tenggara satu kawasan yang aman, bebas dan berkecuali daripada pertelingkahan politik kuasa-kuasa besar khususnya Amerika Syarikat, Russia dan Republik Rakyat China.
Persoalan sekarang macam mana untuk mencapai objektif tersebut jika masih terdapat negara seperti Brunei yang masih menjadi tanah jajahaan Inggeris di mana dasar luar dan pertahanan di tangan Inggeris?.
Isu Brunei yang masih terjajah menjadi halangan besar kepada Asean untuk merealisasikan ZOPFAN. Membantu memerdekakan Brunei menajdi agenda dan tugas pertama anggota Asean-5 ketika itu.
Dan melihat senario politik di Brunei selepas peristiwa hitam 8 Dsember 1962 meletus membuatkan Ketua-ketua Negara Asean-5 melihat hanya Azahari yang mampu mengetuk pintu hati Kuasa Pentadbir dan Istana tentang kemerdekaan ketika itu.
Azahari telah membuktikan kepimpinannya dan memang beliau berwibawa untuk menggerakkan perjuangan kemerdekaan negaranya.
Tidak nampak ada gantinya ketika itu yang boleh mengetuai gerakan kemerdekaan Brunei.
Akan tetapi, adakah Azahari bersedia untuk kembali bergiat setelah politiknya hancur?
Hubungan Tun Abdul Razak dan Azahari
Tun Abdul Razak adalah antara tokoh yang banyak berperanan untuk memusnahkan perjuangan Azahari membentuk Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) dan Persekutuan Tanah Melayu dan banyak mengirim pegawai ke Brunei bagi membantu Inggeris menghalang cita-cita politik Azahari dan PRB, terutama ketika menumpaskan Revolusi 8 Disember 1962 yang dipelopori oleh TNKU paksi para-militer PRB.
Bagaimanapun, disaat-saat gawat sebelum meletusnya Revolusi 8 Disember 1962 itu, Tun Abdul Razak adalah pimpinan Kuala Lumpur yang terakhir yang dihantar oleh Tunku Abdul Rahman memujuk Azahari untuk menyertai Malaysia.
Dalam pertemuan itu, Tun Abdul Razak menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua kepadanya jika beliau bersetuju menyokong pembentukan Malaysia.
Azahari menolak dan memberi amaran kepada Tun Abdul Razak supaya tidak mengulangi lagi cakap-cakap seumpama itu.
Azahari tetap berpegang kepada mandat PRB yang dipegangnya mengenai pendirian PRB terhadap kemasukan Brunei ke dalam Persekutuan Malaysia seperti yang telah diajukan oleh Azahari kepada Tunku Abdul Rahman yang mengandungi 17 perkara, iaitu:
- Sebelum memasuki Persekutuan Malaysia, Brunei, Sabah dan Sarawak dijadikan sebuah negara Kesatuan yang dikenali Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) yang merdeka dan berdaulat terlebih dahulu dan menobatkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Omar Ali Saifuddien menjadi Kepala Negara dengan gelaran Seri Mahkota NKKU.
- Mengadakan Pemilu (Pilihan Raya) yang bebas dan demokratik untuk memilih wakil-wakil rakyat dalam Parlimen Kalimantan Utara untuk membentuk pemerintahan.
- NKKU meminta 35-40% anggota Parlimen Federasi dari NKKU.
- Undang-Undang kewarganegaraan yang sangat sensitif harus dirombak dan diganti dengan undang-undang yang baru, dalam garis besarnya, terdiri dari :
- Kerakyatan Asli
- Kerakyatan secara Naturalisation
- Kerakyatan secara application.
- Dalam Kabinet Federal 30-40% anggota Kabinet hendaklah terdiri dari perwakilan NKKU.
- 30% -40% Pos-Pos diplomatik hendaklah diisi oleh rakyat dari NKKU.
- 30% - 40% Wakil anggota-anggota Parlimen dari Kalimantan Utara ke Federal hendaklah dipilih melalui sistem Collegiate dan tidak dipilih secara direct Election.
- Bangsa dan Kebangsaan Malaysia adalah Melayu
- Internal Security, hak Pemerintahan NKKU dan Internal Imigration ditentukan oleh Pemerintah NKKU.
- Undang-Undang Perpajakan dan Revenue NKKU terletak dibawah kekuasaan Pemerintah NKKU.
- Industri dan Perdagangan NKKU adalah dibawah pemerintah NKKU.
- Sistem Pengadilan (mahkamah) adalah hak pemerintah NKKU.
- Pemerintah NKKU akan mengadakan perundingan dengan pemerintah Federal mengenai pemberian beberapa Puluh Persen State Revenue untuk Federal.
- Mewujudkan kerjasama dari segi Pendidikan antara State (NKKU) dengan Federal.
- Demi menjaga kepentingan bersama, saling menghormati, dan saling mengerti, sebaiknya diadakan perundingan (mengenai cadangan penubuhan persekutuan Malaysia) antara wakil Malaya, Kalimantan Utara dengan Indonesia dan Filipina, bagi menjaga sensitiviti masing-masing agar tidak saling curiga.
- Agenda perundingan (seperti perkara ke 15) sebaiknya diatur yang menyentuh kepentingan bersama dalam soal:
i). Security
ii). Ekonomi
iii). Kerakyatan
iv). Imigration dan
v).Perbatasan (Sebab Indonesia, Malaysia dan Filipina adalah dari satu rumpun bangsa dan mempuyai perbatasan yang sama dengan Malaysia).
- Anggota-anggota Parlimen dari NKKU hendaklah duduk bersama wakil-wakil UMNO di Parlimen Federal.
Malangnya Tunku tidak memberikan ruang secukupnya untuk membincangkan cadangan cadang PRB di atas sehinggalah timbul kecurigaan dan ketegangan antara Tunku dan Azahari.
TUN RABDUL RAZAK, AZAHARI DAN GAGASAN ZOPFAN
Kini 10 tahun sudah berlalu…
Sebagai peneraju pakatan serantau untuk merealisasikan hasrat menjadikan rantau Asia Tenggara zon aman, bebas dan berkecuali melalui konsep ZOPFAN, Tun Abdul Razak punya tugasan besar untuk melihat Brunei masuk kedalam pakatan tersebut dan sekali gus menjadi anggota masyarakat serantau.
Agenda besar ini perlu di kongsikan bersama Azahari. Akan tetapi Tun Abdul Razak ragu sama ada Azahari akan melayani pendekatan baru yang dianjurkannya itu.
Jika sekali pun persoalan penerimaan Azahari terhadap hasrat untuk membantunya meneruskan perjuangan kemerdekaan Brunei dapat diselesaikan tetapi, adakah Tun Abdul Razak yakin dengan bantuannya kepada Azahari nanti boleh mencapai kejayaan di Brunei?
Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand yang menganjurkan bersama gagasan ASEAN dan menjadi penganjur bersama resolusi mengenai Brunei di PBB sependapat bahawa dari segi strategi politik dan keselamatan rantau Asia Tenggara ketika itu ialah dengan menonjolkan semula Azahari.
Yang demikian, tidak syak lagi ia akan membuka jalan kepada Brunei untuk memikirkan tentang kemerdekaannya.
Tun Abdul Razak sudah nekad untuk membantu Azahari menggerakkan semula PRB yang sudah 10 tahun diharamkan itu bagi memperjuangkan kemerdekaan Brunei, tetapi bukan untuk menghidupkan semula konsep NKKU.
Tun Abdul Razak betul-betul mengamalkan teori politik betapa tiada musuh politik yang kekal dan demikian juga tiada rakan politik yang kekal.
Beliau pernah bermusuh dengan Azahari dan kini beliau mahu berganding dengan Azahari.
Tetapi adakah Azahari berpendirian seperti itu juga dan bersedia? Dan di mana Azahari sekarang?
(Bersambung 'Di Mana Azahari?')