LIMBARUH HIJAU 16 NOVEMBER 2007 - PRESIDEN PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) berasa terharu apabila menerima surat penghargaan dari Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah atas sumbangan beliau kepada usaha DYTM menghasilkan buku bertajuk 'Remember, remember...The 8th of December'.
Surat penghargaan tersebut disampaikan kepada Ayahnda Yasin Affandy melalui Pejabat DYTM di Rumah Awang Alak Betatar, Bukit Kayangan.
Bersama surat tersebut juga disertakan senaskah khas buku hasil tulisan DYTM sebagai hadiah penghargaan kepada Ayahnda Yasin Affandy yang telah berkesudian meluangkan masa menjadi antara mereka yang menjadi sumber rujukan dan ditemu ramah semasa proses awal penulisan buku tersebut.
Buku 'Remember, remember...The 8th Of December' tulisan DYTM telah dilancarkan pada hari Isnin 12 November 2007 dan sekarang dalam pasaran. Buku tersebut ditulis dengan bahasa yang mudah difahami. Ia membawa pembaca mengimbau kembali sejarah peristiwa meletusnya pemberontakan pada awal pagi 8 Desimber 1962.
Buku tersebut tidak cuba memberikan jawapan tepat kepada persoalan kenapa dan mengapa terjadinya peristiwa tersebut.
Ianya juga tidak cuba mendewa-dewakan pelaku-pelaku utama dalam peristiwa 8 Disember 1962 itu dengan tidak menyebutkan nama-nama peribadi pelaku-pelaku ketika itu hanya sekadar menyebutkan institusi pelaku tersebut iaitu SulTan ketika itu, British dan Partai Rakyat Brunei (PRB).
Tulisan DYTM juga hanya sekadar memberikan bayangan suasana bangsa dan negara ketika itu di era yang penuh pergolakan dengan kecaman Perang Dingin dan juga kebangkitan-kebangkitan rakyat di negara-negara jiran di rantau ini dan juga di rantau antarabangsa berjuang menentang penjajahan.
Buku tersebut juga membawa pembaca mengingat kembali keadaan hidup penduduk Brunei yang ketika itu berjumlah seramai lebih 83,000 orang. Keadaan hidup mereka yang dalam serba kekuranagan dibawah pentadbiran British tidak menjadikan mereka kebal dari dijangkiti bahang panas kebangkitan-kebangkitan semangat patriotisme dan nasionalisme penduduk di negara-negara di rantau ini.
Ayahnda Yasin Affandy merupakan antara anak muda Brunei yang sanggup berkorban diri untuk berada dibarisan hadapan memperjuangkan nasib bangsa dan negara serta kedaulatan raja.
Beliau yang sekarang sudah berumur 84 tahun ketika itu merupakan Setiausaha Agung Partai Rakyat Brunei (PRB).
Walaupun sudah lanjut usia namun peristiwa 8 Disember 1962 masih jelas dalam ingatan beliau dan memang tepat langkah DYTM unuk merujuk kepada beliau dan sumber-sumber lain yang terlibat secara langsung dengan pergolakkan sebelum peristiwa berdarah tersebut meletus, ketika ianya terjadi dan sesudah ianya berakhir.
"Harapan saya buku tersebut akan membuka ruang bagi kajian lebih lanjut kepada sarjana-sarjana dan pelajar-pelajar sejarah mengenai subjek berkenaan. Dengan kehadiran buku DYTM itu telah mengangkat satu pandangan selama ini bahawa persejarahan peristiwa 8 Disember 1962 hanya milik monoploi satu pihak sahaja", ujar Ayahnda Yasin Affandy.
"Dengan ini saya menyembahkan kehadapan majlis DYTM ucapan tahniah kepada DYTM dan terima kasih saya dan setinggi-tinggi penghargaan atas memberikan saya penghormatan sebagai sumber rujukan DYTM", ujar Ayahnda Yasin Affandy. |