MACH 2007: Usaha berterusan Negara Brunei Darussalam membantu pasukan pemerhati keselamatan antarabangsa (IMT) memulihkan keamanan dan kedamaian di Mindanao mendapat sanjungan tinggi dari Kerajaan Filipina.
“Kerajaan Filipina sangat-sangat menghargai sumbangan besar yang berterusan diberikan oleh Kerajaan Negara Brunei Darussalam keatas usaha murni untuk mewujudkan keamanan dan kemajuan di Mindanao”, ujar Alberto Romulo, Setiausaha Hal Ehwal Luar Negera Filipina dalam perutusannya dimajlis perayaan memperingati ulang tahun Hari Kebangsaan Brunei k 23 di Manila baru-baru ini.
“Kita telah dapat menyaksikan dan dapat merasakan hasil usaha kamanan ini dan juga (ianya) memberikan harapan tinggi kearah mencapai kejayaan. Pencapaian ini adalah hasil komitmen yang kental dan sokongan padu Kerajaan Negara Brunei Darussalam dibawah pimpinan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga sokongan yang diberikan oleh rakyat Brunei yang cintakan keamanan dan kedamaian”, tambah Setiausha Hal Ehwal Luar Filipina itu lagi.
Sementara itu Mohagher Iqbal, Pengerusi Panel Perunding Pergerakkan Pembebasan Islam Moro (MILF Peace Negotiating Panel) juga turut berucap dimajlis yang sama.
Beliau bagi pihak MILF menyampaikan perutusan tahniah kepada KDYMM dan semua lapisan rakyat Baginda sempena perayaan ulang tahun Hari Kebangsaan negara ke 23.
Rakyat dan penduduk Bangsamoro, tegasnya, mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada saudara-saudara dari Brunei dan berasa terhutang budi dengan sokongan yang padu yang telah diberikan dalam usaha menghentikan persengketaan di Midanao yang sudah wujud bertahun-tahun lamanya serta sokongan keatas usaha menangani masalah yang dihadapi oleh Bangsamoro.
Majlis perayaan bagi memperingati Hari Kebangsaan ke 23 itu dihadiri oleh PYT Emaleen Abdurahaman Teo, Duta Besar Brunei di Filipina selaku tuan rumah majlis.
Majlis juga dihadiri oleh beberapa orang tetamu kenamaan dan wakil-wakil negara luar di Filipina, pegawai-pegawai kanan Kerajaan Filipina dan pegawai-pegawai kanan tentera dari Angkatan Tentera Filipina.
Duta Besar Brunei dalam ucapannya menjelaskan adalah menjadi komitmen KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan rakyat Baginda untuk terus memberikan sokongan keatas usaha memulihkan keamanan dan kemajuan di Mindanao.
“Kami berharap untuk melihat satu perjanjian keamanan yang komprehensif akan capai dan ditanda tangani oleh kedua-dua pihak yang mewakili Kerajaan Filipina dan MILF pada tahun ini”, tambah PYT Emaleen Abdurahman Teo.
Brunei telah menempatkan seramai 10 anggota Angkatan Tentera Diraja Brunei yang diketuai oleh Lt Col Mohammad Arifin di Mindanao untuk menyertai pasukan pemerhati keselamatan antarabangsa (IMT) pimpinan Malaysia.
Pasukan Brunei bertugas dan bertanggungjawab sebagai pemerhati keselamatan untuk memastikan tidak ada kejadian-kejadian yang tidak baik berlaku dalam usaha Kerajaan Filipina dan MILF melaksanakan perjanjian damai antara mereka di wilayah Maguindanao, Cotabato dan Bukidnon. |