SEBAGAI tanda ucapan tahniah kepada Bonda Hajah Siti Zarah binti Kimong, 79 tahun Himpunan Wanita NDP (HAWA) telah berkunjung dan seterusnya menyampaikan cenderahati kepada beliau pada Sabtu lalu di rumah kediaman beliau di Kampong Jalan Sultan Sulaiman Kuala Belait.
Bonda Hajah Siti Zarah, ibu kepada Dayang Hajah Kertini binti OKPSD Abang Haji Abu Hanifah telah menerima Anugerah Bakti Hijrah sempena Perhimpunan Khas Wanita Sempena Maulidul Rasul 1428 Hijriah 2007 di adakan di ICC pada 7hb April yang baru lalu.
Rombongan Hawa yang di ketuai oleh Dyg Hajah Saemah bersama dengan Timbalannya Dayang Halimah binti Janai mengambil kesempatan untuk menyampaikan cenderahati itu selepas di adakan majlis doa kesyukuran beliau bersama keluarga pada hari Jumaat lalu.
Cenderahati itu merupakan pemberian Hawa sebagai menghormati pencapaian Bonda Hajah Siti Zarah yang telah menggerakkan kegiatan-kegiatan keagamaan kaum wanita melalui Persatuan Kebajikan Wanita Belait sejak usia mudanya, biarpun beliau di katakan tidak tinggi pengajian namun telah berjaya membesarkan anak-anaknya dengan penuh kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang akademik masing-masing.
Kecekalan dan ketabahan wanita seperti Bonda Hajah Siti Zarah perlu di contohi oleh kaum wanita lainnya, dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai ibu dan juga pendidik kepada anak-anak di rumah sehingga berjaya membesarkan anak-anaknya dengan penuh cemerlang biarpun di samping itu beliau juga bergiat aktif dalam menggerakkan persatuannya.
Bukan mudah seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu kepada anak-anak untuk membahagikan masa dalam menggerakkan lapangan sampingan seperti berpersatuan, berniaga dan sebagainya namun perlu adanya ketabahan, pengorbanan masa dan sebagainya dan yang lebih penting bijak membahagikan masa bersama keluarga di rumah.
Bak kata pepatah “ untuk membina sebuah istana memerlukan ribuan pekerja, ribuan askar diperlukan untuk mempertahankan negara, tapi dalam sebuah keluarga hanya memerlukan seorang wanita untuk membina kebahagiaan semua iaitu wanita yang bergelar Isteri dan Ibu...
Biarpun sudah lanjut usianya wajah Bonda Hajah Siti Zarah masih kelihatan berseri-seri dan dala keadaan sihat walafiat hanya sudah tidak kuat untuk berdiri dan terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda.
Dalam kesempatan ini juga sama-sama kita panjatkan doa semoga beliau sentiasa sihat walafiat dan sentiasa berbahagia di sisi suami dan anak-anak beliau yang kesemuanya mengasihinya. |