LIMBARUH HIJAU 31 JANUARI 2007 - PARTI PEMBANGUNAN BANGSA (NDP) MENGUCAPKAN SETINGGI-TINGGI TAHNIAH KEPADA Biro Kawalan Narkotik (BKN) atas usaha berterusan biro tersebut untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam bebas dari najis dadah.
BKN kemarin telah menahan 2 orang lagi yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dan juga penyalahgunaan najis dadah.
Kedua-dua warga Brunei yang masing-masing berumur 40 dan 37 tahun itu telah ditahan dalam satu opearsi yang dilancarkan oleh BKN di kawasan Jalan Bengkurong/Masin.
Sebanyak 17 bungkusan yang dipercayai mengandungi dadah 'syabu' telah dirampas bersama wang tunai berjumlah B$270 dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memakan atau menghisap dadah.
Tiga hari lepas BKN menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dan merampas sejumlah dadah seberat 57.55 gram - jumlah dadah terbesar dirampas sejak Januari tahun ini.
Menurut kenyataan akhbar BKN, dadah yang dipercayai syabu itu dijumpai dalam beg plastik yang disimpan dalam bilik tidur lelaki berkenaan dan juga diruang tamu rumah.
BKN juga
mendedahkan mereka turut merampas wang tunai $2,900.
Lelaki itu disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah dan ditahan oleh sepasukan anggota Biro Kawalan Narkotik, Cawangan Bandar Seri Begawan kira-kira pukul 9.40 malam, 20 Januari di salah sebuah rumah di Simpang 842 Kampung Jangsak.
Selain daripada itu, Biro Kawalan Narkotik juga merampas alat-alat yang diubahsuai bagi tujuan menghisap dadah. Lelaki berkenaan kini dalam tahanan bagi siasatan lanjut dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27, Seksyen 3A dan juga hukuman di bawah Seksyen 6 (a) memiliki dadah terkawal, 6 (b) memakan dadah terkawal dan Seksyen 7 memiliki alat perkakas bagi memakan atau menghisap dadah terkawal.
Dalam satu lagi kes berasingan pada pagi hari yang sama, Biro Kawalan Narkotik merampas beberapa paket dadah syabu dan wang tunai lebih daripada $24,000 yang dipercayai hasil jualan dadah. Biro juga menahan empat orang lelaki tempatan berumur antara 26 tahun dan 37 tahun selepas menyerbu ke sebuah rumah di Kampung Junjungan.
Ekoran kejayaan-kejayaan itu, NDP sangat berbangga dengan BKN dan berharap BKN akan terus berusaha membersihkan negara in dari najis dadah.
Dalam hubungan ini NDP dan seluruh anggota-anggota nya akan terus bersedia memberikan kerjasama yang padu kepada usaha BKN ini dengan menongsikan apa jua maklumat yang boleh membantu BKN menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan lebih berkesan lagi.
NDP juga menaruh harapan yang tinggi agar Negara Brunei Darussalam akan menjadi sebuah negara yang bebas dari najis dadah selaras dengan visi NDP untuk melihat Negara Brunei Darussalam akan selama-lamanya menajdi sebuah negara Melayu, Islam, Beraja yang aman makmur dan sentiasa mendapata keampunan Allah jua ((Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafuur).
Sehubungan dengan itu Presiden NDP berseru kepada semua ahli-ahli untuk tidak teragak-agak memberikan maklumat mengenai aktiviti dadah dengan menelefon BKN ke talian 8777444 atau 2448877 pada waktu bekerja.