LIMBARUH HIJAU 11 DISEMBER 2006: TIMBALAN Presiden Parti Pembangunan Bangsa (ndp) Saudara Mahmud Morshidi Othman menyarankan untuk di adakan Bengkel/Seminar “Silang Budaya” yang dikendalikan oleh Himpunan Non Muslim dalam jangka masa yang terdekat ini.
Menurut beliau melalui bengkel/seminar itu nanti setiap suku kaum di kalangan ahli-ahli NDP diharapkan akan dapat mengumpulkan maklumat-maklumat dan fakta-fakta sosio budaya masing-masing. Perlaksanaan seterusnya adalah supaya hasilnya akan dapat di bukukan atau parti akan menerbitkan kamus suku kaum masing-masing yang boleh memberikan kefahaman yang mendalam kepada masyarakat umum tentang bahasa dan sosio-budaya puak etnik di negara ini.
Beliau menekankan perkara tersebut semasa perjumpaan dengan Exco-Exco Himpunan Pemuda, Wanita dan Non Muslim yang di adakan pada Ahad lalu 10hb Disember di bilik Presiden di Limbaruh Hijau Jalan Jerudong Negara Brunei Darussalam.