BERIKUT ADALAH TITAH PENUH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BERSEMPENA MAJLIS ILMU SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-60 TAHUN.
BETA bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana Majlis Ilmu Sempena Perayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Beta diteruskan lagi.
Sudah ternyata, Majlis Ilmu adalah berjaya menarik minat rakyat dan penduduk negara ini, kerana hidangan ilmu dan maklumat yang dibawakannya adalah sangat berguna.
Beta pula secara khusus melihat bahawa Majlis Ilmu pada tahun ini telah mengemukakan satu ‘tema besar’, berbunyi: Raja Berdaulat, Negara Berkat, Rakyat Selamat. Pada Beta, kedaulatan itu adalah segala-galanya.
Ia perlu dipelihara oleh generasi demi generasi. Kedaulatan adalah kuasa tertinggi yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala, bersifat kepimpinan yang benar dan sah, dimana rakyat dan negara bernaung di bawahnya.
Dalam makna, kedaulatan raja adalah juga kedaulatan bangsa dan negara. Ia merupakan lambang kewujudan bangsa dan negara itu sendiri.
Ia adalah intan yang berkilauan. Kata orang tua-tua: Dari mana pun keluarnya, ia adalah intan, dan di mana pun letaknya, ia tetap berkilauan. Itulah dia kedaulatan, suatu nilai luhur bagi raja dan negara.
Ketiga-tiga elemem ini dapatlah diumpamakan sebagai ‘satu tubuh’, yang tidak boleh ada bersamanya walau satupun, anggota yang cacat.
Ibarat maksud hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, jika satu anggota sakit, seluruh tubuh akan turut mengalaminya.
Jadi kewajiban kita ialah, memelihara semuanya itu: Kedaulatan, Raja dan Negara, sama seperti kita memelihara tubuh badan kita sendiri, jangan ada yang sampai cacat atau sakit, demi kelangsungannya selaku amanah Allah.
Dan selaku amanah, ia wajiblah dipelihara, dipupuk dan digilap. Dengan apa? Tentu saja dengan ketaatan terhadap siapa yang mengurniakannya sebagai amanah, iaitulah: Allah Subhanahu Wata’ala.
Insya Allah, dengan cara ini, kita akan selamat dan bertambah maju serta juga akan disegani oleh dunia.
Akhirnya, Beta berdoa semoga Majlis Ilmu akan terus berperanan sebagai wadah pembudayaan ilmu dan maklumat.
Pada tahun ini, disempenakan dengan perayaan Hari Keputeraan Beta Yang Ke-60 tahun, sebuah buku yang berjudul Balai Pameran Sultan Haji Hassanal Bolkiah: Penjana Tamadun Islam telah diterbitkan.
Beta sungguh gembira dengan penerbitan ini.
Berthabit dengan itu, Beta telah pula memperkenankan supaya buku ini disebarkan secara meluas, terutama sebagai hadiah kepada perpustakaan-perpustakaan institusi-institusi pengajian tinggi dan pusat-pusat penyelidikan yang tersohor didunia.
Ia juga dijadikan cenderamata kepada para jemputan di Pembukaan Rasmi Majlis Ilmu 2006 ini. Maka dengan melafazkan Bismillaahir Rahmaanir Raheem, Allahumma Salli ‘Alaa Sayyidinaa Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Beta rasmikan Majlis Ilmu 2006 Sempena Perayaan Sambutan Hari Keputeraan Beta Yang Ke-60 Tahun.
Sambil itu juga, Beta dengan sukacita melancarkan buku Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah: Penaja Tamadun Islam atau dalam judul inggerisnya: Sultan Haji Hassanal Bolkiah Islamic Exhibition Gallery: Revitalising Islamic Civilisation. Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu
‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |