TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan

 
 

BETA bersyukur kehadrat Allah Subhannahu Wata’ala kerana dapat hadir di majlis yang meriah ini.

Di mana-mana sahaja, kaum belia adalah menjadi kebangaan negara. Mereka adalah golongan yang dianggap mampu mencorakkan masa depan, serta juga selaku penerus kesinambungan cita-cita bangsa.

Biasanya golongan belia mempunyai program dan agenda mereka sendiri. Mereka bertindak dan berfikir cara mereka.

Mereka muda dan cergas, kerana itu banyaklah kerja dan aktiviti yang dapat mereka lakukan. Namun begitu, masyarakat yang sedar tidak akan membiarkan para belianya bersendirian, melainkan dipedulikan dengan sewajarnya.

Ini bukanlah suatu sekatan terhadap mereka, cuma sebagai usaha ke arah memberikan bimbingan.

Kita tidak tunduk kepada pertimbangan wang ringgit semata-mata, tetapi mengambil kira, andainya golongan belia kita tidak dididik dengan sempurna, maka apakah yang akan jadi kepada bangsa dan negara?

Apa kerugian dan keuntungannya? Sebagai peneraju masa depan golongan belia kita tidaklah boleh menampakkan sikap serta imej yang tidak serasi dengan “calak bangsa”.

Kehidupan beragama misalnya, adalah ciri khusus kita. Disamping itu, hidup dikandung adat budaya juga adalah merupakan budaya yang berharga. Dalam wadah budaya, “Orang Brunei” masih sahaja palikat dengan nilai-nilai berwargalat, menghormati orang tua, lutanan dan tidak camah mata.

Nilai-nilai inilah yang membawa kita bangun dan disegani.

Disamping itu, belia kita juga perlu memiliki prestasi di pelbagai bidang seperti pendidikan dan kemahiran-kemahiran. Ia boleh dicapai melalui saluran-saluran dan juga latihan-latihan khusus.

Menyedari hakikat ini, Kerajaan Beta telah pun menyediakan institusi-institusi bagi memperolehi pelbagai ilmu dam juga kemahiran-kemahiran.

Dengan adanya ini semua, telah membuka pintu untuk Brunei mencapai kecemerlangan bagi jangka waktu yang tidak terhad. Kaum belia adalah aset berharga dalam nation building. Mereka adalah penyumbang yang aktif, khasnya dibidang-bidang kesukarelaan.

Beta amatlah menghargai penglibatan mereka dalam bidang ini, kerana ia mencerminkan kejujuran serta semangat sedia berkorban.

Tanpa semangat ini, semua aktiviti sukarela itu mustahil untuk dijelmakan.

Beta yakin, semangat kesukarelaan bagi seorang warga bangsa, adalah menjadi penentu kepada tinggi rendahnya kemajuan yang kita capai.

Bukankah pada jiwa yang rela itu terbuka seribu pintu usaha? Inilah kekuatan dan keistimewaan kesukarelaan itu. Dalam pada itu, Beta suka mengingatkan kepada pemimpin-pemimpin belia khasnya, dan juga kepada semua yang hadir. bahawa golongan belia, terutama belia remaja adalah sentiasa terdedah kepada eksploitasi pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka.

Ada belia-belia yang digunakan untuk melariskan pelbagai produk hiburan dan costume yang tidak serasi dengan adat resam bangsa.

Mengapakah belia menjadi sasaran?

Kerana sifat-sifat mereka yang memang menarik, disamping juga faktor kejiwaan, dimana mereka mudah terpengaruh kepada perkara-perkara hangat dan baru.

Kesempatan inilah yang sering diambil oleh pihak-pihak yang berkaitan itu tanpa mempedulikan, sama ada baik ataupun buruk.

Eksploitasi terhadap kelemahan-kelemahan belia seumpama ini wajarlah jangan dibiarkan, tetapi perlu diambil perhatian serius serta ditangani oleh kita semua, khasnya para pemimpin belia sendiri.

Program-program menyuntik kesedaran perlulah disusun, termasuk juga untuk para ibu bapa dan masyarakat, sebelum ianya menjadi isu sosial yang kronik.

Beta memahami, bahawa produk-produk dalam bentuk hiburan dan costume itu, impaknya kepada belia adalah dianggap minimum, dengan alasan, sifatnya hanyalah bermusim dan tidak kekal tetapi pada Beta, kita jangan sekali-kali lupa, bahawa apa yang disemai, itulah pula yang akan dituai. Jadi berhati-hatilah.

Marilah kita sama-sama memuhasabah diri untuk kecemerlangan para belia dari seluruh ceruk rantau negara, maka Beta dengan ini sukacita mengisytiharkan bahawa pada setiap 1 hari bulan Ogos adalah Hari Belia Kebangsaan.

Sekian Wabbillahit Taufeq, Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.