Dengan amal solehlah, kita dapat membina keluarga yang bahagia, dengan menunaikan segala haknya.
Demikian juga dengan amal soleh, kita mampu membahagiakan bangsa dan negara.
Pembinaan bangsa hendaklah menitikberatkan kepada pendidikan dan pembelajaran. Jika elok dan berjaya pendidikan dan pembelajaran itu, maka berjayalah bangsa.
Namun ukuran kejayaan itu bukanlah semata-mata bila kita berjaya menguasai ilmu tetapi kejayaan mutlak ialah apabila ilmu itu tidak ‘clash’ dengan akhlak yang baik.
Siapakah yang mampu untuk membuat ilmu itu tidak ‘clash’ dengan akhlak yang baik, jawabnya ialah guru.
Gurulah sumber ilmu dan juga pembina akhlak; tanpa guru, ilmu dan akhlak akan layu.
Jadi menyedari hakikat ini, institusi perguruan adalah amat penting kepada negara,
Ianya tidak boleh diabaikan malahan hendaklah sentiasa dipupuk dan dikembangkan.
Di negara ini, salah sebuah institusi perguruan yang perlu kepada peningkatan dan pengembangan ialah Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan, memandangkan usianya juga sudah mencapai lebih 30 tahun.
Objektif penubuhannya ialah untuk menghasilkan sumber tenaga guru ugama tempatan agar kita tidak selamanya bergantung kepada tenaga luar semata-mata.
Matlamat ini, Alhamdulillah, telah berjaya dicapai dan setelah kita berjaya pada satu tahap sepatutnya kita bergerak ke tahap yang lain-lain iaitu tahap untuk memiliki kualiti yang diperlukan.
Dengan apakah cara untuk kita sampai kepada tahap yang dimaksudkan sudah barang tentu kita perlu meninggikan taraf maktab berkenaan dengan memberikan nama dan aspirasi baru.
Beta berpendapat, nama dan aspirasi tersebut hendaklah konsisten kepada perguruan semata-mata.
Ia tidak wajar dicampur-adukkan dengan yang lain-lain. Kerana sebarang percampuran mungkin saja akan mencairkan matlamat asal perguruan.
Oleh itu, bersukut dengan tahun baru Hijrah 1428 ini, beta dengan amat sukacita mengumumkan bahawa Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan akan ditingkatkan tarafnya menjadi kolej universiti perguruan.
Ia akan dikenali dengan nama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.
Kolej universiti ini nanti dihasratkan bagi mengeluarkan diploma dan ijazah.
Insya-allah, jika tidak ada aral yang menghalang, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan akan memulakan kursus pertamanya pada awal bulan Ogos 2007.
Beta melihat Negara Brunei Darussalam bolehlah berbangga dengan penubuhan ini kerana ia dapat dianggap sebagai satu-satunya pusat pengajian yang pernah wujud sepertinya di rantau ini mahupun dimana-mana juga diluar rantau.
Beta yakin ia bukan sahaja akan memenuhi keperluan Brunei sendiri malahan juga bersedia untuk membuka pintunya kepada pemohon-pemohon daripada luar negara.
Mengakhiri perutusan ini, beta dan keluarga beta dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1428.
Semoga dengan kehadirannya akan membawa keberkatan yang berpanjangan kepada kita dan negara. Amin.
Sekian wabilahitaufik walhidayah, wassalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.
|