THAILAND PERLU KEMBALI STABILKAN POLITIK DALAMAN

 
 

Rencana Pengarang
PILIHAN raya umum Thailand yang berlangsung Ahad lalu berjalan dengan tenang tanpa gangguan daripada pihak pelampau.

Pilihan raya itu merupakan yang pertama sejak rampasan kuasa tidak pertumpahan darah September 2006 yang mengusir Perdana Menteri Thaksin Shinawatra daripada kekuasaan.

Sejak kudeta, Thailand diperintah oleh pemerintahan sementara di bawah pimpinan tentera.

Pada Mei lalu, mahkamah Thailand melarang Thaksin terlibat dalam politik selama lima tahun dan membubarkan partinya, Thai Rak Thai.

Namun, banyak anggota Thai Rak Thai memutuskan untuk terus berpolitik, dan menubuhkan Parti Kuasa Rakyat (PPP). Hasilnya parti itu kembali mendapat kepercayaan banyak pengundi.

Kedudukan politik Thailand sebenarnya dalam suasana mendebarkan. Ini kerana PPP yang mendapat banyak kerusi belum mampu menubuhkan kerajaan kerana tidak mendapat jumlah kerusi majoriti mutlak.

Kini pemimpin parti-parti politik yang berjaya memperoleh kerusi dalam pilihan raya itu giat berunding bagi membentuk sebuah kerajaan di bawah sistem demokrasi semula.

Sebagai negara jiran, Malaysia mengharapkan pemilihan parti mana yang akan diperkenan pihak istana negara Gajah Putih itu akan ditentukan secara aman tanpa menimbulkan suasana kurang baik.

Pun begitu, parti yang bersekutu dengan bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Thaksin mengaku berjaya mendapat sokongan daripada parti-parti kecil untuk membentuk kerajaan campuran.

Parti saingannya pula, Parti Demokrat masih berharap mampu membentuk gabungannya sendiri dan menghalang PPP daripada meraih kuasa.

Pada hakikatnya, senario politik Thailand masih belum menentu.

Apatah lagi, rundingan untuk kerjasama antara parti-parti mungkin akan berlanjutan hingga beberapa bulan lagi. Sementara itu, parti-parti kecil mungkin menghadapi tekanan daripada pemimpin tentera agar tidak membentuk kerjasama dengan PPP.

Satu lagi masalah yang melengah-lengahkan pembentukan kerajaan ialah wujud dakwaan berlaku penyelewengan dalam pembuangan undi yang mungkin menyebabkan PPP kehilangan kerusi.

Dua parti besar lain, Chart Thai (Bangsa Thai) dan Peau Pandin (Ibu Pertiwi) yang memperoleh 65 kerusi dikatakan akan memegang peranan sangat penting.

Kejayaan PPP meraih banyak kerusi memperlihatkan, rakyat Thailand menolak kudeta dan tetap mendukung Thaksin, khususnya di kawasan pedalaman.

Namun persoalan yang masih samar-samar ialah bagaimana pihak tentera akan memberi reaksi jika PPP berkuasa, dan membawa pulang Thaksin.

Berdasarkan prinsip ASEAN yang tidak campur tangan hal ehwal negara anggotanya, apa yang diharapkan hanyalah Thailand perlu memastikan kestabilan politiknya kembali pulih demi kestabilan negara itu sendiri dan rantau ini. (DIPETIK DARI UTUSAN MALAYSIA)

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.