BANDAR SERI BEGAWN 25 JUN 2007 - Syabas dan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Jabatan Setiausaha Agung (JASA) yang diketuai oleh Haji Aminorrashid Hj. Ghazali selaku Setia Usaha Agung dan ketua pentadbir parti kerana telah berjaya mengemudikan JASA dengan lancar dan berkesan serta bersungguh-sungguh berusaha untuk mendaftar sebanyak mungkin ranting-ranting parti.
Ungkapan tahniah ini diluahan oleh Presiden NDP, Ayahnda Yasin Afandy dalam ucapan dasar beliau di majlis perasmian Kongres Agong NDP ke-2 pada 23 Jun 2007 baru ini.
Beliau dalam ucapanya juga meluahkan sedikit rasa kesal memandangkan Kongres Kedua tersebut tidak dapat berlangsung semeriah yang di rancang kerana jumlah perwakilan tidaklah seramai yang di harapkan.
"Keadaan ini terjadi kerana lebih 20 buah ranting lagi yang masih dalam proses penubuhan dan ada diantaranya sedang menunggu kelulusan Pendaftaran Pertubuhan".
"Saya berharap anggota di setiap ranting berkenaan dapat bersabar dan moga-moga dalam Kongres Agung perwakilan akan datang akan lebih meriah lagi. Insya Allah", tambahnya.
Katanya lagi Kongres ke-2 itu adalah satu kesempatan bagi perwakilan untuk bermuhasabah dan menelilti perjalanan parti dalam masa setahun yang lalu.
"Pimpinan sendiri pun belum berpuas hati akan pencapaian sepanjang setahun yang lalu. Tetapi inilah yang terupaya dan terbaik yang kita dapat lakukan".
"Saya menyeru para perwakilan, dalam rangka bermuhasabah ini supaya mengutarakan pandangan dan cadangan yang bernas bagi memperkasakan NDP. NDP hari ini adalah lebih baik dari setahun yang lalu, dan dalam masa setahun yang akan datang, ia mestilah lebih baik dari hari ini", ujar Ayahnda Yasin Affandy.
Sempena Kongres tersebut beliau juga menyeru kepada seluruh anggota parti dan mengajak rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam amnya supaya sama-sama membaharui kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Ulil Amri, iaitu Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan zuriat baginda.
"Marilah kita jadikan Kongres tahunan ini bagi mengulangi tekad Parti Pembangunan Bangsa dan seluruh warganya untuk mendukung dan membantu Kerajaan Kebawah DYMM mencapai cita-cita negara maju, aman sejahtera dan selamat sesuai dengan visi, misi dan Objektif Utama parti kita", kata Ayahnda Yasin Affandy.