Justeru, tambah sdra Morshidi, kerana itulah makanya tidak ramai pahlawan sejati yang lahir di dunia ini kerana tidak semua orang yang berjuang itu memiliki nilai-nilai kepahlawanan yang tulin”.
Sdra Morshidi juga menyentuh titah Baginda Sultan mengenai peranan yang harus dimainkan oleh empat tunggak negara iaitu, sektor perkhidmatan awam, sektor swasta, NGO dan rakyat.
“Secara peribadi saya berasa amat sedih apabila KDYMM dalam titah Baginda tidak menyentuh sedikitpun peranan parti-parti politik dalam pembangunan negara”.
“Akan tetapi senyuman mahabah dan anggukan berkali-kali yang dilemparkan oleh KDYMM dari atas pentas di raja bagi membalas lambaian Ayahnda Presiden Yasin Affandy yang menaiki kerusi roda di panas terik semasa berjalan lalu membuatkan saya terasa hiba”.
“Jelas pertalian rohani antara istana dan rakyat yang kukuh telah wujud dan insya Allah tidak dapat dipisahkan oleh sesiapa jua pun kecuali Allah SWT”, tambah sdra Morshidi.
“Percayalah rakyat Negara Brunei Darussalam dapat membaca hati nurani dan isyarat demi isyarat yang dilontarkan oleh KDYMM selama ini dan demikian jugalah kita yakin KDYMM juga dapat membaca kehendak rakyat Baginda”.
Di dalam hidup ini, tegas sdra Morshidi, tidak terdapat istilah ‘common enemy’ atau ‘musuh bersama’ yang kekal. Apa yang kekal ialah ‘common interest’ atau kepentingan bersama, jelasnya.
“Diantara istana dan rakyat mempunyai kepentingan bersama yang kekal. Kepentingan bersama yang dikongsikan oleh KDYMM dan rakyat ialah memastikan survival bangsa dan negara. Inilah pertalian kepentingan yang mengikat antara istana dan rakyat”, ujar sdra Morshidi.
Dalam konteks kemerdekaan yang dikecapi negara selama 23 tahun ini sdra Morshidi menjelaskan bahawa sebuah kemerdekaan tidak pernah dihidangkan dengan dulang emas kepada kita oleh kuasa penjajah akan tetapi diperjuangkan bersama oleh istana dan rakyat.
Menurut sdra Morshidi kebangkitan nasionalisma di Brunei turun dari Istana.
“Sejarah memboktikan bahawa Al Marhum Sultan Ahmad Tajuddin adalah pengasas Barisan Pemuda Brunei (BARIP) yang memperjuangkan kemuliaan bangsa dan negara untuk merayakan negara melalui tuntutannya keatas Sarawak, Sabah dan menuntut kenaikkan royalty minyak”.
"Malangnya perjuangan BARIP terhenti berikutan kemangkatan Sultan Ahmad Tajuddin ketika berada di Singapura"
“Pejuang-pejuang kita seperti Ayahnda Yasin Affandy yang ketika itu merupakan Setiausaha Agong Parti Rakyat Brunei (PRB) bersama teman-temannya seperti Allahyarham A.M Azahari, Awang Hapidz Laksamana, Zaini Haji Ahmad dan lain-lain sebenarnya tidak lebih daripada menyambung perjuangan Istana tersebut ”.
“Justeru adalah tidak wajar dikalangan pemimpin-pemimpin rakyat mendabik dada bahawa perjuangan membebaskan dan merayakan Negara Brunei Darussalam adalah monopoli sebelah pihak sahaja”, tegas sdra Morshidi.
“Dalam krangka perjuangan NDP, agenda utama kita ialah untuk memperkasakan NDP sehingga kita berupaya memperkasakan bangsa dan menjadi ‘powerbase’ yang kukuh untuk KDYMM dan zuriat Baginda seperti yang terdapat dalam tujuh tonggak misi NDP”.
“Untuk itu seluruh ahli-ahli NDP hendaklah berkerja keras merekrut seramai-ramainya ahli dan sama-sama mendidik mereka untuk menjadi anggota yang berdisiplin dan berhemah serta mengelakkan dari sebarang perpecahan. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”, ujar sdra Morshidi lagi.