Sultan risau nilai murni kian meluntur

 
 

BRUNEI DARUSSALAM: 22 OGOS 2006: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda dimajlis sempena sambutan Israk Mikraj di Tutong Isnin kemarin meluahkan rasa risau Baginda terhadap penghakisan nilai-niali murni kemanusian yang melanda dunia ketika ini oleh arus deras kemajuan yang didorong oleh kerakusan nafsu manusia sendiri.

"Nilai budaya, amal salih dan moral sedang tergugat teruk ekoran gelombang kemajuan yang tidak menentu", titah Baginda dan menambah "manakala kemajuan pada lazimnya disukat melalui ciptaan dan dengan bertambah canggihnya ciptaan maka anggapan terhadap kemajuan juga turut meningkat".

Baginda Sultan juga bertitah menyentuh mengenai peperangan pada era baru ini dimana pihak yang kuat boleh dengan sesuka hati menggugurkan bom dan peluru ke sasaran yang tidak sepatutnya menjadi sasaran seperti rumah dan bangunan penempatan awam, pasar, lapangan terbang, jambatan, lebuh raya dan ladang tempat orang mencari rezeki.

Ini semua, titah Baginda Sultan bukan tindakan yang mempamerkan kehebatan kemajuan teknologi persenjataan sebaliknya satu bentuk kemajuan yang menjadikan tamadun serta kewujudan manusia sendiri mangsa sasarannya.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah dimajlis sambutan Israk Mikraj (INFOFOTO)

Baginda menyeru umat Islam untuk melihat situasi ini dengan mata hati kesedaran bukannya dengan cara mengikut-ikut.

Tegasnya, “Kita perlu bercermin kepada agama kita yang suci kerana agama ini telah pun menyediakan panduan yang cukup sempurna.”

“Kita yang tidak sakit ini, wajiblah bersimpati kepada orang yang sakit dan kita yang terlepas daripada kezaliman, perlulah bersimpati dan malah menolong orang yang dilanda kezaliman,” titah Baginda Sultan.

Baginda Sultan dalam titahnya menegaskan Baginda sendiri telah turut meyakinkan anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang Brunei bersedia menghulurkan sebarang bantuan bagi menghentikan peperangan di Lubnan.

Seterusnya Baginda Sultan bertitah, ekoran penindasan itu baru-baru ini Baginda Sultan juga telah menitahkan supaya diadakan sembahyang hajat dan bacaan Qunut Nazilah pada setiap Jumaat sebagai tanda simpati kepada Umat Islam serata dunia yang sedang dilanda musibah.

”Ajaran yang dibawa oleh Israk dan Mikraj adalah cukup untuk membuat kita kaya dengan petunjuk ketuhanan yang kita perlukan,” titah Baginda Sultan.

Jiwa dan semangat keagamaan yang semakin menipis, titah Baginda Sultan lagi, perlu di siram denga ajaran Israk dan Mikraj.

Sehubungan itu, Baginda Sultan bertitah umat Islam tidak hanya patut membaca dan menghayati peristiwa yang berlaku dalam Israk dan Mikraj itu pada setiap tahun tetapi lebih penting ialah mengambilnya sebagai garis panduan untuk amalan keimanan.

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.