“Ini adalah meliputi pengurusan sumber tenaga manusia di bidang-bidang teknologi dan perniagaan. Ia mesti dirancang secara teratur untuk melahirkan para pakar dan cendekiawan didalam bidang masing-masing”, tegas Baginda Sultan.
Kalau ini ada, tambah Baginda Sultan, bererti kita sudah layak sebaris dengan negara-negara maju atau membangun di peringkat serantau dan global.
“Jadi dalam hubungan ini, nyatalah tenaga itu mesti jadi focus utama kita, khasnya yang bernama tenaga manusia”, titah Baginda Sultan lagi.
Baginda Sultan menambah, ”tanpa sumber tenaga ini, mustahil kita dapat melangkah maju sekalipun kita kaya dengan lain-lain sumber”.
Baginda Sultan dalam titah Hari Kebangsaan ke 23 juga menyentuh secara menyeluruh mengenai kemajuan negara membangun bangsa selama 23 tahun ini.
Tegas Baginda Sultan dalam usia 23 tahun ini, kita sudah menjadi matang dan mampu untuk memahami cabaran-cabaran hidup.
Menurut Baginda Sultan di antara cabaran paling mencabar ialah kesediaan kita mengakui kelemahan yang ada disamping tidak pula lambat untuk membuat pembaikan-pembaikan.
“Dalam perkhidmatan awam, kita dikehendaki berfikiran terbuka untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada dan juga bersikap pro-aktif untuk memperolehi kecermelangan”.
“Demikian pula pihak swasta digalakkan sama-sama untuk menyumbang kepada pertumbuhan negara khasnya dalam memperkasa kadar pengeluaran kasar negara (GDP) melalui kegiatan-kegiatan ekonomi yang lebih terarah dan bermakna”.
“Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan juga dapat dilihat sebagai penting untuk membina negara dan bangsa dengan kegiatan-kegiatan mereka yang bermanafaat”.
“Di samping itu, orang ramai juga di satu pihak mempunyai tanggungjawab tersendiri dengan peranan-peranan mereka yang beraneka-jenis”.
Keempat-empat sektor inilah, menurut Baginda Sultan, yang menjadi tunggak utama negara untuk ia terus wujud selaku negara merdeka yang mampu berhadapan dengan suasana dunia yang amat kompetitif dan tidak menentu ini.
“Kegiatan-kegiatan berdaya maju yang berasaskan kepada kematangan dan kemantapan sektor-sektor berkenaan itulah merupakan sumbangan paling bererti kepada negara”.
“Dalam makna sama-sama memberi dan menerima bukan setakat menjadi pengguna kepada sumber-sumber negara”, tegas Baginda Sultan lagi.
Tambah Baginda Sultan lagi, “Kematangan dan kemantapan itu tidak syak lagi menjadi bukti keupayaan kita memperkasa bangsa”.
Sementara itu, Baginda Sultan dalam titah Baginda juga menyentuh isu pengurusan alam sekitar yang menurut Baginda satu lagi aspek penting di dalam era baru hari ini.
“Ini juga turut memerlukan sumber tenaga yang berkualiti”, tegas Baginda Sultan.
“Kerjanya memang sangat rumit kerana ia berkaitan dengan dalaman manusia”.
“Kawalan dan arahan boleh sahaja dibuat tetapi mustahil untuk melihat kawalan dan arahan itu 100% dipatuhi”.
“Jadi jawapannya, kita perlu mempunyai mekanisme yang kemas termasuk tenaga-tenaga pakar yang lutanan untuk menanganinya”.
“Di sini suka juga beta mengingatkan supaya semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab untuk memelihara alam sekitar menjadikannya menarik dan bersih, tidak terdapat sampah-sarap yang berselerak terutama di tempat-tempat membeli-belah, pasar-pasar, termasuk juga pasar tamu dan pasar tani”, titah Baginda Sultan lagi sambil meluahkan kerisauan Baginda terhadap fenomena alam dan bencana-bencana yang sering melanda.
“Kita telah pun sama-sama manyaksikan beberapa musibah yang menimpa dunia, khasnya jiran-jiran kita”.
“Kita mengikutinya dengan penuh simpati bercampur cemas kerana apa juga bentuk bencana itu, bagi orang yang terlibat, tetap akan merasakan pedihnya”.
“Melihat kepada situasi ini, kita pun juga perlu berwaspada disamping jangan lupa merafakkan doa kepada Allah, semoga negara kita terus dilindungi dari sebarang malapetaka.”
“Dengan semangat simpati yang dalam serta sifat kemanusiaan yang tinggi, inilah mengasaskan hubungan kita dengan warga dunia antarabangsa”.
“Kita berharap jika Brunei dengan izin Allah, menikmati kesejahteraan maka demikian itu pula kita mengharapkan rakan-rakan kita di seluruh dunia dapat menikmatinya sama”, titah Baginda.
|