LIMBARUH HIJAU SELASA 29 MEI 2007: KHUTBAH JUMAAT lepas dengan jelas menekankan bahawa adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita semua untuk mempertahankan maruah bangsa dan negara serta kemakmurannya.
Dalam konteks mempertahankan maruah bangsa dan negara ini, Khutbah tersebut menekanan usaha mempertahankan maruah bangsa dan negara ini tidak pula semestinya melalui sistem pertahanan dan keselamatan negara sahaja.
Secara meluas khutbah tersebut jelas menghantar satu mesej bahawa tidak kira individu itu seorang wanita remaja, pemuda, anak sekolah, suri rumah tangga, orang pensyen, warga emas waima ia seorang pengangur ianya tidak akan terlepas dari memikul tanggungjawab yang sama.
Khutbah juga menekankan Agama Islam amat memandang tinggi kepada umatnya yang berjuang mempertahankan agama, bangsa dan negara, kerana ia merupakan sifat mulia dan disanjung tinggi oleh Allah.
Sementara itu khutbah juga menjelaskan bahawa semangat kepahlawanan bukanlah bermaksud mahir menggunakan senjata semata-mata tetapi ia adalah rangsangan dalaman yang menyemarakkan semangat tinggi dalam diri sehingga sanggup mengorbankan nyawa dan harta demi tanah air.
Seseorang yang bersemangat itu, mengikut khutbah lagi, tidak semestinya tentera atau polis tetapi juga mereka yang mempunyai kesedaran dan tanggungjawab untuk membela agama, bangsa dan negara serta menyumbang buah fikiran bagi membanteras ancaman musuh.
Dalam masa yang sama imam-imam melalui khutbah Jumaat juga berkata "sesungguhnya pahlawan yang berjaya itu bukan setakat mempunyai semangat kepahlawanan semata-mata akan tetapi hendaklah mempunyai nilai ketakwaan yang tinggi seperti yang telah ditunjukkan oleh para pejuang Islam".
Sesebuah negara yang aman, damai dan makmur adalah kerana ia mempunyai anggota angkatan tentera yang memiliki ciri-ciri seperti beriman, bertakwa, berakhlak mulia, taat kepada pemimpin, jujur dan amanah, semangat juang yang tinggi dan tahan lasak.
"Segala pengorbanan yang dilakukan untuk mempertahankan keamanan negara hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas, diniatkan sebagai ibadat dan hendaklah dilakukan berdasarkan semangat cintakan negara yang tinggi serta mengharapkan keredaan daripada Allah," khutbah Jumaat seterusnya menekankan.
Apa yang di ketengahkan dalam khutbah Jumaat itu sangat bertepatan dan seirama dengan peggangan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang melihat maruah dan kadaulatan negara serta usaha memelihara dan mempertahankannya bukan dari satu tingkap sahaja.
Memelihara dan mempertahankan maruah bangsa dan negara berkait rapat dengan keselamatan negara justeru anggota-anggota NDP telah diajak untuk sama-sama menginsafi bahawa tuntutan keselamatan negara kita yang kecil ini adalah lebih kepada usaha mengembangkan nilai-nilai kebangsaan yang kita anggap amat penting iaitu survival jatuh bangunnya masyarakat (survival of the population), keutuhan wilayah (territorial integrity) dan kemerdekaan politik (political independence).
Dari tingkap survival bangsa, misalnya, seluruh anggotanya, sesuai dengan komitmennya yang tersurat di dalam perlembagaan parti telah diseru agar terus berdiri teguh dan mapan pada setiap saat membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai pemimpin dan pemerintah untuk menjalankan polisi-polisi yang mampu mencorakkan dan meningkatkan tahap kehidupan serta keselesaan hidup rakyat seluruhnya.
Masyarakat yang baik, berdayamaju dan berdayasaing lazimnya terhasil daripada polisi dalaman yang baik dan dilaksanakan, samada dari sudut sosial, ekonomi, agama dan pendidikan yang cemerlang.
Dari tingkap keutuhan wilayah pula, NDP melihat isu ini sebagai aspek yang sangat penting yang membawa maksud bahawa integriti seluruh wilayah Brunei Darussalam hendaklah kita jaga dan pertahankan dengan sesungguh hati, jiwa dan raga.
Kegagalan menjaga integriti wilayah akan membawa kepada perpecahan negara dan paling tidak akan menyebabkan wilayah kita semakin terhakis.
Pendekatan untuk menjaga integriti wilayah ini memerlukan pendekatan yang bukan semata-mata bersifat ketenteraan tetapi juga dari sudut politik, persatuan dan kesatuan seluruh rakyat serta kesetiaan seluruh rakyat yang tidak berbelah bagi kepada negara dan raja yang dicintai.
Sejarah telah mengajar betapa pergolakan politik yang negatif di dalam negara serta perlaksanaan dasar-dasar yang lemah, telah dieksploit oleh kuasa-kuasa asing sehingga mereka berjaya memecah dan mengecilkan negara Brunei Darussalam, yang suatu ketika dahulu adalah sebuah empayar yang mempunyai keluasan wilayah melebihi satu juta kilometer persegi.
Dari tingkap kemerdekaan politik pula NDP melihat isu ini merupakan isu yang sangat sensitif.
Ini kerana kebanyakan negara-negara kecil mempunyai pengalaman sejarah lampau yang pahit termasuk pengalaman berada di bawah penjajahan.
Justeru, ancaman terhadap kedaulatan, kemerdekaan atau kebebasan politik dalam sesebuah negara dilihat sebagai amat membimbangkan kerana penjajahan dalam bentuk baru boleh saja berlaku melalui pelbagai cara, antaranya melalui kesempatan daripada wujudnya tahap kemiskinan yang meluas, globalisasi yang membolehkan negara luar mengawal tindakan sesebuah negara tanpa sedar terutama dengan menggunakan instrumen ekonomi atau alasan Foreign Direct Investment (FDI).
Demikianlah kita melihat persoalan mempertahankan maruah bangsa dan negara dan hubungannya dengan keselamatan negara dan survival bangsa.
Justeru itu NDP meletakannya sebagai keutamaan dalam agenda perjuangan parti.
Kesedaran rakyat yang menyeluruh disertai dengan iltizam, akan dengan sedirinya melahirkan rakyat yang berkualiti tinggi, berilmu, beriman, bertaqwa dan mempunyai kekuatan ampuh untuk bukan sahaja berdayasaing dengan lain-lain bangsa dan negara di peringkat antarabangsa malahan boleh melahirkan masyarakat yang berjiwa pahlawan yang siap siaga mempertahankan maruah bangsa dan negara.
Bertepatan sekali seperti seruan khutbah Jumaat itu bahawa perananan dan tangungjawab ini tidak seharusnya diletakkan ke atas pundak bahu Kebawah Duli Yang Maha Mulia semata-mata atau kepada tentera dan polis sahaja.
Dalam konteks ini NDP akan terus berusaha mengajak seluruh lapisan masyarakat untuk berjuang mempertahankan agama, bangsa dan negara atas keyakinan semua ini adalah tuntutan agama dan merupakan sifat mulia dan disanjung tinggi oleh Allah.
Seentara itu NDP juga berharap seluruh jentera pemerintah akan sentiasa bergerak seiring dan bersepadu dengan penuh jujur dan amanah.
Kurangkanlah sebarang perasangka buruk dan fitnah memfitnah kerana ianya tidak membawa apa-apa keuntungan kepada negara dan bangsa.
Insyaallah rakyat yang bebas dari kemiskinan, mempunyai kualiti hidup yang tinggi, bebas dari sebarang perasangka dan dipandu oleh keimanan dan ketakwaan akan melahirkan rakyat yang bulat tekad dan kecintaan luhur terhadap raja, bangsa dan negara.
Insyaallah, dengan ikrar kita untuk menjunjung titah membangun bangsa, Negara Brunei Darussalam akan akhirnya seiring dan sejalan dengan negara-negara membangun yang lain.
Walaupun kita kecil namun akan tetap dilihat besar. Wallahwaalam.