Parti Pembangunan Bangsa (NDP) bercadang akan menganjurkan satu seminar bertujuan untuk mengupas dan mendalami mesej disebalik titah yang disampaikan kepada rakyat oleh Kebawah Dulia Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena hari ulang tahun keputeraan Baginda kali ke 60 baru lalu.
Cadangan ini dibentangkan oleh Timbalan Presiden NDP, sdra Mahmud Morshidi Othman semasa mempengerusi sidang Dewan Harian NDP di Ibu Pejabat NDP di Limbaruh Hijau Jerudong pagi tadi dan disokong sebulat suara oleh Dewan Harian.
Insya Allah surat permohonan untuk menganjurkan seminar tersebut akan dipanjangkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam beberapa hari lagi.
“Titah Baginda Sultan merupakan titah yang bernas dan mengandungi mesej dan hasrat yang ingin disampaikan oleh Baginda Sultan kepada semua lapisan masyarakat dan seluruh pelaku-pelaku (players) besar di dalam negara, termasuklah institusi politik, elit elit pentadbiran dan pemimpin akar umbi. Kita hendaklah sedar betapa titah Baginda ini memperlihatkan kerisauan
Baginda terhadap masa depan negara dan survival bangsa ketika negara sedang berhadapan dengan pergolakkan dunia yang penuh mencabar dan asakan globalisasi yang deras”, jelas sdra Morshidi.
“Selaku parti politik akar umbi yang sudah bertekad untuk mendokong dan menyokong Baginda Sultan dan Kerajaan Baginda, NDP ingin melihat mesej titah dan kerisauan Baginda Sultan bukan sahaja dihayati akan tetapi dijadikan pemangkin dan pengerak kearah usaha memastikan survival bangsa terjamin”.
“Dari itu matlamat yang ingin kita capai melalui seminar ini ialah untuk membangkitkan kesedaran dan komitmen seluruh sektor masyarakat mengenai titah Baginda Sultan pada 15 Julai 2006 itu yang menekankan keperluan menjana survival bangsa dalam konteks keselamatan dan keamanan selagi ada bulan dan mata hari”, tambah sdra Morshidi.
Katanya seminar tersebut juga bertujuan membangkitkan kesedaran betapa sebagai sebuah organisasi politik NDP wajib berada dibarisan hadapan untuk menyahut sebarang titah Baginda Sultan itu lebih-lebih lagi sebarang titah Baginda Sultan adalah merupakan dasar yang mesti dijunjung oleh semua pihak.
“Melalui seminar tersebut NDP berharap akan dapat membangkitkan kesedaran kepada segelintir kakitangan awam yang belum mengerti betapa pentingnya kumpulan ini melihat titah Baginda Sultan sebagai sesuatu yang serius justeru hendaklah berlapang dada berkerjasama dengan semua pihak termasuk institusi politik untuk menjunjung dan merealisasikan aspirasi Baginda Sultan itu”.
“Ini sesuai dengan roh titah Baginda Sultan yang menyeru supaya dikaji semula segala proses perlaksanaan yang lembab dan mengatasinya dengan cepat serta menilai semula tahap koordinasi antara satu dengan yang lain supaya dapat dipertingkatkan dari masa kesemasa”.
“Kita juga ingin membangkitkan kesedaran kepada masyarakat supaya merobah sikap dan persepsi terhadap survival bangsa bukan sebagai sesuatu yang ringan akan tetapi sesuatu yang mendesak yang mesti ditangani oleh semua pihak dengan pantas”, tegas sdra Morshidi lagi.
Pada pemahman NDP, inilah yang di maksudkan disebalik titah Baginda Sultan itu, iaitu seluruh masyarakat mesti menerima hakikat bahawa gagasan untuk memperkukuhkan survival bangsa ini adalah tanggungjawab dan tugasan semua, tambahnya lagi.
Timbalan Presiden NDP mencadangkan ‘Menjunjung Titah – Kearah Menjamin Survival Bangsa’ sebagai tema seminar tersebut dimana lima tajuk penting sebagai pecahan dari semangat titah Baginda Sultan akan dibincangkan iaitu isu Keselamatan Permakanan, Masa Depan Ekonomi Negara, Keselamatan Serantau, Keselamatan Sosial, Penjanaan Tamadun dan Hubungannya Dengan Agama.
“Kita merancang akan mengundang ahli-ahli panel terdiri dari wakil-wakil dari pihak kerajaan, wakil-wakil dari ‘Think Tank’ yang baru ditubuhkan dan ilmuan-ilmuan serta cerdikpandai dari dalam dan luar negara yang kita fikirkan boleh menyumbang dalam menjayakan seminar tersebut”.
“Contohnya wakil dari Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama akan dicadangkan untuk membentangkan kertas kerja mengenai keselamatan permakanan, wakil dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri misalnya boleh membentangkan isu keselamatan serantau, dan wakil dari para ilmuan pula akan diminta membincangkan isu keselamatan sosial dan juga ahli panel dari ‘Think Tank’ negara untuk membincangkan isu masa depan ekonomi negara dan sistem perlaksanaan berkesan”, jelas sdra Morshidi.
Timbalan Presiden NDP meluahkan harapan agar program ini akan mendapat sokongan dari semua pihak dimana kejayaannya akan dapat menyumbang kepada penghayatan yang bermakna terhadap titah, aspirasi dan dasar yang dizahirkan oleh Baginda Sultan kepada seluruh rakyat sempena dirgahayu Baginda yang ke 60. |