Usaha-usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat juga lebih mudah dapat dilakukan di dalam suasana harmoni dan penuh perpaduan.
Inilah kelebihan negara kita yang patut disyukuri.
Kita, Insya-allah, akan meningkatkan lagi usaha-usaha pembangunan negara sebagaimana yang dirancang.
Strategi pembangunan kita ialah keseimbangan diantara fizikal dan rohani.
Kedua-duanya mestilah selari untuk kebaikan. Pembangunan yang seimbang itu tidak akan menghampakan siapa-siapa; kita mahu melihat hasil kita, titik peluh kita dapat memanfaatkan kepada anak cucu.
Merekalah yang akan meneruskan pembangunan sehingga bertali rantai. Mereka juga bakal pewaris dan penyambung kegemilangan bangsa.
Dalam hubungan ini, pihak perkhidmatan awam perlu turut menilai prestasinya selaku jentera pengerak pembangunan negara.
Peranannya bukan setakat menyediakan perkhidmatan tetapi juga selaku pemudah cara pembangunan negara.
Kerana itu, beta sering mengingatkan supaya perkhidmatan awam akan sentiasa mesra pelanggan, terutama sekali untuk membolehkan pihak swasta memainkan peranan lebih aktif didalam memajukan ekonomi negara.
Maka ke arah ini, beta berharap supaya tahun 2007 akan jadi wadah meningkatkan pemberian perkhidmatan kepada orang ramai.
Dalam pada itu, beta juga berseru kepada pihak swasta supaya lebih berani merentasi sempadan dan meneroka peluang-peluang pasaran yang lebih besar dan luas.
Negara kita telah menjalin pelbagai hubungan dua hala yang dapat dijadikan asas bagi mengembangkan rangkai kerja pada mencari pasaran-pasaran baru.
Langkah ini perlu kerana mahu tidak mahu, perkembangan dunia urusniaga sekarang adalah memaksa kita untuk lebih terbuka dan berani.
Ini bermakna pihak swasta perlu lebih berdaya saing dan dinamik. Mengenai hubungan antarabangsa, Negara Brunei Darussalam secara aktif akan terus melibatkan diri dengan pertubuhan-pertubuhan dunia seperti pertubuhan bangsa-bangsa bersatu ASEAN, OIC dan lain-lain.
Negara kita akan terus berpegang kepada cara penyelesaian melalui dialog iaitu sebagai jalan paling baik dalam menghadapi apa juga masalah lebih-lebih lagi ke arah mengelakkan persengketaan dan pertumpahan darah.
Sebagai sebuah negara kecil yang sedang membangun, negara kita tidak mengabaikan pembangunan insan dalam erti yang seluas-luasnya.
Wadah pembangunan tersebut ialah bidang pendidikan. Bidang ini akan terus dipupuk dan disuburkembangkan. Ia mesti unggul dan tegak selari dengan aspirasi bangsa.
Maka untuk itu, bertepatan dengan tahun baru 2007, beta dengan amat sukacita mengumumkan penubuhan sebuah universiti Islam sebagai universiti ke-2 di negara ini.
Universiti tersebut akan dikenali sebagai Universiti Islam Sultan Sharif Ali. Universiti ini kita hasratkan akan menjadi mercu kegemilangan Islam di negara kita dan, Insyallah, ia akan turut berperanan melahirkan para ulama dan cendekiawan yang berwibawa yang diperlukan oleh negara.
Ada pun pengambilan pertama pelajar untuk universiti ini, Insya-allah, akan dibuat pada bulan Ogos 2007 ini.
Akhirnya, beta ingin merakamkan penghargaan kepada semua peringkat dalam perkhidmatan awam, pasukan-pasukan keselamatan dan juga kepada mereka yang berkhidmat di sektor swasta di atas usaha-usaha ikhlas mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Beta dan keluarga beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2007 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.
Sama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT terus melimpahkan rahmat dan perlindungannya kepada kita, kepada kita semua dan kepada negara.
Sekian wabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. |