Parti Pembangunan Bangsa (NDP) sangat berasa risau dan gerun dengan pergolakan yang sedang berlaku di Timur Tengah berikutan meletusnya konflik berdarah antara kumpulan Hizbollah dan Israel dan juga serangan berterusan tentera Israel ke atas kumpulan Hamas di Gaza dan Tebing Barat.
“NDP melihat pergolakan ini dengan rasa bimbang kerana ianya boleh melarat menjadi satu konflik yang lebih besar yang akan mengheret negara-negara negara-negara lain ke kancah konflik Hezbollah Palestine -Israel ini.
“NDP juga berasa sangat sedih kerana konflik yang berterusan bukan sahaja telah mematikan proses damai di Timur Tengah malahan telah banyak mengorbankan nyawa yang tidak berdosa dan kemusnahan harta benda yang besar lebih-lebih lagi apabila serangan bom dan peluru-peluru berpandu disasarkan kepada orang–orang awam dan infrastruktur”.
“NDP juga khuatir konflik yang berterusan itu berpotensi untuk menjadi satu konflik yang lebih besar dan meluas yang boleh sahaja mengheret seluruh masyarakat dunia ke kancah penderitaan yang tidak berkesudahan”.
“Selaku parti politik yang terbesar di Negara Brunei Darussalam yang cintakan kedamaian dan keamanan sejagat, NDP dengan ini merayu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu segera mengambil tindakan untuk meredakan keadaan yang gawat di Timur Tengah pada ketika ini”
“Kepada Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia, diserukan agar menggunakan segala pengaruhnya untuk memujuk Israel supaya ke meja perundingan damai, demikian juga OIC dirayu untuk segera tampil ke hadapan untuk memujuk Hezbollah dan Hamas untuk kemeja perundingan”.
“Sesungguhnya natijah mana-mana jua peperangan ialah kemusnahan, kesengsaraan dan kerugian yang amat besar justeru sebarang konflik bersenjata dan peperangan hendaklah diselesaikan secara aman melalui perundingan dan diplomasi”.
“NDP juga merayu agar semua pemimpin-pemimpin ugama besar di dunia yang cintakan kedamaian dan keamanan agar tidak mendiamkan diri melihat pertumpahan darah dan kemusnahan harta benda yang berterusan berlaku di Timur Tengah”.
“NDP menaruh harapan kepada mereka selaku pemimpin-pemimpin yang berpengaruh yang cintakan kedamaian dan keamanan akan mara ke hadapan atas dasar kemanusiaan tanpa mengira bangsa dan agama untuk memainkan peranan masing-masing dalam membantu meredakan keadaan yang semakin gawat di Timur Tengah sekarang”.
|