LIMBARUH HIJAU 02 SEPTEMBER 2007 - JAWTANKUASA KEBAJIKKAN DAN KESEJAHTERAAN INSAN (KEKIN) akan meneruskan projek keperihatinan masyarakat kurang mampu sempena Parti Pembangunan Bangsa (NDP) memperingati hari ulang tahun penubuhannya kali ke 2 pada tahun ini dan juga di musim bulan Ramadhan akan datang ini.
"Kita akan meneruskan aktiviti mengagihkan derma-derma berbentuk beras, gula, minyak makan dan
makanan asas yang lain kepada penerima-penerima yang telah dikenalpasti sempena NDP menyambut hari ulang tahun penubuhannya pada 31 Ogos tahun ini. Projek ini juga akan diteruskan di musim bulan Ramadhan nanti", jelas Dayang Hajjah Armah Othman, Pengerusi JK KEKIN kepada Aspirasi-NDP.
Menurut beliau di musim perayaan hari puja usia KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassaal Bolkiah Mu'izzadin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kali ke 61 pada Julai lepas, KEKIN telah berhasil menyumbangkan derma-derma kepada bebarapa keluarga yang kurang mampu, balu dan juga kepada seorang warga emas di
Brunei-Muara.
"Kita berharap akan dapat terus melaksanakan projek-projek serupa ini dengan baiknya sebagai salah satu aktiviti pemedulian masyarakat kurang mampu sempena hari ulang tahun penubuhan NDP dan juga di musim bulan Ramadhan nanti", ujar Hajjah Armah.
Katanya seperti yang sudah-sudah kejayaan projek tersebut banyak bergantung kepada sokongan dan dokongan ahli-ahli dan juga penyumbang-penyumbang derma 'senyap' (silent donors) yang perihatin dan bermurah hati untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang kemampuan melalui NDP.
|
Penyampaian sumbangan derma kepada warga emas di Kg Pengiran Kerma Indera Lama |
"Di kesempatan ini dan sempena hari ulang tahun penubuhan NDP kali ke 2, saya mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka semua terutama kepada
penderma-penderma 'senyap' yang perihatin dan bersedia membantu menjayakan projek KEKIN dengan menyumbangkan derma-derma dengan ikhlas".
"Kita rasa sangat terharu dengan kesediaan dan keikhlasan mereka menghulurkan bantuan berbentuk derma beras, gula, minyak makan, makanan asas yang lain melalui NDP. Sering saya menerima panggilan telefon dari hamba Allah yang tidak mahu dikenali untuk saya mengambil sumbangan mereka dari kedai-kedai kooperasi untuk diagih-agihkan kepada penerima-penerima yang sudah dikenalpasti oleh KEKIN".
"Kadang-kadang sumbangan derma ini dihantar terus ke rumah saya atau ke Limbaruh Hijau tanpa saya mengetahui siapa penderma tersebut. Walaupun demikian kita memahami maksud mereka agar NDP dapat mengagih-agihkan kepada yang memerlukannya".
Katanya lagi penderma-penderma senyap ini bukan sahaja bersedia menderma kepada orang yang kurang mampu malahan ada kalanya mereka juga turut bersedekah makanan dan minuman apabila mengetahui NDP mengadakan majlis keraian.
"Alhamdullilah dan kita bersyukur kehadrat Allah SWT atas segala rahmatNya mengerakkan hati-hati ahli-ahli NDP dan penyumbang-penyumbang senyap yang lain untuk terus membantu NDP mengerakkan kerja-kerja amal yang berkebajikkan. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa merahmati dan meluaskan lagi rezeki-rezeki mereka semua Amin", ujar Dayang Hajjah .Armah.
|
Derma sumbangan kepada keluarga kurang mampu di Kampong Pulau Kubu Jerudong. |