Oleh Azman Anuar (WARTAWAN UTUSAN)
PARA peminat politik tanah air kini membincangkan tentang perkembangan orang Melayu yang tidak berminat menjadi pemilih atau pengundi. Bagi bukan peminat politik, mereka tidak peduli bagaimana pilihan raya boleh mengubah suasana sosiopolitik dan ekonomi negara.
Pendedahan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman pada Julai lalu bahawa 80 peratus daripada 4.9 juta rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar sebagai pengundi adalah orang Melayu.
Untuk menggalakkan golongan yang layak mendaftar tetapi belum berbuat demikian maka program Gerakan Perdana Pendaftaran Pemilih dilancarkan. Tetapi setelah program itu berakhir bulan lepas, sasaran untuk mendaftarkan 2.5 juta pemilih baru kurang berjaya. Sebaliknya hanya satu juta sahaja pemilih baru berjaya didaftarkan. Sekali lagi, didapati 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat yang tidak mendaftar dalam program pendaftaran itu terdiri daripada orang Melayu dan kaum bumiputera yang lain.
Hakikatnya, sebahagian orang Melayu telah mengabaikan tanggungjawab penting dalam menentukan kerajaan dan wakil rakyat.
Kita perlu juga bertanya, mengapa mereka tidak berminat untuk campur tangan dalam politik?
Dengan tahap pendidikan yang semakin tinggi dan punya kedudukan ekonomi yang lebih baik berbanding orang dahulu, adakah semua ini melekakan mereka terhadap tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya. Mungkinkah mereka mempunyai tanggapan bahawa mereka tidak mengharapkan bantuan wakil rakyat lagi pada zaman yang serba moden dan canggih ini?
Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Hashim Suboh berpendapat sebilangan orang Melayu yang tidak mendaftar sebagai pemilih terperangkap dengan budaya selesa kerana menganggap kemajuan rakyat dan negara selama ini adalah tanggungjawab kerajaan.
“Mereka menganggap siapa sahaja yang menjadi wakil rakyat dan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan juga tidak penting. Ini kerana dalam kepala mereka, wakil rakyat atau kerajaan mana sekalipun bertanggungjawab untuk berkhidmat dan memajukan rakyat dan negara,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Hashim mengkritik golongan Melayu sebagai berfikiran singkat. Mereka ini tidak memahami keperluan untuk memilih wakil rakyat atau parti yang berkualiti, mempunyai visi dan punya keupayaan untuk membentuk kerajaan yang berkesan.
Beliau melihat faktor yang menyebabkan orang Melayu kurang ghairah untuk mendaftar sebagai pemilih adalah kerana sifat terlalu yakin dan mengambil mudah. “Sebilangan yang lain pula memandang remeh tentang kesan satu (1) undi yang mereka miliki terhadap keputusan pilihan raya.”
Kalangan profesional pula, kata Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kangar, Perlis ini, mereka terperangkap oleh ego dan kesombongan melulu yang menganggap pilihan raya adalah proses politik yang hanya melibatkan ‘orang politik dan organisasi politik’ semata-mata.
Mereka juga gagal membuat penilaian profesional tentang akibatnya jika urusan memilih kerajaan diabaikan. Mungkin ada sebilangan Melayu yang berasa tidak mahu ikut ‘bodoh’ dengan politik kerana berasa terganggu dengan karakter dan dunia politik yang dianggap kotor, penuh dengan pergeseran dan kadangkalanya agak tidak berkualiti.
Perjuangan
Hashim berkata, kesan daripada fenomena ini kepada politik Melayu amat hebat. Pertamanya kita akan kehilangan roh perjuangan. Kita juga akan menjadi bangsa yang tidak peduli tentang agenda bangsa. Ia juga akan melemahkan dominasi kuasa Melayu yang pada akhirnya akan menjerumuskan bangsa Melayu kepada segala bentuk ketidakpastian.
“Justeru, dicadangkan sistem daftar pemilih secara automatik dijalankan apabila umur individu telah layak mengundi. Pada masa yang sama, kualiti politik – ahli, pemimpin dan parti politik perlu ditingkatkan. Baik dari segi kepimpinan mahupun dalam pendekatan politik. Juga kualiti dan gaya perbahasan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri supaya tidak kasar, tidak bersopan dan kebudak-budakan.
Menurut Hashim, kualiti wakil rakyat perlu ditingkatkan supaya rakyat memandang tinggi kepada politik melalui kewibawaan yang dipamerkan calon yang terpilih dalam pilihan raya umum.
Apabila menyentuh aspek pemikiran beberapa juta orang Melayu masih belum mendaftar sebagai pemilih, Datuk Dr. Abdul Razak Omar pula berpendapat, ia menggambarkan betapa rendahnya tahap kesedaran politik di kalangan orang Melayu.
Bagi Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini, fenomena malas jadi pengundi boleh mendatangkan kesan tidak sihat kepada negara.
Beliau mengingatkan bahawa kedudukan politik negara ditentukan oleh rakyat melalui peti undi. “Tetapi dalam sistem demokrasi negara ini, kita tidak memaksa sesiapa untuk mendaftar sebagai pengundi. Ini adalah selaras dengan semangat demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk menjadi pengundi atau tidak. Namun, sayang jika golongan yang tidak mahu mengundi itu adalah orang Melayu,” kata Abdul Razak.
Beliau menyeru agar kesedaran untuk menjadi pemilih perlu digerakkan dengan lebih teratur dan strategik. “Tanamkan hak mengundi kepada para pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi. Begitu juga peranan yang patut dimainkan oleh para pemimpin badan bukan kerajaan, ketua persatuan penduduk dan pemimpin masyarakat di bandar dan luar bandar untuk mengingatkan kepentingan dan hak mereka untuk mengundi,” tambah Abdul Razak.
Bagi beliau apalah ertinya orang Melayu dan bumiputera merupakan penduduk majoriti tetapi dari segi jumlah yang mendaftarkan tidak mencerminkan komposisi kaum.
Setelah 50 tahun mencapai kemerdekaan, para pengundi Melayu belum lagi mengecewakan kerajaan Barisan Nasional dalam mana-mana pilihan raya, tetapi adakah kuasa memerintah akan terus dipegang oleh UMNO atau lebih tepat lagi, orang Melayu pada masa depan?
Orang Melayu harus sedar, bekalan undi kaum ini tidak banyak bertambah berbanding dengan peningkatan jumlah pemilih berdaftar kaum lain.
Tanggungjawab serta komitmen golongan muda kaum Cina yang mendaftar sebagai pemilih selepas mencapai umur yang dibenarkan patut dicontohi.
Sebenarnya masa untuk mendaftar masih terbuka. Sejak 2002 pendaftaran sepanjang tahun boleh dilakukan di pejabat pos.
Tetapi, jika mereka memilih untuk tidak mendaftar sebagai pengundi, jangan dipersalahkan kepada pemimpin politik dan kerajaan jika kuasa pemerintahan Melayu di negara ini semakin lemah. Salahkan golongan Melayu yang enggan mendaftar dan tidak mengambil peranan langsung dalam pemerintahan negara secara demokrasi.
(UTUSAN ONLINE)