Derma tanda kasih dari NDP

 
 
LIMBARUH HIJAU 07 SEPTEMBER 2007 - MANGSA-MANGSA kebakaran rumah barek Lorong 3 Seria diseru agar sentiasa bersabar menghadapi segala cobaan hidup dan janganlah mudah putus asa dalam usaha mendapatkan hak penempatan semula dari pihak-pihak berkenaan.

"Mungkin terdapat kelambatan sedikit dalam proses penempatan semula mangsa-mangsa kebakaran justeru mereka yang terlibat haruslah bersabar dan jaganlah jemu-jemu untuk terus berurusan dengan pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan", nasihat Timbalan Presiden NDP, sdr Mahmud Morshidi Othman di majlis penyampaian derma beras dan makanan keperluan kepada 16 keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran di rumah barek Lorong 3 Seria baru-baru ini.


Derma beras dan makanan keperluan kepada keluarga-keluarga terlibat merupakan salah satu inisiatif berterusan NDP melalui Jawatankuasa Kebajikan dan kesejahteraan Insan (KeKIn) untuk membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga-keluarga kurang mampu termasuklah keluarga-keluarga yang menghadapi masalah akibat bencana kebakaran, banjir dan lain-lain.

Beras dan makanan-makanan keperluan yang diagihkan telah berjaya dikumpulkan dari penderma-penderma yang terdiri dari ahli-ahli NDP dan keluarga-keluarga mereka yang bermurah hati termasuk 'penyumbang-penyumbang senyap' yang tidak mahu nama mereka disiarkan.
"Derma-derma yang tidak sepertinya ini merupakan tanda kasih kami dan seluruh anggota-anggota NDP serta keluarga-keluarga kami termasuk hamba-hamba Allah yang bermurah hati kepada abis kita semua", ujar sdr Morshidi.

Katanya derma-derma ini disampaikan dengan harapan agar ianya akan sedikit sebanyak dapat merigankan bebanan hidup mangsa-mangsa kebakaran dan dengan harapan mereka akan terus bersabar menghadapi segala dugaan. Apa yang penting sumbangan derma ini merupakan tanda kasih dari kami semua, ujarnya lagi.

Tambahnya NDP juga berharap agar pihak-pihak berkenaan akan mempercepatkan penempatan semula mangsa-mangsa kebakaran Lorong 3 Seria yang telah kehilangan tempat berteduh memandangkan bulan ramadhan dan musim Hari Raya sudah tiba.

Menurut maklumat yang diterima masih ramai lagi mangsa-mangsa kebakaran tersebut yang masih menunggu untuk ditempatkan semula dirumah-rumah yang baru.

Buat masa ini ramai mereka terpaksa menumpang di rumah-rumah saudara mara mereka.

Sementara itu sdr Morshidi juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pusat Dakwah Islamiah Kuala Belait atas kerjasama membantu NDP menghubungi mangsa-mangsa kebakaran tersebut untuk hadir dimajlis penyampaian derma yang berlangsung di rumah No 9 Lot 158 Jalan Bunga Melor Seria.

Katanya NDP sangat menghargai kerjasama yang diberikan itu dan berharap ianya akan dapat diteruskan di masa-masa akan datang bagi kepentingan bangsa dan negara dengan agensi-agensi kerajaan yang lain.

 

 

 

 

 

 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.