Oleh Jamhariah Jaafar
JIKA melihat peta, kita mudah memutuskan garis sempadan darat Malaysia dengan negara jiran - Thailand di utara, Singapura di selatan, Sabah dan Sarawak bersempadan dengan Indonesia, manakala Sarawak turut berkongsi sempadan dengan Brunei.
Bagaimanapun, keadaan berbeza dengan sempadan laut dan Malaysia mempunyai pengalaman terpaksa merujuk kes perebutan Pulau Sipadan dan Ligitan dengan Indonesia kepada Mahkamah Dunia dan keputusan berpihak kepada Malaysia, manakala satu lagi kes dengan Singapura membabitkan Pulau Batu Putih.
Itu belum lagi tuntutan hak ke atas 100 pulau atau kawasan terumbu karang di kepulauan Spratly, yang membabitkan China, Taiwan, Vietnam, Filipina dan Malaysia.
Tidak ramai boleh membincangkan isu sempadan laut dengan serius kecuali mereka terbabit secara langsung dan kes tuntutan Mahkamah Dunia atau berada di agensi yang berurusan terus dengan kes seumpamanya.
Seorang daripada pakar yang kini mempunyai kerusi di gelanggang antarabangsa ialah Datuk Dr A Bakar Jaafar, satu-satunya wakil Malaysia di Suruhanjaya Had Pelantar Benua (CLCS) bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Memenangi kerusi anggota CLCS melalui sistem pemilihan sejak 1997 lagi, Bakar kini memenangi pemilihan terbaru untuk meneruskan khidmatnya di PBB sehingga 2012.
Berdasarkan undang-undang laut, wujud tiga organisasi utama untuk melaksanakan peraturan mengikut bidang kuasa masing-masing. Pertama ialah Tribunal Undang-undang Mengenai Undang-Undang Laut yang dianggotai kumpulan hakim terhadap jenayah yang berlaku di lautan; kedua, Pihak Berkuasa Dasar Laut Antarabangsa membabitkan penghakiman bagi meleraikan pertelingkahan; dan ketiga CLCS yang menentukan sempadan bagi warisan bersama serta sempadan bagi negara yang membuat tuntutan.
"Dalam bidang kuasa CLCS, apa juga keputusan dibuat suruhanjaya ini muktamad dan semua pihak terikat dengan keputusan dibuat. Ini adalah ibarat hakim teknikal kerana semua isu membabitkan perkara teknikal akan diputuskan suruhanjaya ini," kata Bakar mengenai CLCS.
Mengulas lanjut beliau berkata, pelantar benua yang menjadi sempadan sesebuah negara selalunya membabitkan kawasan sejauh 200 batu nautika dari pantai. Tetapi sekiranya sesebuah negara itu mempunyai pelantar benua lebih jauh daripada 200 batu nautika, ia boleh menuntut sempadan sehingga maksimum 350 batu nautika atau 100 batu nautika daripada kedalaman pelantar benua terakhir pada 2,500 meter.
Perkara penting untuk menjadi anggota CLCS ialah negara terbabit mesti mencalonkan wakil dan semua kos pemilihan ditanggung negara terbabit. Persoalannya ialah mengapa Malaysia berminat meletakkan calon di CLCS?
"Malaysia adalah penandatangan dan terbabit dalam Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut 1982. Kita adalah antara negara membangun yang komited untuk terus mendokong pentadbiran global mengenai laut ke arah keamanan dan keselamatan.
"Komitmen Malaysia ini dibuktikan melalui pencalonan dan menanggung semua kos untuk memastikan wakil negara menganggotai CLCS, yang fungsi utamanya adalah bertanggungjawab meleraikan konflik membabitkan sempadan laut sesebuah negara kerana ia turut memberi kesan ke atas hak kedaulatan atau apa yang patut menjadi warisan bersama seluruh umat manusia," katanya.
Bakar mula menjadi wakil Malaysia di CLCS sejak 1997 dan kemenangan terbaru ini memberikan beliau penggal ketiga dan akan meneruskan khidmat sehingga 2012.
Awalnya terbabit dalam bidang kejuruteraan di Universiti Newcastle, Australia, sebelum bertukar bidang kepada alam sekitar ketika membuat ijazah sarjana di Universiti Miami dan mengkhususkan kepada bidang geografi (marin) ketika membuat PhD di Universiti Hawaii pada 1984.
Bekas pegawai kanan Jabatan Alam Sekitar ini mula menjadi delegasi Malaysia ke PBB mengenai undang-undang laut sejak 1979, di samping tidak pernah ketinggalan menjadi delegasi negara ini ke mesyuarat peringkat Asean dan program kerjasama Asean dengan beberapa negara besar.
Menceritakan mengenai sejarah undang-undang laut, Bakar berkata pada peringkat awal manusia hanya menggunakan laut sebagai sumber makanan, tetapi apabila masyarakat berkembang sempadan menjadi keutamaan berikutan pelbagai konflik.
"Antara persoalan timbul pada sidang ketiga PBB di New York pada 1973 ialah apakah bidang kuasa kawasan laut sesebuah negara ke atas pelbagai sumber asli? Bagaimana garis sempadan antara negara perlu dibuat?
"Konflik antara negara semakin serius apa lagi jika membabitkan tuntutan ke atas kawasan yang kaya dengan sumber asli, masing-masing negara sudah pasti akan membuat tuntutan. Keadaan menjadi sukar apabila ada negara yang mempunyai pelantar benua dan ada negara yang hampir langsung tidak memiliki pelantar benua.
"Tidak ada sebarang cara untuk mendefinisikan sempadan laut atau had bagi sesebuah negara ke atas pelantar benua. Kebimbangan juga timbul bagi tuntutan yang keterlaluan ke atas negara yang mempunyai pelantar benua yang terlalu luas, kerana ia secara langsung membabitkan isu hak kedaulatan sesebuah negara itu," jelasnya mengenai perlunya kewujudan CLCS.
Pada 1958, sidang pertama PBB mengenai Undang-Undang Laut menerima pakai definisi Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa yang menggariskan pelantar benua membabitkan dasar laut dan kawasan tanah lautan yang bersambung dengan pantai, sehingga mencecah kedalaman 200 meter atau lebih dalam, di kedalaman yang membenarkan ekploitasi sumber asli di kawasan terbabit.
"Pada persidangan ketiga PBB mengenai Undang-Undang Laut, wujud konsensus yang bersetuju meluaskan sempadan laut sehingga 200 batu nautika, bagi membolehkan kawasan luar pesisir pantai itu bersamaan dengan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) iaitu zon laut di mana sesebuah negara mempunyai hak istimewa untuk melakukan eksplorasi atau menggunakan sumber marinnya.
"Tetapi pada masa sama sidang terbabit terpaksa menangani tuntutan negara yang mempunyai pelantar benua melampaui jarak 200 batu nautika, dan mereka mahukan kawasan ekonomi yang lebih luas," jelas Bakar.
Konvensyen melalui CLCS kini meleraikan konflik dengan menetapkan jarak 200 batu nautika bagi had ZEE untuk setiap negara, dengan tambahan maksimum 350 batu nautika sekiranya negara terbabit mempunyai pelantar benua lebih panjang dari 200 batu nautika.
"Justeru, tugas CLCS ialah menjadi fasilitator kepada pelaksanaan Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut bagi pelantar benua yang melebihi 200 batu nautika.
"CLCS akan membuat cadangan mengenai jarak yang wajar diberi kepada negara yang menuntut. Cadangan dan tindakannya tidak bersifat prejudis kepada mana-mana negara, terutama kepada pihak yang membuat tuntutan atau yang menentang," katanya. (DI PETIK DARI BERITA HARIAN)