Buka mata dan minda

 
 
LIMBARUH HIJAU 06 SEPTEMBER 2007 - Ahli-ahli Majlis Tertinggi Parti Pembangunan Bangsa (NDP) perlu membuka minda, bersikap sabar, yakin dan tabah menghadapi cabaran-cabaran dalam perjuangan di arena politik negara yang di selubungi oleh cuaca politik yang malap.

"Apa yang saya perhatikan ada dikalangan pemimpin-pemimpin kita yang mudah terkesan dengan cuaca malap yang menyelubungi arena politik negara. Mereke mudah putus asa hingga menutup minda untuk melihat pencapaian-pencapaian yang telah dibuat oleh NDP. Sikap ini juga membuatkan semangat juang mereka seperti pasaran saham yang sekejap meloncat naik dan cepat pula menurun".

"Perkara ini sangat mengecewakan kerana ianya akan memberi kesan negatif kepada ahli-ahli akar umbi yang kita pimpin", ujar Ayahnda Yasin Affandy, Presiden NDP di sesi muzakarah bersama ahli-ahli Majlis Tertinggi NDP kelmarin.

Tambahnya ianya juga boleh memberikan gambaran yang negatif kepada pengamat-pengamat politik di negara ini dan juga di arena serantau dan antarabangsa.


"Dari itu kita perlu membukakan minda kita seluas-luasnya dan melihat dengan jelas bahawa selama 2 tahun ini sudah banyak kejayaan yang dicapai. Bagi pandangan saya NDP setiap hari berjaya dan semakin relevan", tegas Ayahnda Yasin Affandy lagi.

Katanya setentunya tidak disangkalkan keuntungan atau pulangan dari pelaborasn masa, fikiran dan tenaga dalam politik tidak semudah untuk dinikmati dalam masa yanng singkat berbanding pulangan dari pelaburan dalam perniagaan.

"Jika hanya berminat dengan pulangan material kita bolehlah melabur dalam koperasi kita dan insya Allah kita akan dapat pulangan berbentuk wang dividen. Akan tetapi lain halnya jika kita melabur dalam saham politik. Pulangan atau dividen dari pelaburan ini hanya akan dapat dinikmati dan dihayati dengan minda yang terbuka", ujar Presiden NDP.

Beliau memberi contoh selama 2 tahun ini NDP sudah berjaya menarik perhatian ramai pengamat politik luar negeri seperti dari parlimen Eropah, lawartan ahli-ahli Parlimen Jeman dan lawatan muhibbah Puteri UMNO.

Selain itu katanya NDP juga telah berjaya memperjuangkan harapan golongan kakitangan kerajaan bergaji rendah dan bergaji hari serta penerima-penerima elaun pencen tua untuk mendapatkan kenaikkan gaji dan elaun.

Semua ini merupakan dividen dari pelaburan masa, tenaga dan fikiran seluruh warga NDP justeru pencapaian ini seharusnya dijadikan pendorong kepada kita untuk terus bergerak maju dengan semangat yang tinggi, ujar Ayahnda Yasin Affandy.

Katanya lagi perhatian yang diberikan dan minat yang ditunjukkan oleh pengamat-pengamat politik luar negara terhadap NDP juga menggambarkan betapa masyarakat antarabangsa melihat NDP ini sebagai sebuah parti politik yang relevan walaupun ia baru berumur setahun jaggong.

"Dari itu saya yakin walaupun dalam negara mungkin ada elemen-elemen yang coba melemahkan NDP masyarakat serantau dan antarabangsa akan turut bersimpati jika sekiranya terdapat penginyayaan terhadap NDP", tambah beliau menyeru ahli-ahli MT NDP agar tidak ragu-ragu dengan perjuangan parti yang tulus ikhlas untuk membantu KDYMM paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Baginda membangun bangsa dan negara.
 
 
 
     
Hakcipta terpelihara © 2006 oleh Aspirasi-NDP.com
Laman web direkabentuk dan dihos oleh Gawi Company.