JERUDONG 08 SEPTEMBER 2008 - APAKAH masih sesuai bagi sebuah panggung wayang di Bandar Seri Begawan menggunakan nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam?
Persoalan ini diajukan oleh Awang Haji Zaffar, Setiausaha Badan Perhubungan NDP Brunei-Muara di Mesyuarat Majlis Permesyuaratan Perhubungan Daerah Penggal ke-3 ketika membahaskan pandangan beliau mengenai hasrat Baginda Sultan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.
Mesyuarat tersebut berlangsung di Hotel Holiday Lodge di Jerudong pada 06 September baru lalu.
Jelas Awang Zaffar hasrat Baginda Sultan tersebut sangat disanjung tinggi dan wajib bagi semua rakyat dan penduduk memberikan sokongan dan dokongan untuk mempastikan hasrat yang mulia tersebut tercapai.
Katanya konsep Negara Zikir yang dihasratkan Baginda Sultan tersebut wajar dilihat dari prespektif yang lebih luas bukan sekadar di sempitkan kepada aspek amalan berzikir dan bertasbih sahaja.
Dalam perkataan lain, tegasnya, konsep Negara Zikir merangkumi skop kehidupan yang luas dan dari itu karakterisitik Negara Zikir itu akan terpancar dari semua sudut kehidupan bernegara dan berbangsa.
Beliau berpandangan karakterisitik sebuah Negara Zikir akan dapat dilihat dalam sistem pengurusan dan pentadbiran nya yang accountable, amanah, jujur dan adil serta rakyatnya yang berdisiplin dan bertanggunjawab semata-mata atas kesedaran untuk mendapatkan keredhaan Allah jua.
Selain itu, katanya, apabila kita meletakkan negara sebagai sebuah negara zikir, kita juga dengan sendirinya terdedah kepada penilaian umum positif dan negatif, sama ada kita sudah menepati tahap negara zikir yang di maksudkan.
"Justeru saya bimbang apabila melihat masih terdapat nama-nama bagunan dan jalan-jalan serta sekolah-sekolah yang kurang menepati dengan label negara sebagai sebuah negara zikir".
Contohnya Panggung Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan. Saya berpandangan menamakan sebuah panggung yang tidak dinafikan sebagai sebuah tempat berhibur atau pusat hiburan yang tidak kebal dari perbuatan-perbuatan maksiat nampaknya kurang menepati dengan hasrat menjadikan Brunei sebagai sebuah Negara Zikir, ujar Awang Haji Zaffar.
"Justeru saya mencadangkan agar pihak-pihak berkuasa tempatan meneliti semula nama-nama bangunan seperti Panggung Hassanal Bolkiah tersebut".
"Matlamat kita ialah untuk membantu Baginda Sultan merealisasikan hasrat murni Baginda tersebut dan kita tidak rela melihat nama Baginda di cemarkan dan hasrat Baginda di perolok-olokkan", tegas Awang Haji Zaffar lagi.
Beliau juga mencadangkan agar nama-nama jalan yang masih menggunakan nama-nama asing di gantikan dengan nama-nama sultan-sultan dan pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu agar dapat lebih jelas menggambarkan Brunei sebagai sebuah negara zikir yang merdeka.